Oleh Haris Zalkapli
Cadangan China agar satu usaha dimulakan ke arah melahirkan matawang rizab global baru untuk menggantikan dolar menjelang mesyuarat ekonomi membangun G20 April nanti, menunjukkan negara itu semakin bimbang dengan kestabilan dolar Amerika Syarikat yang menjadi sebahagian besar rizabnya serta menguji pengaruhnya sebagai sebuah ekonomi paling pesat dunia.
Gabenor bank pusat China, Zhou Xiaochuan dalam satu laporan menegaskan satu sistem dikawal Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, mungkin akan menjadi lebih stabil dan dan lebih mudah dilaksanakan.
China memegang rizab asing sebanyak hampir AS$2 bilion, menjadikannya penting kepada ekonomi AS, terutama ketika krisis hari ini, sesuatu yang disedari oleh Beijing dan ingin dimanfaatkan.
Selain menunjukkan kebimbangan Beijing terhadap kemerosotan nilai pegangan dolar rizabnya, cadangan itu juga boleh dilihat sebagai usaha China meningkatkan suaranya dalam sistem kewangan global yang semakin menyaksikan kemerosotan pengaruh AS, walaupun tahap kemerosotan ini sering diperbesarkan.
Walaupun negara itu tidak dijangka akan melakukan sebarang tindakan yang drastik dan retorik yang disuarakan sukar untuk disertakan dengan tindakan, hal ini telah menunjukkan pengaruhnya.
Dolar AS menerima kritikan meluas sejak beberapa tahun lalu, terutama ketika banyak negara memperbagaikan rizab dengan matawang euro dan mencadangkan reformasi sistem kewangan dan perdagangan global.
Pihak yang kritikal dengan AS telah lama bersedia meninggalkan dolar AS dan berdagang dalam matawang lain seperti euro. Satu lagi negara pesaing AS, Rusia juga pernah menunjukkan kesediaan menerima matawang euro sebagai matawang perdagangan dengan Eropah, pasaran terbesarnya.
Negara seperti Perancis dan Inggeris serta banyak negara lain mula menyuarakan keperluan perubahan terhadap institusi Bretton Woods, Bank Dunia dan IMF. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh pemimpin kedua-dua negara berpengaruh Eropah itu, Presiden Nicolas Sarkozy dan Perdana Menteri Gordon Brown.
Tidak seperti semasa Bretton Woods dicapai, realiti dunia hari ini menyaksikan kemunculan banyak kuasa ekonomi, seperti negara-negara Eropah dan negara yang dinamakan BRIC oleh firma Goldman Sachs, iaitu Brazil, Rusia, India dan China.
Negara-negara terbabit dikenali dengan kuasanya melibatkan komoditi penting seperti minyak dan gas, potensi pengeluaran yang tinggi dan peningkatan pertumbuhan ekonomi yang pantas, menjadikan mereka penting dalam ekonomi global, terutama disebabkan keadaan saling bergantungan.
Washington menunjukkan respons yang tegas terhadap kenyataan China itu. Presiden Barack Obama dalam satu kenyataan di Rumah Putih menegaskan dolar AS masih sangat kuat dan menolak seruan China itu.
Obama dilapor berkata para pelabur melihat AS sebagai ekonomi terkuat di dunia dengan sistem politik paling stabil di dunia. Katanya, ketika dilanda krisis hari ini, pelabur masih yakin dengan kekuatan AS.
Apapun jawapan Obama, cadangan yang ditimbulkan China itu menunjukkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada kepercayaan dunia terhadap ekonomi dan politik AS. Hakikat bahawa China menimbulkan isu ini juga memperlihatkan tanda peningkatan pengaruhnya di peringkat global.
Sesetengah pihak di AS sendiri mencadangkan China diberi saham yang lebih besar dalam institusi-institusi dunia sebagai satu bentuk kerjasama konstruktif untuk mengelakkannya daripada membawa haluan sendiri yang tidak selari dengan kepentingan AS dan dunia.
Dengan cara ini, dihujahkan bahawa Beijing dan menjadi pemain yang lebih bertanggungjawab dan tidak meneruskan agendanya yang berpotensi menjejaskan kepentingan pihak lain. Dengan cara ini juga China diharapkan menjadi lebih demokratik.
Bahagian yang lebih besar juga bermakna sumbangan yang lebih besar untuk dana IMF, dan oleh itu bermakna China juga akan terus membina pengaruhnya melalui sumbangan kepada IMF itu. China sendiri sudah pun membina pengaruhnya melalui bantuan kewangan dan geran yang dilakukan tanpa IMF dan Bank Dunia.
Di negara seperti Kemboja dan negara-negara Afrika, China sudah pun berperanan sebagai pembiaya projek-projek pembangunan, mengambil peranan yang biasanya dimainkan oleh IMF dan Bank Dunia.
Dalam perkembangan terbaru, perdana menteri Australia, Kevin Rudd sendiri berpendapat China perlu diberikan undi yang lebih besar dalam IMF, selari dengan realiti order ekonomi global hari ini.
Bagaimanapun, pemberian bahagian itu, seperti yang difikirkan pihak yang mencadangkan idea itu, pasti mempunyai hadnya, dan tidak mahu melihat China menjadi pemain baru yang mendominasi sistem tersebut. Selari dengan kuasa ekonomi dan politik dimiliki AS, saham yang sedia diberikan kepada China, yang menjadi pesaingnya dalam banyak lapangan, juga terhad.
Bagaimanapun, tuntutan agar order kewangan global mencerminkan perubahan terkini, dengan segala persediaan menghadapi realiti kuasa abad baru akan terus disuarakan, terutama negara-negara pemberi hutang yang mahu menuntut bahagian masing-masing.
Sentimen mendasari apa yang dicadangkan oleh China telah lama dirasai banyak pihak. Mesyuarat G20 di London tidak lama lagi hanyalah permulaan dalam persaingan sebenar untuk kuasa dan pengaruh.