16 September 2008

DEKLARASI KELANA JAYA!

Oleh: Suhaimi Said

Bagi saya, Perhimpunan 30,000 rakyat di Stadium Kelana Jaya pada 15hb September 2008 dengan setiap seorang mengibarkan Bendera Malaysia adalah suatu peristiwa yang sepadan dengan Sambutan Hari Malaysia yang gagah.

Kehadiran pimpinan PAKATAN RAKYAT disambut dengan kibaran Bendera Malaysia memberangsangkan setiap yang hadir sebagai tanda bahawa semangat patriotisme Malaysia kini sedang diperbaharui diatas landasan yang kukuh dan berpandu kepada sejarah.

31hb Ogos disambut rakyat Malaysia sebagai Hari Merdeka dan 16hb September disambut dan dirayakan sebagai Hari Malaysia, itulah sejarah gemilang negara ini yang akan terus hidup dan disambut dengan penuh semangat.

Hari Merdeka dan Hari Malaysia bukanlah sekadar hari untuk dirayakan dengan sekadar cuti umum, dan diadakan perarakan serta pemakaian baju-baju baru, tetapi hendaklah disambut dengan penuh kesedaran dan keinsafan serta mengingati pejuang-pejuang bangsa yang menentang beratus tahun perhambaan bangsa oleh puak penjajah.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika rakyat terus dibelenggu oleh kemiskinan sedangkan Negara ini kaya dan boleh menampung keperluan rakyat jika berlaku pembahagian kekayaan secara adil dan teratur.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika rakyat dinafikan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya boleh diperolehi mereka jika negara ini diuruskan dengan betul, tidak menyeleweng.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika mereka yang menghempas tulang empat kerat terus hidup tertekan, dan mereka yang boleh memanipulasi kekayaan Negara dan ekonomi melalui politik kronisme terus bermewah dengan projek demi projek.

Kemerdekaan tidak mempunyai apa-apa erti jika kaum pekerja, petani dan nelayan tidak memperolehi pendapatan sepadan dengan keringat mereka. Kemerdekaan tidak mempunyai apa-apa erti jika masih berlaku penindasan dan kezaliman terhadap golongan rakyat.
Kemerdekaan tidak mempunyai apa-apa erti jika pemerintahan masih bertegak diatas dasar pecah dan perintah dibawah dasar perkauman yang jijik.

Merdeka bukan hanya sekadar bebas dari penjajahan Negara asing keatas Negara kita yang tercinta ini. Merdeka bererti bebas dari cengkaman penjajahan asing dan penjajahan ekonomi oleh golongan yang berada keatas golongan yang tidak berada.
Didalam Negara Merdeka, kita mahu pastikan rakyatnya mendapat peluang yang bukan sahaja adil tetapi boleh menjamin kehidupan yang sejahtera dan mempunyai masa depan yang terjamin.

Kita tidak mahu dasar-dasar besar untuk pembelaan rakyat tetapi isinya kosong, kita tidak mahu Bajet yang dibentangkan tahun demi tahun untuk kesejahteraan rakyat namun peruntukan pelaksanaanya tidak sampai kepada sasaran sebenar.

Lihatlah dikawasan-kawasan pedalaman di Negara ini. Infrastrukturnya ketinggalan 50 tahun kebelakangan, tidak ada jalanraya, bekalan air, elektrik, talipon, tidak ujud kemudahan persekolahan kepada anak-anak sesuai dengan sebuah Negara Merdeka.

Lihatlah betapa kelaparan tanah berlaku kepada petani-petani dengan segala kesukaran untuk mereka menjalankan kerja-kerja pertanian dengan sistem yang sudah ketinggalan zaman.

Lihatlah rumah-rumah mereka hanya sekadar tiang-tiang kayu hutan, berdinding dengan kulit-kulit kayu, berlantaikan buluh dan beratapkan daun-daun nipah. Lihatlah betapa kemunduran mereka dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya. Adakah golongan mereka itu dikatakan minoriti? Mungkin, tetapi golongan minoriti ini adalah rakyat Malaysia yang mengharapkan pembelaan dari Negara Merdeka dan pembelaan itu tidak kujung tiba!

Rasakanlah keluhan hati mereka, rasakanlah keresahan mereka, rasakanlah kekeciwaan mereka, rasakanlah kemiskinan mereka. Billion demi billion ringgit wang yang dibajetkan, namun puluhan tahun golongan yang terpinggir ini tetap dipinggirkan; dan golongan yang terpinggir ini menjadi ratahan parti-parti politik yang rakus yang
mengumpan mereka dengan sogokan yang kecil untuk mendapatkan undi dari mereka semasa pilihanraya; seolah-olah kemiskinan mereka menjadi aset kepada kekuasaan parti-parti politik tersebut.

Secara ringkasnya Barisan Nasional sudah tidak berupaya lagi memerintah dan mentadbirkan Negara ini dengan baik dan berkesan. Kehadiran 30,000 rakyat berbilang kaum di Kelana Jaya yang mengibarkan Bendera Malaysia dan menyanyikan lagu Negara-Ku dipermulaan serta dipenghujung Perhimpunan itu melambangkan aspirasi kemerdekaan
sebenar. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Kamaruddin Jaafar serta
Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim menghulurkan erti kemerdekaan sebenar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat telah pun menyerahkan surat rasmi kepada Datuk Seri Abdullah Ahmada Badawi untuk suatu pertemuan segera bagi membincangkan penyerahan kuasa secara aman dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Peralihan kuasa hendaklah berlaku secara aman diatas dasar bahawa jumlah ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah pun mengatasi jumlah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Parlimen.

Ia perlu berlaku secara aman kerana ini bukanlah rampasan kuasa tetapi berlaku mengikut cara dan prosedur yang sejajar dengan semangat demokrasi dan Perlembagaan Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional perlu menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat kalau tidak pada hari ini, maka esuk, atau lusa dan mengikut kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, "Kita berilah peluang kepada Pak Lah untuk membuat persediaan penyerahan aman dalam tempoh seminggu dua ini."

Bagi saya, 16hb September yang dijanjikan telah ditunaikan, dan itulah saya namakan DEKLARASI KELANA JAYA.

Tiada ulasan: