01 September 2008

Riang-riang: Bicara dengan roh ramadhan - sempena bulan turunnya Quran





Aku pernah memilih untuk tidak menjadi muslim. Ini cerita beberapa tahun lepas. Cerita sewaktu aku menyanyikan Quran lalu mencampaknya ke dinding - apa yang aku lagukan ni? Itu persoalan yang berputar dalam kepala. Aku tak faham apa yang aku nyanyikan - langsung. Sehinggalah ada hantu datang bagi aku tafsir lalu aku membacanya berulang-kali. Hantu tu suruh aku baca tafsir je. "Jangan buat benda yang kau tak faham," katanya.

Okeh, cerita aku memilih untuk tidak menjadi muslim. Kalau Lina Joy tu minta kat kerajaan supaya tajuk Islam di kad pengenalannya dipadamkan, aku mahu minta kat kerajaan supaya tambah tajuk tu jadi 'Islam Hadhari' ataupun 'Islam Kapal Selam'. Aku tak faham kenapa kena letak Islam kat kad pengenalan. Kenapa mesti menekankan Islam di mana-mana di bumi Malaysia ni? Bagus sangat ke Islam ni sehingga jadi penting sangat? Bagi aku, Islam di Malaysia ni samalah dengan henfon ataupun 'laptop'. Ianya tuntutan dan menjadi satu beban. Bukan lagi satu kaedah hidup atau fahaman atau ideologi atau falsafah atau kepercayaan atau suatu gabungan yang lahir ikhlas dari hati dan akal fikiran.

Oleh kerana aku didesak untuk menulis ISLAM sebagai agama di dalam mana-mana borang, maka aku tak ada pilihan dan pilihan aku terbatas pun - untuk menjaga hati keluarga dan masyarakat keliling. Aku nak saja tulis yang aku ni bukan Islam. Aku memilih untuk jadi kafir.

Aku, bukan saja ditipu bahawa negara Malaysia diperintah oleh penipu dari parti tipu. Tapi aku juga ditipu dari sudut pandangan agama Islam. Semasa di luh-mahfuz, aku sudah memilih Islam sebagai agamaku. Tapi, bila lahir ke dunia (rupa-rupanya dunia Melayu Malaysia, alamak...), aku menyesal berjanji dengan Tuhan kerana memilih Islam.

Sekali lagi, aku campak tafsir Quran ke dinding.

Kali ni, hantu tu datang lagi, tapi tak bagi aku apa-apa. Tengok saja. Apa tengok-tengok!

Aku memilih untuk tidak beragama. Aku ingatkan Malaysia yang beragama Islam ni betul-betul dah faham Quran, tapi aku lupa yang Malaysia tak boleh membaca. Aku kosong selama beberapa tahun. Dalam kosong aku itulah aku meneroka alam baru. Aku dikenalkan dengan beberapa orang Nabi dunia baru -dari Prusia dan Perancis. Marxisme dan Existensialisme ialah pemikiran yang baru dan segar. Islam kolot. Pemikiran ini lebih suci dari Suu Kyi di Burma. Lebih kemanusiaan dari kemanusiaan. Lebih alam dari Alam So You Think You Can Dance(hehehe).

Tuhan - aku murka padamu dan aku mahu bersemuka denganmu. Tapi kau tak keluar. Pengecut rupanya...

Dalam pada itu aku minat sejarah dan geografi. Ingin mengetahui sejarah dan keadaan mukabumi memang kesukaan aku dari kecil lagi. Aku suka pergi kat kubur lama dan melihat batu nisan yang sangat berusia. Tapi pergi waktu siang lah. Aku juga suka berbasikal dengan kawan-kawan dan meneroka kampung. Aku suka baca catatan N.A Halim (arwah) tentang kota-kota lama. Selain itu, aku mengembara dengan keretapi dan bas (tapi dengan keluarga aku lah). Pengembaraan itulah yang membuatkan aku kenal geografi dan sekaligus aku ingin tahu sejarah tempat itu, terutama asal-usul nama tempat tu.

Minat ini membuatkan aku berminat meneroka sejarah nabi-nabi. Bila terdetik saja aku nak baca sejarah nabi-nabi, hantu tu datang lagi. Dia bagi aku buku sejarah nabi-nabi: 1. Versi budak-budak yang ada gambar dan hurufnya besar-besar; 2. Versi dewasa yang tulisannya halus-halus dan disertakan dengan ayat-ayat Quran.

Dari sini, aku merasakan cerita-cerita nabi ni belum lengkap. Lalu aku diberikan senaskah 'Bible' oleh hantu ni. Aku membacanya. Kemudian, aku kembali membaca tafsir Quran. IBRAHIM - nama inilah yang membuatkan aku tertarik pada sejarahnya. Sejarah kota Ur di Iraq dan tamadum Mesopotamia, sejarah Palestin dan Mekah dan yang pasti, Ibrahim ialah bapa kepada kepercayaan monotheism - percaya pada satu Tuhan. Dua orang anaknya - Ismail dan Ishak inilah yang membuatkan manusia hari ini tidak bersatu. Padahal manusia-manusia ini sudah pun bersatu sebelumnya ketika banjir alam, di dalam bahtera Nuh. Ismail melahirkan keturunan yang berakhir dengan Muhammad. Manakala Ishak melahirkan keturunan yang berakhir dengan Isa.

Kemudian aku mencari Torah, Tanakh dan Talmud. Hantu ni memang banyak membantu. Dan akhirnya - aku faham sikit APA ITU ISLAM! (akan dihuraikan lagi)

Dalam Quran sudah merangkupi segala falsafah yang ada hari ini kecuali falsafah 'KAPITALISME' dan 'FEUDALISME'. Dua falsafah ini bukan dalam Islam malah inilah musuh Islam. (akan dihuraikan lagi)

Hehe, patutlah Muhammad si rasul tu dikatakan manusia sempurna. Tapi selepas kematiannya, dikatakan ulamak ialah pewarisnya. Tapi, apabila meragukan ulamak-ulamak Syeikh-syeikh, maka carilah ulamak Voltaire, Gandhi, Engels dan seangkatan dengannya.

Tuhan - aku murka lagi padamu. Kenapa tidak kau sedarkan aku dari dulu Yang AKU DI DALAM KAU, DAN KAU DI DALAM AKU? (akan dihuraikan lagi)

Tiada ulasan: