30 November 2007

KL akan saksikan lagi perhimpunan aman bulan depan

berita Dua perhimpunan rakyat telah diadakan bulan ini dan tiga lagi perhimpunan dijangka diadakan di Lembah Klang bulan depan.

Tiga perhimpunan yang dirancang itu akan diadakan walaupun kerajaan telah memberi amaran keras termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang menyertainya.

Pada 9 Disember ini, Majlis Peguam akan mengadakan perarakan tahunan Hari Hak Asasi Manusia dan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) telah menyatakan hasratnya untuk turut sama.

Dua hari kemudiannya, Bersih akan mengadakan demonstrasi di luar Bangunan Parlimen untuk membantah rancangan pindaan perlembagaan yang akan menaikkan had umur anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Perhimpunan ketiga akan dianjurkan oleh parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantah kenaikan kadar tol lebuhraya di beberapa negeri mulai 1 Januari depan.

Rancangan perhimpunan anti-tol itu belum diumumkan secara rasmi dan tarikhnya juga belum dimuktamadkan.

Pakaian kuning

Pada 10 November lalu, kira-kira 40,000 menghadiri perhimpunan anjuran Bersih di luar Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Dan pada 25 November lalu, kira-kira 30,000 orang, sebahagian besarnya kaum India, menyertai perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di ibunegara, untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British.

Sementara itu, wakil Bersih Faisal Mustaffa (kiri) memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa anggota gabungan tersebut akan berpakaian berwarna kuning semasa berarak bersama para peguam dari Majlis Peguam.

Mereka merancang berarak dari Sogo hingga ke Pasar Seni di mana beberapa aktiviti akan diadakan untuk menyedarkan masyarakat mengenai hak asasi manusia.

Majlis Peguam pula dijangka membuat pengumuman mengenai perarakan tersebut pada 1 Disember ini.

Pindaan perlembagaan

Perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen akan diadakan pada 11 Disember depan, iaitu pada hari Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

Seorang lagi wakil Bersih, Tian Chua, berkata gabungan itu percaya kerajaan mahu mempercepatkan pindaan tersebut bagi membolehkan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terus memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Abdul Rashid mencapai usia 66 tahun pada 31 Disember depan. Pindaan tersebut akan memboleh Abdul Rashid berkhidmat setahun lagi. Beliau memegang jawatan tersebut sejak tahun 2000.

"Jika tidak, untuk perkhidmatan Abdul Rashid setahun lagi, perdana menteri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita rasa kerajaan bimbang Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankannya," kata Tian Chua, sambil menambah Bersih menganggap perkhidmatan Abdul Rashid akan disambung untuk menjadi "alat" kepada kerajaan.

"Mengapa pinda Perlembagaan Persekutuan untuk menyelamatkan seorang kakitangan awam?" soalnya. - malaysiakini

Gasak, jangan tak gasak

beritaKUALA LUMPUR: Kumpulan akhbar Utusan Melayu dan NSTP Berhad akan mengadapi cabaran baru berikutan kehadiran gabungan Gerakan Anti Salah Maklumat (GASAK) yang akan mengetuai kempen ke akar umbi untuk memboikot kedua-dua akhbar terbabit.

GASAK yang melibatkan beberapa NGO diketuai oleh kumpulan pemikir Anwar Ibrahim, Institut Kajian Dasar (IKD) pagi tadi mengadakan sidang media menjelaskan mengenai kempen boikot tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutif IKD Khalid Jaafar, kempen tersebut mensasarkan semua produk percetakan dua kumpulan terbabit kerana kedua-duanya dibayangi oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Kempen ini dilancarkan selepas mendapati kedua-dua kumpulan akhbar tersebut secara sengaja terlibat menyebarkan maklumat yang salah, atau berat sebelah, terutamanya melibatkan isu-isu politik," katanya kepada KLpos.com.

Kemuka 3 tuntutan utama

Menurut beliau, Gasak akan mengemukakan tiga tuntutan minima kepada media yang terbabit kerana memberikan laporan yang seimbang, dengan mengetepikan pandangan dan melaporkan daripada dua dimensi iaitu pimpinan kerajaan serta pihak yang menganjurkan sesuatu perhimpunan atau apa-apa acara.

"Industri media hendaklah bebas dalam editorial dan tidak bersandarkan kepada tekanan daripada pemerintah atau pemilik syarikat tersebut. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh sesiapa yang boleh memutuskan mengenai berita atau maklumat itu melainkan Jabatan Pengarang media itu sendiri," ujarnya dalam sidang media pelancaran kempen 'Boikot Media Pembohong' di sini pagi tadi.

GASAK kesinambungan kempen boikot media 1999

Jelasnya, penubuhan Gasak adalah sebagai kesinambungan kempen Boikot Media ketika era reformasi pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

"Kemudian, momentum itu mulai hilang disebabkan oleh keterbatasan pada masa itu, di samping ia tidak melibatkan jaringan NGO dan parti politik yang lebih pelbagai dan kami rasakan ia perlu digembeling kembali," responnya kepada soalan.

Beliau berkata, antara objektif utama penubuhan Gasak adalah kerana keprihatinan terhadap laporan pihak media dalam perhimpunan Bersih dan Hindraf yang lalu.

Sementara itu, Khalid menafikan bahawa penubuhan Gasak adalah bersifat sementara memandangkan senario politik tanah air kini yang mendekati pilihan raya umum.

Apa yang penting katanya, keperluan rakyat untuk mengetahui mengenai kebenaran yang terjadi dalam sesuatu peristiwa itu dapat disampaikan secara sahih dan memenuhi etika kewartawanan.

"Malangnya, apa yang mengecewakan kita adalah apabila media kerajaan memainkan peranan untuk mengawal institusi media lain di negara kita, seterusnya mengaburkan pandangan rakyat dengan maklumat palsu dan penuh dengan penipuan," dakwanya.

Laporan media mengenai BERSIH, Hindraf sebagai contoh

Gasak menjadikan peristiwa dua perhimpunan bersejarah yang terjadi dalam bulan ini, anjuran Bersih dan Hindraf sebagai contoh bagi membuktikan kesalahan media tersebut iaitu fakta dari segi angka kehadiran, laporan yang berat sebelah yang secara tidak langsung menggambarkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip kebebasan media dan kewartawanan.

"Kami akan melancarkan kempen kesedaran kepada mereka yang membaca, melanggan dan membeli akhbar kumpulan Utusan dan News Straits Times sebagai langkah awal berdasarkan pengalaman tindakan yang sama pada 1998 lalu yang memberi kesan yang buruk kepada media tersebut," kata Setiausaha Gasak, Hasmi Hashim yang juga wakil Komuniti Seni Jalan Telawi.

Di samping itu katanya, Gasak akan menggerakkan kempen ke seluruh negara bagi menggembeling kemarahan NGO, parti politik, portal berita dan para blogger untuk mendapatkan kosensus mereka bagi menyertai gerakan ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah ahli jawatankuasa protem Gasak, Dr Xavier Jayakumar dan wakil Middle Eastern Graduate Centre, Mustaqim.

Sementara itu, KLpos.com dimaklumkan GASAK akan menemui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang bagi mendapat sokongan menjayakan kempen tersebut tidak lama lagi. klpos.com, harakahdaily.net malaysiakini

26 November 2007

17 November 2007

Pramoedya: Sejarah, Novel dan Politik Pembebasan

Forum Pramoedya: Sejarah, Novel dan Politik Pembebasan

Tarikh: 24 November 2007 (Sabtu)

Masa: 8 malam

Tempat: Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur

16 November 2007

Akhirnya gesaan pelbagai pihak dituruti


Kerajaan mengumumkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kesahihan video klip yang menunjukkan perbualan seorang peguam mengenai pelantikan hakim.

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdullah berkata penubuhan suruhanjaya itu difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas yang menyiasat kesahihan klip video itu baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata siapa yang akan menganggotai suruhanjaya diraja itu hanya akan ditentukan selepas bidang tugas suruhanjaya itu ditetapkan.

Pelbagai pihak menggesa penubuhan suruhanjaya diraja kerana ia mempunyai bidangkuasa yang luas untuk mengarahkan saksi tampil memberi keterangan serta memberi imuniti kepada pemberi sumber.

Klip video selama lapan minit tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar 19 September lalu. Menurutnya ianya adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 14 minit.

Menurutnya, baki klip video itu tidak dapat didedahkan lagi bagi melindungi identiti dua pemberi sumber tersebut. -- malaysiakini.com

14 November 2007

Demokrasi Cara Malaysia









"This is democracy Malaysian's style. (Ini adalah demokrasi cara Malaysia)"

Kata-kata di atas adalah kata-kata yang keluar dari mulut seorang wartawan asing yang terkena tembakan meriam air dan percikan gas pemedih mata. Wartawan tersebut mencari berita untuk Al-Jazeera, sebuah media yang dikenali ramai akan ketelusannya menyebarkan berita-berita sensasi lagi berani. Media inilah yang bertanggung jawab menyiarkan footage-footage Usama bin Laden.

Dan pada satu masa dahulu media ini juga amat dipuji ketelusannya oleh pemerintah Malaysia dalam menyampaikan berita-berita berkenaan Islam. Seterusnya pihak pemerintah Malaysia juga mengizinkan pejabat Al-Jazeera Edisi English beroperasi di Malaysia.

Dengan membenarkan pejabat Al-Jazeera beroperasi di negara ini, pihak pemerintah mahu dunia melihat bahawa negara Malaysia adalah jagoan negara membangun yang membenarkan “ketelusan” beroperasi di Negara ini. Pemerintah juga mahu dunia melihat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang terbuka lagi positif.

Tetapi situasi yang berlaku di negara ini, seperti yang dilaporkan oleh Al-Jazeera English Edition pada hari Sabtu yang baru lepas menunjukkan ketidak telusan pemerintah. Kejadian perhimpunan rakyat aman dan cara polis mengendalikan para demonstran amat memalukan.

Ini ditambah dengan gelagat "lucu" Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin atau panggilan mesranya ZAM. Jelas terpancar sikap Zam yang emosional; menjawab sementara wartawan sedang bercakap atau ingin menanyakan soalan tambahan. Amat memalukan.

Hamish MacDonald, wartawan dari Al-Jazeera itu secara tulus menyampaikan berita untuk tatapan jutaan penonton. Seperti Al-Jazeera suasana itu dikongsi bersama oeh BBC, CNN dan beberapa lagi agensi berita antara bangsa seperti AP, AFP, Reuters dan lain-lain lagi.

Jika Al-Jazeera mengelirukan rakyat, maka samalah juga keadaannya dengan BBC, CNN, AP, AFP, dan Reuters. Mungkin ada "konspirasi peringkat tertinggi", untuk membunuh imej negara terutamanya parti pemerintah. Mungkin. Tak masuk akal.

Di sisi lain pula, media arus perdana seperti mahu bersekongkol dengan parti pemerintah; menutup apa sebenarnya yang terjadi Sabtu lepas. Jumlah yang menghadiri perhimpunan itu kata mereka 4 ribu lebih orang sahaja, sedangkan laporan dari akhbar-akhbar dari luar negara mengatakan menurut laporan polis seramai 30 000 orang dan menurut BERSIH pula 40 000 orang menghadiri perhimpunan raksasa itu.

Betul kata Prof Dr. Hamdan Adnan, sikap ketidak telusan hanya akan menyebabkan masyarakat pembaca akhbar tidak akan membeli akhbar atau pergi ke sumber alternative lain. Seperti yang terjadi ketika pada zaman reformasi 1998. Kredibiliti akhbar dalam melaporkan hal sebenar diragui.

Dan situasi pada masa kini seakan membenarkan Indeks Kebebasan Akhbar RSF (Reporters Without Borders) yang meletakkan Malaysia di tangga ke 124 turun dari kedudukan tahun lepas iaitu di tangga 92. Tahap rating Malaysia amat mengecewakan jika mahu dibandingkan dengan beberapa buah lagi negara kecil dan miskin lain seperti Mongolia (74), Kemboja (85), Timor-Leste (94), dan Bhutan (116).

Apa yang terjadi Sabtu lepas, merupakan lubang kubur yang sudah siap digali, tinggal hendak memasukkan jenazah ke dalam kubur. Mahu dibawa beramai-ramai ke bawah, ke dalam kubur atau mahu sahaja jenazah menggolek-golekan diri, turun sendiri ke dalam kubur -- namun ia pasti sukar dilakukan atau boleh sahaja tidak mungkin dilakukan.

Jangan pula jenazah itu demokrasi, demokrasi yang gagal untuk marak di rantau ini atau sahaja ke alam dunia membangun atau dunia ketiga. Walaupun gagal untuk marak, namun ia tetap berkembang pesat; nyaris ada dunia siber ini. Pihak pemerintah mungkin boleh mengharamkan kritik kepadanya tetapi di dunia siber ini masalah jurisdiksi menjadi penghalang.

Dunia sekarang berteraskan demokrasi yang mementingkan hak asasi manusia, kebebasan akhbar dan lain-lain. Gelombang kuning Sabtu lepas mengisyaratkan kepada yang berkenaan bahawa demokrasi cuba untuk hidup di Malaysia; menggunakan talian hayat perhimpunan raksasa aman. Cuma persoalannya sekarang adakah demokrasi di Malaysia perlu satu lagi talian hayat selepas ini untuk menyelamatkannya dari terus mati dan terkubur. Mungkin. -- Zulfikar Samsuri

MEMUPUK BUDAYA SAINTIFIK






Oleh: Kassim Ahmad

Memupuk dan membangunkan sebuah budaya saintifik di kalangan rakyat kita suatu usaha yang sangat penting dalam kerja besar kita untuk membangunkan sebuah tamadun baru bagi bangsa kita. Kita baru lepas merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50. Rakyat kita yang beragama Islam baru pula lepas melalui sebulan berpuasa - suatu latihan moral dan spiritual yang penting. Kedatangan Islam di zaman Muhammad sendiri membawa kita memasuki suatu era baru - Era Sains dan Teknologi. Itulah makna perintah 'baca!' kepada Nabi Muhammad. Dengan membaca, kita mengetahui; dengan mengetahui, kita boleh buat; dengan membuat, kita mendapat hasil dan mencapai kejayaan. Pendek kata, kita boleh mengubah nasib kita dan mengubah dunia tempat duduk kita. Inilah pula makna dan implikasi mertabat manusia sebagai khalifah di Bumi.

Jangan lupa kebangkitan bangsa Arab dalam abad-abad ketujuh hingga ketiga-belas, di bawah inspirasi dan ransangan ajaran Quranlah, yang telah memperkenalkan sains kepada dunia Eropah dan Barat dalam abada-abad ketiga-belas hingga keenam belas. Kemudian Eropah mengambil-alih pimpinan tamadun dari tangan orang Islam, yang mulai saat itu telah jatuh, kerana telah mengabaikan tanggungjawab mereka memimpin dunia.

Jangan takut dengan perkataan 'saintifik'. Ia hanya bermakna ilmu yang sahih. Setelah tidur berabad-abad lamanya dan dijajah oleh bangsa-bangsa Eropah, umat Islam telah bangkit semula dan menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan bermakna bebas dari kaum penjajah untuk menentukan nasib kita sendiri dalam semua bidang: politik, ekonomi dan lain-lain. Tetapi, pada akhirnya, kebebasan itu suatu sifat minda. Jika minda kita tidak bebas dari segala bentuk kongkongan, maka kita tidak akan dapat membentuk sebuah kehidupan yang bebas baik dari segi apa pun. Inilah makna tauhid: bebas dari segala bentuk perhambaan, kecuali kepada Yang Maha Berkuasa.

Baru-baru ini, seorang putera Malaysia telah menyertai dua orang angkasawan lain untuk naik ke angkasa lepas dan membuat kajiana saintifik di sana. Idea Malaysia menerokai angkasa lepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahahtir. Kita bernasib baik, kerana pimpminan negara kita dari awal telah mendukung dasar budaya saintifik. Ini tidak semestinya telah berlaku, kerana banyak negara Islam menganut sikap menolak budaya saintifik Barat, kononya, sikap demikian tidak selaras dengan ajaran Islam. Untungnya, kita sudah pun memperukunkan dasar ini dalam Rukunegara. Ini boleh kita anggap satu kejayaan yang besar.

b e r s a m b u n g …

*dipetik daripada blog Kassim Ahmad

Serangga, tikus, lalat, dan burung

Di China, sepanjang 1958 hingga 1960, jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Petani diperintahkan menggali tanah lebih dalam (untuk tujuan pertanian). Oleh itu, sebelum sempat memungut hasil, mereka, orang-orang miskin telah lebih dahulu jatuh kelelahan. Jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Burung di China diancam kepupusan. Keseimbangan alam terganggu. Tetapi para birokrat terus menggelembungkan statistik dan laporan-laporan mereka dek ketakutan pada Mao Zedong yang punya ambisi terlalu utopia. Akhirnya, burung pun dikeluarkan daripada daftar "empat makhluk jahat".

Catatan di atas digarap Frances Wood, mahasiswi Inggeris yang mengikuti pendidikan di Beijing ketika Mao mula menanamkan semangat Revolusi Kebudayaannya. Ketika itu, ahli akademik, intelektual, budayawan dan mereka yang 'beriman' kepada rasionaliti menerima pembantaian atas alasan tidak menyumbang kepada kelompok proletariat. Gerakan celaka ini dimata-matai Tentera Merah (Red Guards) yang ke mana-mana pun menjunjung "buku kecil merah" (The Red Little Book) berisi pidato-pidato taiko komunis itu.

Di Kuantan penghujung Oktober yang sudah, dalam Simposium Penulis Pelbagai Kaum VII anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak ada buku kecil merah itu. Tetapi Tentera Merah, serangga, tikus, lalat dan burung tetap ada. Dan 'petani' (sastera) diminta menggali lebih dalam sebelum akhirnya jatuh dan kelelahan.

Acara tiga hari dua malam itu membawa tema "Sastera Kebangsaan Membina Negara Bangsa". Tajuk dan tema semacam ini bukanlah perbincangan baru seputar dunia sastera tanah air. Dalam masa-masa yang lain dikenali atau disebut juga sebagai sastera kebangsaan, sastera perpaduan dan lain-lain istilah yang kedengaran amat murni. Fenomena ini disebabkan, secara tidak sedar, digerakkan faktor kekuasaan. Agenda integrasi adalah diletakkan sebagai agenda nombor wahid sesudah Mei 1969. Akibat daripada inilah, kita mendengar dan melihat Rukun Negara 'diconteng' hatta pada dinding-dinding sekolah rendah. Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dirangka sebagai panduan aktiviti kebudayaan bangsa.

Negara bangsa dalam takrif kita tidaklah seperti Jepun, Portugis atau Iceland. Portugal misalnya telah mengekalkan identiti kebangsaannya sejak 900 tahun yang lalu. Negara kita tidak mempunyai kesatuan bangsa yang satu atau serumpun. Malaysia dilahirkan dengan gabungan Melayu-Cina-India dan suku-suku pribumi Sabah dan Sarawak. Ikatan negara bangsa kita berasaskan kontarak sosial 1957.

Namun malangnya, DKK hanya menjadi dokumen yang, menurut Mohd Affendi Hassan, dilanggar sesuka hati. Begitu juga Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah dokumen liberal yang paling sahih. Penyatuan bangsa untuk membina sebuah negara bangsa yang bebas dan merdeka tidak berlaku sekiranya semua masalah antara kaum disapu di bawah karpet merah. Oleh itu, saya insaf dan naif sekali, bahawa seperti lakunya Revolusi Kebudayaan yang berhasil menakutkan-nakutkan Frances Wood dan orang-orang kebanyakan di China suatu masa, aktiviti seninya turut menjadi bagian daripada alat perpaduan. Perpaduan dalam erti kata ini bermaksud perpaduan atas nama kelangsungan pemerintah sedia ada.

Agak aneh bunyinya, dalam sebuah demokrasi dan negara yang liberal, kata perpaduan menjadi begitu sinonim dan digandingkan dengan semua bidang daripada ekonomi, seni, sastera, bahkan agama. Walhal, biasanya dalam atmosfera ini, kebebasanlah yang afdal dibicarakan dari mula. Ini merupakan inti dan semangat demokrasi dan liberalisme. Kata "perpaduan" biasanya hanya popular dalam negara-negara komunis sahaja.

Saya syak, ada pemain yang tidak muncul seperti "Madam Mao". Dalam tahun-tahun pahit di China itu, isteri Mao, Jiang Qing, bintang filem yang tak lagi popular itu memainkan peranan yang amat penting dalam menjalankan cita-cita revolusi. Dan ia bergerak dalam lapangan seni budaya. Madam Mao mendominasi opera, panggung dan layar perak. Gambaran lotus, bunga-bunga digantikan dengan ladang, taktor dan 'berhala' Mao dalam sosok paling heroik. Itulah makna perpaduan dan kestabilan bagi Jiang Qing dan suami luar biasanya itu.

Kerana itu, galilah lubang. Dan galilah lebih dalam kerana serangga, tikus, lalat dan burung tidak mampu membuat onar terhadapnya.

Dalam Mempertimbangkan Tradisi, Rendra telah membuatkan kita ragu bertambah ragu, dan keraguan itu membuat kita maju. Katanya, kebudayan itu dibentuk oleh manusia, bukan sebaliknya. Dalam negara yang bangsanya tidak menjadi asas kepada negara, negara menyebarkan 'kejahatannya' dalam pelbagai lapangan. Oleh itu, tidak ada sasterawan yang diancam tindakan pemerintah dengan sangat serius seperti penahanan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Kerana, walau apa pun, sastera kita belum menjadi jantan.

Sastera telah menerima dan membiatkan kejahatan pemerintah itu sewenang-wenangnya. Kerajaan itu, mengikut pemikiran liberal adalah "kejahatan yang perlu". Kerana itu ia perlu dibataskan. Dan sastera dalam konteks ini tidak boleh menjadi bidak. Sastera mesti mampu mencerahkan jalannya sendiri dan indipenden sepenuhnya. Sastera tidak boleh menjadi bagian dari takdir yang ditentukan kejahatan yang tadi, lalu tunduk dan menyerah kepada tradisi. Tradisi itu tetap bukan barang mati dalam sejarah.

Berbalik kepada sastera pelbagai kaum, sekali lagi seratus sasterawan daripada pelbagai pelosok negara dihimpunkan dalam sebuah dewan. Mereka disuruh menggali sedalam-dalamnya teori dan isu yang dikemukakan seperti petani China. Format Madam Mao pula adalah sastera kebangsaan sebagai wajah Melayu-Cina-India yang disebut secara tempel dalam karya-karya tulis. Disertai pula oleh penulis-penulis yang punya warna kulit yang beda. Ada juga projeksi melahirkan sasterawan Cina atau India menulis dalam bahasa Melayu. Itulah makna perpaduan mengikut Madam Mao. Kredit jika boleh membaca sajak dalam dialek Kelantan.

Simposium itu gagal merumuskan dengan baik sastera kebangsaan mahu pun konsep negara bangsa (seperti kata seorang penulis veteran, "sekadar lagu lama"). Bahkan ada pembentang yang keliru dengan konsep negara bangsa itu sendiri. Pembentangan pula sekadar membawa beberapa pembentang yang punya warna kulit yang beda walau pun kupasan mereka tidak sedalam tanah yang dikorek petani China. Oleh itu serangga, tikus, lalat dan burung pun datang menghinggap. Perpaduan atas nama negara dan bangsa Malaysia hanya akan berlaku apabila tiba masanya manusia tidak diidentitikan dengan keturunan.

Mari kita petik pendapat Mao, kebudayaan bukan sekadar kesenian. Kebudayaan adalah seluruh aspek masyarakat. Di China, sepanjang 1958 – 1960, jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Petani diperintahkan menggali tanah lebih dalam (untuk tujuan pertanian). Oleh itu, sebelum sempat memungut hasil, mereka, orang-orang miskin telah lebih dahulu jatuh kelelahan. Jutaan serangga, tikus, lalat dan burung dibantai. Burung di China diancam kepupusan. Keseimbangan alam terganggu. Tetapi para birokrat terus menggelembungkan statistik dan laporan-laporan mereka dek ketakutan pada Mao Zedong yang punya ambisi terlalu utopia. Akhirnya, burung pun dikeluarkan daripada daftar empat makhluk jahat.

Dan petani-petani itu, mereka seolah-olah menggali pusara mereka sendiri. - Jimadie Shah Othman

13 November 2007

Judicial Crisis Forum

> Former Lord President Tun Salleh Abbas,
> Former Court of Appeal Judge Datuk Shaik Daud Ismail,
> SPEAK OUT On Judicial Crisis!
>
> How to Stop the ROT?
> Public Forum on Judicial Crisis
>
> Date: 16/11/2007 (Friday)
> Time: 8 – 10 pm
> Venue: Federal Hotel, Kuala Lumpur (35, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur)
>
> Organized by Insitut Kajian Dasar
> Admission is Free. All are welcome
>
> Speakers:
> Tun Salleh Abbas (former Lord President)
> Datuk Shaik Daud (former Court of Appeal Judge)
> Datuk Seri Anwar Ibrahim (former Deputy Prime Minister, Advisor to KeADILan)
>
> Moderator:
> Sivarasa Rasiah (Human Rights Lawyer)

11 November 2007

BBC: BERSIH Rally for Electoral Reform in KL, Malaysia



From: daulattuanku

Gathering in Kuala Lumpur 10 Nov 2007 - NTV7 version



From: matsputnik

CNN: BERSIH Rally for Electoral Reform in KL, Malaysia



From: daulattuanku

Zainuddin at AlJazeera: BERSIH Rally for Electoral Reform



From: daulattuanku

Berita Dari Luar Negara Tentang Perhimpunan 10 November

p/s - ini sahaja yang pihak kami sediakan. Ada yang menggunakan pelbagai tajuk tetapi beritanya sama sahaja. Ini kerana syarikat-syarikat penerbitan itu mengguna berita daripada agensi berita. Senarai ini, kali terakhir dikemaskini pada jam 5:01 minit petang.

Liputan Video Perhimpunan BERSIH oleh Malaysiakini



10 November 2007

Violence reigns Malaysia opposition protests - 10 Nov 07



dari AlJazeeraEnglish
tarikh 10/11/07

Klip Video VK Lingam: Anwar Dedah Lagi


Sekali lagi pendedahan tentang perbualan telefon antara peguam kanan VK Lingam dibuat oleh Ketua Umum KeADILan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kali ini pendedahan yang terlibat adalah bahagian kedua pita berkenaan.

Dan kali ini, penonton dapat mengetahui siapakah orang yang sedang bercakap dengan VK Lingam. Menurut pita tersebut VK Lingam sedang bercakap dengan Tun Ahmad Fairuz; mencaturkan tentang hakim-hakim di negara ini.

Menurut suara keadilan bahagian kedua pita itu, jelas menyatakan nama Tun Ahmad Fairuz apabila Lingam ditanyakan oleh perakam video siapa yang bercakap dengannya dalam perbualan telefon dan dia menjawab “Ketua Hakim Malaya, Datuk Ahmad Fairuz.”

Anwar pula berkata dalam kenyataannya selepas pendedahan tersebut, "[p]emimpin-pemimpin Umno yang secara konsisten menyoalkan kesahihan video pernah mendakwa bahawa nama Tun Ahmad Fairuz sebenarnya tidak muncul dalam video tersebut.

Kata Anwar lagi merujuk SK, "pemberi video tersebut masih ragu-ragu untuk mendedahkan diri dan bahagian video seterusnya kerana masih tidak yakin dengan jaminan keselamatan yang diberi oleh kerajaan dan Perdana Menteri.

"Saya mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri dan secara peribadi sanggup menghadapi mana-mana risiko, tetapi menurut pemberi video, Perdana Menteri telah memberi banyak jaminan - jaminan bahawa kadar jenayah akan turun, ekonomi akan pulih dan sebagainya, tetapi semuanya tidak dipenuhi."

"Oleh itu, tidak hairanlah, jika pemberi maklumat tidak yakin bahawa jaminan-jaminan beliau cukup untuk melindungi keselamatan peribadi mereka" kata Anwar sambil meyakini bahawa bahagian ketiga video dan seterusnya akan didedahkan pada masa sesuai.

PM: Mereka Bukan Cabar Saya, Tapi Undang-undang dan Rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (atau juga, panggilan mesranya Pak Lah) menganggap bahawa Bersih mencabar bukan dirinya, tetapi undang-undang dan rakyat yang mahukan negara aman, selamat dan stabil sepanjang masa.

Beliau berkata demikian susulan daripada pendirian Bersih yang tetap mahu adakan perhimpunan raksasa 1000 000 orang, walaupun pehimpunan itu akan diadakan secara haram (permohonan untuk mendapatkan permit ditolak) - dan sudah beberapa kali amaran dikeluarkan.

Dipetik dari malaysiakini beliau sebagai berkata,"[i]tulah yang mereka cabar, bukan saya... tapi saya pantang dicabar. Bila polis kata jangan, mereka hendak (adakan) juga, tentukan akan berlaku sesuatu yang tidak baik, biasanya tindakan itu akan jadi kacau..."

Katanya lagi, dalam berita yang sama, "[t]engok apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini, satu kejadian yang kita tidak dapat diterima, satu kejadian liar, bukan cara kita, bukan cara Malaysia, bukan cara demokrasi Malaysia, amalan demokrasi jalan, kita tidak dapat terima langsung."

Pak Lah juga mempersoalkan niat mereka yang mahu berhimpun; jika benar mereka mahu suatu sistem pilihanraya bebas dan adil, tentu tiada negeri yang akan dimenangi oleh pembangkang. - malaysiakini

08 November 2007

Pulihkan Institusi Demokrasi: DSAI

Ratusan ribu Rakyat akan tetap turun ke Dataran Merdeka walaupun sudah ada amaran dikeluarkan. Pihak berkuasa dan pemerintah nampaknya gagal menegah mereka dari berhimpun.

Ada di antara mereka berkata bahawa cara mereka itu sah di segi undang-undang dan amalan ini adalah amalan biasa bagi sebuah negara demokrasi, walaupun pihak polis berkali-kali memberi peringatan bahawa sesiapa yang hadir ke perhimpunan tersebut bisa dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam kenyataannya yang keluar pada awal hari ini sempena perhimpunan 100 000 rakyat yang akan diadakan pada hari sabtu ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengingatkan kembali kepada kerajaan bahawa suara rakyat akan kembali bergema di Dataran Merdeka pada hari sabtu ini.

Pada 1998, petang sewaktu DSAI akan ditahan polis, satu perhimpunan raksasa melibatkan hampir 300 000 (ada yang mengtakan jumlah itu mencapai angka jutaan) rakyat berlangsung di Dataran Merdeka. Ketika itu, kata yang dilaungkan ialah "re-for-ma-si!."

Dalam kenyataan itu juga, DSAI mendesak pihak kerajaan supaya melaksanakan perubahan kepada institusi demokrasi di negara ini dn sistem pilihan raya dijamin sebagai telus dan adil.

"Desakan kami kepada kerajaan untuk melaksanakan perubahan ini tidak diendahkan. Mereka telah mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan institusi demokrasi di negara kita dapat berfungsi dengan baik. Maka rakyat Malaysia menuntut dari Raja-Raja Melayu untuk memastika kerajaan Malaysia melaksanakan amalan asas bagi pilihan raya yang telus dan adil sebagaimana dilaksanakan di demokrasi moden di seluruh dunia," antara lain tulisnya di dalam kenyataan sepanjang tujuh perenggan itu.

Beliau turut menyentuh soal skandal kehakiman yang melibatkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz, tentang penggunaan pengundi hantu dan tekanan terhadap pengundi.

"Seramai 40,000 undi haram telah dikenalpasti di Selangor sahaja bagi Pilihan Raya Umum 2004. Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kami mempunyai bukti bagaimana pengundi yang dikira menyokong pembangkang dipindahkan keluar dari daerah-daerah di mana sokongan UMNO lemah," tambah beliau lagi.

"Jika Suruhanjaya Pilihan Raya yakin dengan ketelusan pengurusan pilihan raya, mengapa mereka tidak membenarkan pemantau antarabangsa untuk masuk ke negara bagi memerhati dan melaporkan proses pilihan raya kita? Mengapakah tawaran kerjasama oleh badan antarabangsa dan serantau tidak diendahkan atau ditolak?"

[kenyataan penuh]

07 November 2007

Bangkit Wahai Anak Muda: AMK


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Sdr. Shamsul Iskandar Md Akin, menyeru seluruh anak muda di negara ini agar bersama-sama turun ke Dataran Merdeka pada Sabtu ini, jam 3 petang.

Menurut Shamsul, anak muda perlu bangkit dengan segera bagi menyelamatkan negara ini, yang menurutnya juga bahawa tiga tonggak penting dalam negara semakin terancam akibat salah guna kuasa dan rasuah.

Kata Shamsul, "(n)egara ini perlu segera diselamatkan. Tiga tonggak penting negara; parlimen, kehakiman dan eksekutif sedang mereput perlahan-lahan oleh kerana amalan rasuah dan tidak amanahnya mereka yang dipilih."

Baginya pilihanraya negara ini tidak bebas dan tidak adil. Suruhanjaya yang menangani sistem pilihanraya itu perlu bebas dan adil, ia sangat perlu bagi kita dalam menentukan masa depan yang cerah bagi negara.

"Kita tidak perlu lagi ditipu oleh sistem pilihanraya sekarang yang dipenuhi dengan kecurigaan kecurangan yang sebahagiannya telah dibuktikan di dalam mahkamah," katanya lagi.

Klip Video Lingam: "Sah, Pita itu Wujud" - Lim Kit Siang


"Saya dah tengok bahagian kedua Pita Lingam", kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, dan secara terangan pita itu menunjukkan seorang peguam kanan VK Lingam sedang berbincang dengan seorang yang dikatakan sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Dalam satu kenyataan akbar yang dikeluarkan semalam, Lim berkata yang dia dapat mengesahkan kewujudan bahagian kedua pita itu.

Bahagian pertama pita tersebut telah didedahkan oleh Ketua Umum Parti keAdilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim dua bulan lepas, namun demikian bahagian kedua pita itu belum lagi didedahkan untuk melindungi pemberi maklumat. - malaysiakini.

Peranan Sultan Perak


Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang merupakan bekas Hakim Besar Malaya dipercayai memainkan peranannya dalam memastikan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim tidak meneruskan kontraknya.

Menurut sumber, kontrak Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dikatakan tidak diperbaharui kerana perbincangan antara Sultan Azlan Shah dan Perdana Menteri Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi, dngan nasihat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hasil daripada perbincangan ini kemudiannya diusulkan kepada Majlis Raja-Raja, telah bersetuju dengan usulan itu sebelum sebuah kenyataan dibuat oleh Majlis Raja-Raja akhir Rabu lalu.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Hamid Mohamad telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Hakim mengisi kekosongan yang ditinggalkan kosong oleh Ahmad Fairuz 66.

Abdul Hamid, 65, akan menjawat jawatan berkenaan sehingga mahkamah mendapat calon yang sesuai.

Dalam perkembangan berkaitan dikatakan juga ada personal yang memegang jawatan tinggi turut terlibat dengan Kes Video Klip VK Lingam yang didedahkan oleh Anwar Ibrahim, Ketua Umumr Parti keAdilan Rakyat (PKR).

"Mana boleh celen (cabar) dia. Kalau kerajaan dah tak ingat dunia, buatlah", kata sumber itu yang merupakan juga seorang kakitangan kerajaan.