Oleh: Suhaimi Said
Semasa umur saya menghampiri 6 tahun, saya sudah ada geng - Geng Kedai Lintang. Kedai Lintang Temerloh adalah sederet kedai yang dimiliki oleh orang Kampar; Sudirman Haji Arshad tinggal di situ, ayahnya Haji Arshad adalah pemimpin kecil UMNO, seorang Ahli Majlis Bandaran; tetapi kebanyakan pekedai-pekedai disitu adalah anggota Partai Rakyat pimpinan Ahmad Boestamam.
Geng Kedai Lintang ini terdiri daripada anak-anak Kampar, anak-anak Cina dari Kg Baru Cina, dan anak-anak Cina dari Jalan Ibrahim dan Jalan Abu Bakar, serta anak-anak Melayu dan Kelantan yang tinggal di rumah-rumah rakit Kuala Semantan, dan anak-anak Melayu dari Kg Bukit Pak Silap. Anak-anak Kampar dari Batu Satu, kekadang ikut sekali. Anak-anak India dari Kaman JKR di luar Jalan Abu Bakar yang sekarang
ini dikenali Jalan Ahmad Shah turut sama.
Saya tinggal di rumah rakit, tetapi oleh kerana ayah saya bekerja sebagai tukang masak di Kedai Makan kepunyaan Haji Amin di Jalan Abu Bakar, saya lebih merapati Kedai Lintang di Jalan Ibrahim. Kumpulan Geng ini ramai. Petang-petang kami berkumpul di tepi Sg Semantan, di Kuala Semantan. Kami mandi-mandi hingga air penuh masuk di dalam telinga dan merah-merah mata.
Malam-malam berkumpul di tepi kedai-kedai makan yang ada di Jalan Ibrahim. Malam Selasa (kalau tak silap) kami pergi ke Kem Askar berdekatan Bandar Temerloh (sekarang ini terdapat Sekolah Kebangsaan Bandar Temerloh), kerana setiap malam Selasa ada pertunjukan wayang gambar di Kem itu. Cerita yang kami minat ialah cerita perang, Tarzan dan Cowboy.
Geng Kedai Lintang ini tidak sehaluan dengan geng-geng dari Kg Bangau, Kg Buntut Pulau dan Seberang Temerloh. Kalau bertemu, maka berlakulah gelanggang "bertumbuk", binjol-binjol kena. Sebenarnya, kami tak pandai bertumbuk kerana kami tak belajar silat, sedangkan anak-anak Buntut Pulau, Pangsenam, Seberang Temerloh, Bangau dan lain-lain kampong tu, mereka belajar bersilat.
Satu hari saya bersama kawan-kawan dari Geng Kedai Lintang, anak Kampar, anak Melayu dan Cina. 5, 6 orang; kami menyeberang, Sg Semantan secara berenang, dan mandi di Tg Keramat di sebelah Sg Pahang.
Tiba-tiba datang Geng Bangau serang kami; saya kena sebiji atas mata; benjol besar! Balik kerumah, ayah tanya, kena apa? Saya tak jawab. Dia taulah yang saya dah bertumbuk. Dia bagi lagi dengan 5, 6 kali sebat.
Lain kali jangan bergaduh, bodoh, katanya. Geng Kedai Lintang kami sangat rapat dari kecil hinggalah sekarang. Sekarang pun, masing-masing dah tua, semuanya 60 tahun keatas; ramai dah meninggal dunia, yang lain-lan dah berpindah ke merata tempat di
negeri-negeri lain. Tetapi yang tinggal di Temerloh, seperti Hamid, Wahab, Big Boon, kalau kami berjumpa amatlah mesra. Geng kami itu ada Cina, ada Melayu, ada Kampar dan ada India.
Rupa-rupanya pergaulan masa kecil itu amat penting; walaupun kami dari kaum yang berbeza, kami tidak pernah kekok didalam hubungan persahabatan diantara kami, tak kira Melayu, Cina, India atau Kampar. Bila UMNO, MCA dan MIC memainkan "racism", kami rasa benda tu pelik. Apa hal nak ber-perkauman ni? Kalau berjuang bersama-sama, yang susah ditolong, yang kaya beri pertolongan, kan itu lagi bagus?
Rupa-rupanya UMNO, MCA dan MIC ni mereka tu gila kuasa! Mereka dapat kuasa kerana mereka gunakan sentimen kaum. Sekarang ni, mari kita pulak dapatkan kuasa dengan kekuatan PERPADUAN KAUM. Lagi kokoh, lagi kuat, lagi real. Kita tolak semua parti berasas kaum, dan kita bina parti yang berpadu kaum! PKR? PR? Ya, itulah jawapannya!
1 ulasan:
haha anda menutup sebelah mata bila diberi dua mata
Catat Ulasan