Muhyiddin Yassin mula gelabah dengan reaksi dan kemarahan yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong Ali Rustam. Baca berita dari Utusan Meloya dibawah:
‘Fitnah paling buruk’
KUALA LUMPUR 18 Mac - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan bahawa beliau melakukan konspirasi bagi memastikan calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd.Ali Rustam tidak layak bertanding pada pemilihan parti minggu depan sebagai satu tohmahan dan fitnah.
Sambil menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya, Muhyiddin yang turut bertanding jawatan berkenaan berkata, perwakilan seharusnya tidak terpengaruh dengan dakyah tersebut kerana ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan dan kebebasan Lembaga Disiplin UMNO yang menjatuhkan hukuman ke atas Ketua Menteri Melaka itu.
“Kenapa perlu mempersoalkan kewibawaan Lembaga Disiplin, seolah-olah kalau Muhyiddin suruh, dia buat (jatuh hukuman), kalau Muhyiddin tak suruh, dia tak buat. Siapalah saya? Perwakilan kena fikir, mereka tidak harus terpengaruh begitu, apakah Lembaga Disiplin tidak ada status bebas dan berwibawa sehingga mudah terpengaruh dengan orang sekerdil saya ini bagi menentukan hukuman?
“Dalam soal ini, mereka yang terlibat harus lihat pada diri sendiri dan bukannya bila hukuman dijatuhkan maka orang lain disalahkan sedangkan orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah tidak bersalah,” katanya dalam pertemuan khas dengan Utusan Malaysia di kediamannya, di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tersebar sejak semalam yang mendakwa beliau melakukan konspirasi bagi membolehkan Mohd.Ali dijatuhkan hukuman tidak dibenarkan bertanding kerana tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang menyifatkan perbuatan memfitnah yang dialami itu sebagai usaha paling buruk mencemarkan nama baiknya sepanjang terlibat dalam politik berkata, beliau tidak tahu kenapa beliau yang menjadi sasaran apabila hukuman ke atas Mohd. Ali dijatuhkan.
“Mungkin kerana saya pesaing utama, maka ini dilakukan bagi menjatuhkan imej dan nama baik saya sedangkan ramai perwakilan tahu siapa saya.
“Saya mengelakkan daripada amalan rasuah politik kerana saya tidak mahu sejarah pengorbanan saya selama 40 tahun dalam politik tercemar kerana perbuatan itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dalam berhadapan dengan dakwaan ini, semua pihak termasuk perwakilan menilai keputusan Lembaga Disiplin yang dibuat atas budi bicara berdasarkan kepada hak dan kuasa yang diberikan oleh Majlis Tertinggi UMNO.
“Sejak dulu pun ada hukuman, kenapa kes-kes lain tidak dikaitkan dengan saya, apa kerana saya juga bertanding jawatan yang sama maka saya dijadikan sasaran? Bagi saya ini adalah sesuatu yang tidak adil,” katanya.
Muhyiddin yang ternyata kecewa dengan perkembangan tersebut turut kesal kerana dikaitkan pengeluaran Permit Import (AP) kepada orang tertentu.
“Kementerian saya memang mengeluarkan AP bukan saya, itu sudah lama sejak zaman Tan Sri Rafidah Aziz lagi dan ia diberikan kepada syarikat yang layak, itu saja, bukan ada orang lain.
“Malah baru-baru ini kita mengkaji semula pemberian AP supaya mereka yang tidak buat betul, kita kurangkan jumlahnya, ada yang tidak puas hati tetapi itu untuk memperkemaskan pengurusan, kenapa dikaitkan dengan pemilihan parti,” tegasnya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Muhyiddin berkata, beliau akan meneliti sama ada fitnah itu akan berterusan atau tidak dalam usaha pihak tertentu mencemarkan nama baik dan menjejaskan peluangnya untuk terpilih dalam pemilihan kali ini.
“Dalam etika pemilihan sudah dinyatakan dengan jelas supaya kita tidak boleh membuat fitnah dan tohmahan, kalau betul saya terlibat buktikan, jangan membuat tuduhan melulu,” katanya.
Jika sebelum ini Muhyiddin dimarahi oleh orang-orang Abdullah diatas tindakannya yang menyebabkan pelan peralihan kuasa dipercepatkan, kini beliau turut dimarahi oleh orang-orang kepada Ali Rustam. Kemungkinan besar, satu sen habuk pun Muhyiddin tidak akan mendapat sebarang undi daripada negeri Melaka.
Maka keuntungan dapat kepada Muhammad Taib yang tenang sahaja menyaksikan perkembangan ini.