Hasmi Hashim
SERAYA masuk Rumah Putih, Barrack Hussein Obama belum pun lagi mengumumkan pakej ransangan besar lebih USD800 bilion, belum pun merangka langkah konstruktif pengunduran tentera dari Iraq, apatah lagi pemulihan hubungan dengan dunia Islam atau dasar luar Amerika Syarikat keseluruhannya — melainkan antara yang pertama dilakukannya adalah memberi wajah baru kepada laman web kerajaan Amerika Syarikat!
Sepertimana di dalam kempen menuju kepresidenan itu, team di belakang Obama, saya percaya, telah berbincang untuk menggunakan apa jua kemungkinan media baru. Termasuk facebook… apatah lagi peranan laman web yang bukan kepalang.
Dengan langkah yang sesederhana itu sahaja, maka beliau dianggap telah mendepani sesuatu yang sekian lama tak terpandang penting oleh orang politik. Baik di Amerika, baik di Malaysia.
Iaitu, imej.
Demikian, pentas pun berubah.
Saya telah naik saksi, sejak sepuluh tahun lalu bagaimana payahnya, meski dalam parti yang berslogan “reformasi”, untuk mengemudi perubahan imej, karena setiap perubahan imej terlebih dahulu menuntut perubahan paradigma. Tanpanya, sesuatu perubahan imej itu lembik dan munafik.
Dalam Kongres Nasional 2009, wajah pentas utama di dalam dewan kongres di hadapan, misalnya, total berubah daripada tradisi rupa politik yang konvensional, macam yang selalu difahmi sebelum-sebelum ini, yang sesungguhnya sudah cukup menjemukan, kepada yang lebih segar. Segak.
Kini, penguasa politik yang sering beranggapan mereka pemutus bicara (atau barangkali “tuhan dunia”), seakan mulai tersedar. Kalau direkacorak stage Kongres atau perhimpunan besar parti, tak perlu lagi tulisan banyak-banyak. Tak payah kerawang-kerawang. Kain rompol-rompol macam “langsir mak datin”. Tak perlu bunga dirimbunkan untuk jadi laksana hutan tropika…
Dipermudahkan, namun tetap memelihara makna. Apakah ia payah sangat?
Umno, dalam Perhimpunan Agung kelmarin pun menyusul pembaharuan ini — dan memang sifatnya parti yang semakin lanjut umur, terlambat mengubah citarasa perubahan. Alangkah kagetnya saya apabila paras pentas parti itu kelmarin cuba meniru-niru imej simple politik baru. Tidak sepertimana perhimpunan lepas-lepas, yang saya saksikan sejak kecil.
Ada logo besar di tengah-atas, dan nama parti — bayangkan, untuk menyaksikan perubahan yang sebegini kecil, ahli Umno perlu menunggu puluhan tahun. Paling tidak lebih 10 tahun, sejak saya meninggalkan parti itu.
Saya pergi pada 1998 — parti pertama yang saya sertai sejak cukup umur. Krisis politik-ekonomi 1997-98 tak menampakkan ada tanda Umno boleh berubah, meski saya juga tiada pasti, apakah parti politik baru yang terbentang di hadapan saya, benar-benar sebuah harapan untuk membawa semangat anak muda, sekurang-kurangnya kalau pun bukan semangat zaman.
Memang, hal itu bukan persoalan termustahak sehingga saya terjerumus dalam ruang politik kekuasaan. Namun, ia tetap menjadi antara sebab — sebab yang kadang kala belum dapat kita temukan bahasanya. Tak tahu hendak cakap dan dijelaskan bagaimana.
Cuma, saya percaya pada tanda, atau sign. Tanda sukar menipu.
Sekian tahun hampir semua parti-parti politik bercakap tentang perubahan, retorika yang bagi saya pertama kali dilaung dan dipopularkan oleh Anwar Ibrahim dalam wilayah politik nasional. Kini, kata perubahan dan kata azimat dan laksana slogan bagi hampir semua wadah politik, walaupun tempohari ada yang malu-malu kucing untuk menggunakan istilah “reformasi” kerana ketengik dengan perjuangan dan arus 1998.
Saya yakin, mata anak-anak muda adalah mata yang tajam. Tak sedikit pun mahu mereka menghampiri sesuatu itu, kalau mereka rasakan “sesuatu itu” adalah sesuatu yang asing, apatah lagi yang anti-mereka. Ini fitrah.
Keadilan-lah parti yang paling beruntung apabila punya seorang ketua yang masih membawa semangat dan roh kontemporari, dan muda. Tak lain tak bukan, Anwar… seraya parti-parti lain masih terus bergelut untuk memberi wajah segar kepada parti masing-masing, Keadilan sudah ada. Pun begitu, apa yang dimiliki oleh Keadilan, tidak juga abadi, kerana suatu waktu nanti, Anwar akan tiada.
Maka, yang kekal adalah kesedaran. Untuk terus berubah. Bukan terlalu selesa sehingga membawa beku. Atau, penyakit hari ini, mengheret imej kuno (walaupun selalu pula dinafikan bahawa kekuasaan baru dan kerajaan baru adalah dengan dasar yang juga “baharu”), ke masa semasa.
Saya melihat banting setahun kerajaan Selangor, saya merasakan begitu tuanya rekacorak banting itu. Sedangkan, zaman politik rasis sewajarnya sudah lama berakhir, sekurang-kurangnya pada 8 Mac yang lalu. Sekurang-kurangnya di Selangor.
Contoh tak perlu banyak, memadailah yang satu itu.
Hasmi Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.