14 November 2007

Serangga, tikus, lalat, dan burung

Di China, sepanjang 1958 hingga 1960, jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Petani diperintahkan menggali tanah lebih dalam (untuk tujuan pertanian). Oleh itu, sebelum sempat memungut hasil, mereka, orang-orang miskin telah lebih dahulu jatuh kelelahan. Jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Burung di China diancam kepupusan. Keseimbangan alam terganggu. Tetapi para birokrat terus menggelembungkan statistik dan laporan-laporan mereka dek ketakutan pada Mao Zedong yang punya ambisi terlalu utopia. Akhirnya, burung pun dikeluarkan daripada daftar "empat makhluk jahat".

Catatan di atas digarap Frances Wood, mahasiswi Inggeris yang mengikuti pendidikan di Beijing ketika Mao mula menanamkan semangat Revolusi Kebudayaannya. Ketika itu, ahli akademik, intelektual, budayawan dan mereka yang 'beriman' kepada rasionaliti menerima pembantaian atas alasan tidak menyumbang kepada kelompok proletariat. Gerakan celaka ini dimata-matai Tentera Merah (Red Guards) yang ke mana-mana pun menjunjung "buku kecil merah" (The Red Little Book) berisi pidato-pidato taiko komunis itu.

Di Kuantan penghujung Oktober yang sudah, dalam Simposium Penulis Pelbagai Kaum VII anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak ada buku kecil merah itu. Tetapi Tentera Merah, serangga, tikus, lalat dan burung tetap ada. Dan 'petani' (sastera) diminta menggali lebih dalam sebelum akhirnya jatuh dan kelelahan.

Acara tiga hari dua malam itu membawa tema "Sastera Kebangsaan Membina Negara Bangsa". Tajuk dan tema semacam ini bukanlah perbincangan baru seputar dunia sastera tanah air. Dalam masa-masa yang lain dikenali atau disebut juga sebagai sastera kebangsaan, sastera perpaduan dan lain-lain istilah yang kedengaran amat murni. Fenomena ini disebabkan, secara tidak sedar, digerakkan faktor kekuasaan. Agenda integrasi adalah diletakkan sebagai agenda nombor wahid sesudah Mei 1969. Akibat daripada inilah, kita mendengar dan melihat Rukun Negara 'diconteng' hatta pada dinding-dinding sekolah rendah. Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dirangka sebagai panduan aktiviti kebudayaan bangsa.

Negara bangsa dalam takrif kita tidaklah seperti Jepun, Portugis atau Iceland. Portugal misalnya telah mengekalkan identiti kebangsaannya sejak 900 tahun yang lalu. Negara kita tidak mempunyai kesatuan bangsa yang satu atau serumpun. Malaysia dilahirkan dengan gabungan Melayu-Cina-India dan suku-suku pribumi Sabah dan Sarawak. Ikatan negara bangsa kita berasaskan kontarak sosial 1957.

Namun malangnya, DKK hanya menjadi dokumen yang, menurut Mohd Affendi Hassan, dilanggar sesuka hati. Begitu juga Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah dokumen liberal yang paling sahih. Penyatuan bangsa untuk membina sebuah negara bangsa yang bebas dan merdeka tidak berlaku sekiranya semua masalah antara kaum disapu di bawah karpet merah. Oleh itu, saya insaf dan naif sekali, bahawa seperti lakunya Revolusi Kebudayaan yang berhasil menakutkan-nakutkan Frances Wood dan orang-orang kebanyakan di China suatu masa, aktiviti seninya turut menjadi bagian daripada alat perpaduan. Perpaduan dalam erti kata ini bermaksud perpaduan atas nama kelangsungan pemerintah sedia ada.

Agak aneh bunyinya, dalam sebuah demokrasi dan negara yang liberal, kata perpaduan menjadi begitu sinonim dan digandingkan dengan semua bidang daripada ekonomi, seni, sastera, bahkan agama. Walhal, biasanya dalam atmosfera ini, kebebasanlah yang afdal dibicarakan dari mula. Ini merupakan inti dan semangat demokrasi dan liberalisme. Kata "perpaduan" biasanya hanya popular dalam negara-negara komunis sahaja.

Saya syak, ada pemain yang tidak muncul seperti "Madam Mao". Dalam tahun-tahun pahit di China itu, isteri Mao, Jiang Qing, bintang filem yang tak lagi popular itu memainkan peranan yang amat penting dalam menjalankan cita-cita revolusi. Dan ia bergerak dalam lapangan seni budaya. Madam Mao mendominasi opera, panggung dan layar perak. Gambaran lotus, bunga-bunga digantikan dengan ladang, taktor dan 'berhala' Mao dalam sosok paling heroik. Itulah makna perpaduan dan kestabilan bagi Jiang Qing dan suami luar biasanya itu.

Kerana itu, galilah lubang. Dan galilah lebih dalam kerana serangga, tikus, lalat dan burung tidak mampu membuat onar terhadapnya.

Dalam Mempertimbangkan Tradisi, Rendra telah membuatkan kita ragu bertambah ragu, dan keraguan itu membuat kita maju. Katanya, kebudayan itu dibentuk oleh manusia, bukan sebaliknya. Dalam negara yang bangsanya tidak menjadi asas kepada negara, negara menyebarkan 'kejahatannya' dalam pelbagai lapangan. Oleh itu, tidak ada sasterawan yang diancam tindakan pemerintah dengan sangat serius seperti penahanan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Kerana, walau apa pun, sastera kita belum menjadi jantan.

Sastera telah menerima dan membiatkan kejahatan pemerintah itu sewenang-wenangnya. Kerajaan itu, mengikut pemikiran liberal adalah "kejahatan yang perlu". Kerana itu ia perlu dibataskan. Dan sastera dalam konteks ini tidak boleh menjadi bidak. Sastera mesti mampu mencerahkan jalannya sendiri dan indipenden sepenuhnya. Sastera tidak boleh menjadi bagian dari takdir yang ditentukan kejahatan yang tadi, lalu tunduk dan menyerah kepada tradisi. Tradisi itu tetap bukan barang mati dalam sejarah.

Berbalik kepada sastera pelbagai kaum, sekali lagi seratus sasterawan daripada pelbagai pelosok negara dihimpunkan dalam sebuah dewan. Mereka disuruh menggali sedalam-dalamnya teori dan isu yang dikemukakan seperti petani China. Format Madam Mao pula adalah sastera kebangsaan sebagai wajah Melayu-Cina-India yang disebut secara tempel dalam karya-karya tulis. Disertai pula oleh penulis-penulis yang punya warna kulit yang beda. Ada juga projeksi melahirkan sasterawan Cina atau India menulis dalam bahasa Melayu. Itulah makna perpaduan mengikut Madam Mao. Kredit jika boleh membaca sajak dalam dialek Kelantan.

Simposium itu gagal merumuskan dengan baik sastera kebangsaan mahu pun konsep negara bangsa (seperti kata seorang penulis veteran, "sekadar lagu lama"). Bahkan ada pembentang yang keliru dengan konsep negara bangsa itu sendiri. Pembentangan pula sekadar membawa beberapa pembentang yang punya warna kulit yang beda walau pun kupasan mereka tidak sedalam tanah yang dikorek petani China. Oleh itu serangga, tikus, lalat dan burung pun datang menghinggap. Perpaduan atas nama negara dan bangsa Malaysia hanya akan berlaku apabila tiba masanya manusia tidak diidentitikan dengan keturunan.

Mari kita petik pendapat Mao, kebudayaan bukan sekadar kesenian. Kebudayaan adalah seluruh aspek masyarakat. Di China, sepanjang 1958 – 1960, jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Petani diperintahkan menggali tanah lebih dalam (untuk tujuan pertanian). Oleh itu, sebelum sempat memungut hasil, mereka, orang-orang miskin telah lebih dahulu jatuh kelelahan. Jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Burung di China diancam kepupusan. Keseimbangan alam terganggu. Tetapi para birokrat terus menggelembungkan statistik dan laporan-laporan mereka dek ketakutan pada Mao Zedong yang punya ambisi terlalu utopia. Akhirnya, burung pun dikeluarkan daripada daftar empat makhluk jahat.

Dan petani-petani itu, mereka seolah-olah menggali pusara mereka sendiri. - Jimadie Shah Othman

Tiada ulasan: