16 Mac 2009

Awas dengan Idea Bulan Mac

Oleh Amin Ahmad

Saat Julius Caesar diingatkan dengan kata “Beware the Ides of March”, beliau mungkin memandang mudah dan beranggapan bahawa Ides (yang merujuk hari kelima belas dalam ekspresi Roman) tidak lebih sekadar hari biasa yang dilaluinya dengan berani. Kematian Caesar pada tarikh itu di kurun 44 sebelum Masehi sampai hari ini memberi kesan kepada mereka yang mencintai sejarah.

Sejarah tentu saja peristiwa yang lepas dan tidak mungkin berulang dalam bentuknya. “Tapi nilai dan perilaku sejarah itu sentiasa hidup”, begitu lebih kurang Allahyarham Hamka, ulama’ dari Indonesia yang cukup terkenal di rantau ini mengingatkan anak-anaknya sebelum beliau meninggal. Sebab itu, barangkali, kisah-kisah dalam sejarah termaktub di dalam Al-Quran serta sirah juga mendapat tempat yang tinggi dalam dunia keilmuan Islam.

Mac 2008 untuk rakyat Malaysia mungkin bukan Mac yang biasa. 8 Mac menjadi batu tanda penting untuk masa depan Malaysia. Jika tidak seluruhnya, sekurang-kurangnya ia adalah titik mula yang lebih jelas berbanding September 1998 – hampir satu dekad sebelumnya. Barisan Nasional hilang dua pertiga majoriti di Parlimen selain beberapa negeri penting dalam pertumbuhan di Malaysia.

Sejak Mac 2008, kisah politik Malaysia tidak menunjukkan tanda mahu surut biarpun perkembangan ekonomi dunia menghadapi ribut yang lebih besar dari sebelumnya. Dari isu di negeri Perak yang tak kunjung selesai, isu peralihan kepimpinan nombor wahid dalam parti UMNO yang selama ini berhegemoni dengan kuasanya, ia hanya cebisan daripada pelbagai isu lain misalnya bicara bunuh Altantuya serta bicara Raja Petra yang terkait dengannya dan siri Pilihan Raya kecil di beberapa tempat!

Mac 2008 nyata tidak berdampak kecil jika tidak pun setara dengan ungkapan Cicero sesudah sepurnama pemergian Caesar bahawa “Ides telah mengubah segalanya!”.

Entah berapa ramai anak muda yang ada pada hari ini benar-benar mula memikirkan politik melangkaui zaman Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak. Tapi dari pengalaman saya, ia tidak sedikit jika tidak terlalu ramai yang menonjol pun – politik apa, bagaimana dan siapa? Yang nampak dari transisi Dr. Mahathir-Abdullah hanya “saya akan meneruskan dasar-dasar yang dilaksanakan Dr. Mahathir”. Dan percubaan mengikis ingatan pada mantan Perdana Menteri selama 22 tahun itu nyata membangkitkan kemarahan bukan kepalang. Suka atau tidak, Mac 2008 menjadi kegembiraan pada sebahagian yang berharap sungguh dapat ‘tertawa’ pada hujung Mac 2009 ini. Memang status quo itu punya ramai peminatnya!

Rome telah lama membuang raja mereka – seawal kurun 509 sebelum Masehi. Caesar “berhemah” menolak pertabalan menjadi Raja kerana beliau telah menjadi diktator (yang menjadi sifat raja pada waktu itu) dan ini menjadi “sebab paling ampuh” bagi para konspirator termasuk Marcus Brutus, si gunting dalam lipatan untuk menamatkan riwayat pengancam sistem Republikan yang ada.

Brutus nyata bukan anak muda yang biasa dan Caesar sebagaimana Hitler, seorang lagi diktator sentiasa “menghargai bakat anak muda”. Susur galur Brutus juga bukan susur galur yang biasa. Raja terakhir Rome, Tarquin Superbus dijatuhkan oleh Lucius Junius Brutus – entah moyang generasi ke berapa dari keluarga Brutus. Spurius Maelius, seorang lagi diktator zaman lampau dihumban Ahala, moyang dari susur galur ibu Brutus.

Debat sekitar Caesar dan Brutus ini mungkin mirip dengan debat Hang Tuah dan Hang Jebat yang tiba-tiba muncul di Malaysia dari perkembangan di Perak. Shakespeare mengangkat The Life of Brutus, karya Plutarch dengan gambaran Brutus sebagai hero dan Caesar sebagai diktator yang “harus dimatikan” sementara Dante mengecam Brutus sebagai penggugat kestabilan sistem ditambah dengan penegasan sebagai “orang yang tidak tahu bersyukur terhadap jasa-jasa Caesar”.

Aku tersenyum mendengar Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperihalkan derhaka Tun Perak, Bendahara Melaka yang membelakangkan titah Tuanku untuk membunuh Hang Tuah di Parlimen akhir Februari lepas. Ternampak seakan sejarah Melayu, meski ada yang mendakwa mitos, lebih halus dalam memperincikan sifat watak manusia untuk menjadi teladan ramai.

Sejarah akhirnya tentang tingkah laku manusia dalam konteksnya – dan nilai di dalamnya akan terus hidup bersama waktu.

Akal budi kita tidak mungkin mahu menerima kematian di Curia Pompeii dan perang sivil selama 13 tahun sebagaimana berlaku di Rome.

Mac 2008 telah beransur setahun. Mac 2009 punya tanda masa depan untuk kita – anak muda yang percaya tentang keadilan dan kebebasan. - JalanTelawi

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University. Kini merupakan Penyelidik bagi Malaysia Think Tank.