06 Mac 2009

Kes Nizar vs Zambry ke Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Tinggi (bahagian rayuan dan kuasa khas) memutuskan isu-isu perlembagaan bagi menentukan menteri besar Perak yang sah akan ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim Lau Bee Lan lebih senang perkara tersebut dirujuk terus kepada mahkamah tertinggi itu bagi mempercepatkan keputusan berhubung pergelutan politik di negeri itu antara Pakatan Rakyat dan BN.

Hakim juga meminta peguam kedua-dua pihak merumuskan soalan-soalan yang akan dibawa ke mahkamah tersebut.

Saman mencabar pelantikan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar baru Perak difailkan oleh Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin

Selasa lalu, peguam utama Nizar, Sulaman Abdullah membantah perkara itu dirujukkan ke Mahkamah Persekutuan.

Sebaliknya, beliau memohon Hakim Lau mendengar saman tersebut.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said yang mewakili pejabat Peguam Negara berhujah bahawa perkara itu membabitkan penafsiran Artikel 16 (6) Perlembagaan Negeri Perak dan oleh itu harus didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Dalam samannya itu, Nizar, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar Perak yang sah.

Beliau juga memohon penafsiran Artikel 16(6) Perlembagaan Perak sama ada jawatan menteri besar boleh dikosongkan apabila:

Menteri besar telah menasihatkan Sultan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN);

Tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri;

Tiada usul tidak percaya terhadap menteri besar di Dewan Undangan Negeri; dan

Menteri besar tidak meletak jawatan.


[Laporan penuh menyusul]