09 April 2009

Keputusan 2-1, bukan petanda baik buat Najib





Keputusan pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai telah menyaksikan Pakatan Rakyat menang 2-1 menewaskan BN. Pakatan menang di Bukit Gantang dan Bukit Selambau manakala BN menang di Batang Ai.

Ini bukanlah petanda baik buat Najib Razak yang baru diangkat sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam.

Sekurang-kurangnya, Abdullah Badawi selepas dilantik menjadi perdana menteri berjaya memenangkan BN pada pilihanraya 2004 dengan majoriti yang besar. Majoriti terbesar yang pernah diperolehi oleh BN dalam sejarah.

Najib yang baru sahaja menjadi PM disambut dengan kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Yang lebih menyedihkan lagi, BN yang dipimpinnya tewas di dua Bukit tersebut walaupun proses pilihanraya tidak dijalankan secara bebas dan adil dan secara terang-terangan memihak kepada BN.

Media arus perdana yang terang-terangan menjadi “mesin propaganda” bagi BN gagal mengolah persetujuan rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau untuk memilih BN. Bos-bos TV3 sudah tentu akan “terduduk” menyaksikan keputusan pilihanraya kecil tersebut. Ternyata propaganda murahan dan laporan berat sebelah TV3 sudah tidak “dibeli” oleh rakyat.

Jika sebelum ini Umno/Barisan Nasional menyalahkan Abdullah Badawi terhadap kekalahan BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, apa kata mereka sekarang?

Yang lebih menyedihkan, walaupun membawa Dr. Mahathir berkempen bagi membantu BN, BN tetap kalah.

Ada seorang teman beritahu, Najib menghantar Dr. Mahathir untuk membantu kempen BN oleh kerana mahu lepas tangan. Jika BN kalah, kesalahan tidak akan dilemparkan kepada dirinya tetapi kepada Muhyiddin kerana bersungguh-sungguh ingin membawa Dr. Mahathir turun berkempen.

Najib akan bertambah pening lagi oleh kerana MCA dikatakan marah dengan bakal kabinet yang baru dibentuk. Klik disini. MCA dikatakan marah oleh kerana kuota parti tersebut semakin berkurangan.

Oleh kerana itu pengumuman kabinet baru Najib ditangguhkan sehingga esok.