PETALING JAYA: Seorang pembantu kanan menteri ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) lewat malam Rabu lalu berhubung dakwaan menerima suapan bernilai RM70,000.
Bagaimanapun, dia dibebaskan semalam.
Difahamkan lelaki tersebut ditahan lewat malam Rabu lalu dan dibebaskan beberapa jam kemudian selepas SPRM merekodkan kenyataan daripadanya.
Sementara itu, ibu pejabat Umno yang cuba dihubungi tidak dapat mengesahkan berita tersebut.
Sumber pejabat menteri berkenaan juga tidak dapat dihubungi untuk pengesahan.
Difahamkan, menteri berkenaan akan bertanding jawatan Majlis Tertinggi dalam pemlihan parti itu hujung bulan ini.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada penahanan pegawai tersebut ada kaitan dengan kempen pemilihan Umno.
Pemilihan Umno akan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini.
Isu politik wang hangat diperkatakan apabila SPRM mendedahkan sebanyak 45 daripada 90 kes aduan rasuah politik membabitkan pemimpin Umno yang diterima SPRM ditutup kerana ketiadaan bukti kukuh.
Setakat ini, beberapa ahli Umno sudah pun didakwa dengan kes terbaru membabitkan tiga ahli Umno yang dihadapkan di mahkamah berasingan, bulan lalu.
Ini termasuk Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Azman Noh, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seorang perwakilan supaya mengundinya dan dua pemimpin lain bagi tiga jawatan tertinggi bahagian itu, Oktober lalu.