30 April 2009

BOHSIA: Jalan hitam yang menghiburkan?


Oleh Ajami Hashim

Klasifikasinya 18PL.

Itu sudah mencukupi bagi menghalalkan filem ini untuk ditonton? Bagi saya, elok diberikan label 'U' sahaja supaya remaja-remaja bawah umur 18 tahun boleh menontonnya dan belajar (baca: mengajar untuk tidak kurang ajar atau sebaliknya) sambil berhibur! Watak-wataknya memang menjijikkan tapi seronok untuk diperhatikan dari jauh di kedudukan sebagai seorang penonton wayang dalam panggung mahupun dari kacamata masyarakat yang dari golongan baik-baik. Kisahnya sudah tentu klise tetapi dimantapkan dengan penceritaan yang laju tanpa sebarang adegan yang meleret. Khalayak juga tidak perlu untuk memihak kepada mana-mana watak atau menyukai apa-apa babak yang dipaparkan. Penonton tidak kisah siapa yang akan dirogol, disuntik dadah, bermulut lancang, dibelasah sampai mati katak apatah lagi lumba-lumba haram yang bingit. Biarpun kepalsuan realisme dari cara dialog atau pakaian pelakon, juga tidak menjadi hal! Filem ini secara terang-terangan seolah berkata kepada saya "lu apa hal? ini kan filem beb?" Jadi kerana itulah saya menggemari naratif ringkas dan padat filem ini. Kisah asasnya mudah iaitu dunia bahaya di sekitaran 2 orang bohsia, Tasha (Nabila Huda) dan Amy (Salina Saibi) yang menjadi para bohsia kerana backstory institusi keluarga mereka yang celaka!

Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ialah sebuah filem mengenai pilihan bebas yang mutlak tanpa sesiapa pun menyuruh atau mengongkong. Ia cuma sebuah filem pengulangan dan cedokan kisah yang dinaik-tarafkan dan diglamourkan dari filem-filem kasar remaja yang terdahulu seperti KL Menjerit, Kami, Budak Kelantan, Anak Halal, Haru Biru, Remp-it, malah bayangan siri Sembilu serta filem seangkatan dengannya. Bezanya cuma kali ini tanpa sebarang watak yang putih bagi meneutralkan majoriti watak yang hitam dalam Bohsia. Tidak! Watak Aisyah (Diana Danielle) juga bukan watak ikon yang bagus ok! Pemaparan secara terus itu tidak mahu berselindung apa-apa lagi kerana filem ini sebenarnya hanya untuk menggerunkan kepada sesiapa yang tidak tahu atau buat-buat tak tahu bahawa gejala-gejala itu sudah dan sedang berlaku kini. Filem ini hanya menvisualkan dan memperdengarkan perihal yang seringkali dicetak di akhbar dan laku dibaca oleh masyarakat. Itulah sebabnya bagi saya ia sesuai untuk disuapkan sebagai 'U' kerana kisahnya sudah biasa kepada umum. Oh! Bagaimana pula seandainya ia dikhuatiri akan menjadi budaya gelap yang dipopularkan lagi oleh filem ini? Maka kamu lihat pula sekeliling dunia hari ini yang sememangnya sudah dicemari dari luar ke dalam siber dan kembali ke luar. Sama bukan?

Kekuatan paling nyata dalam filem ini ialah para pelakon yang hampir kesemuanya saling bantu-membantu penceritaan dengan sungguh meyakinkan. Ironi juga bila melihat kemunculan Nasir Bilal Khan yang mula popular dengan filem Perempuan, Isteri dan... dimana sewaktu itu perkataan 'Jalang' terpaksa di 'dot dot dot' kan kerana faktor penyaringan bahasa kasar yang ketat dalam perfileman Malaysia! Namun hari ini, perkataan-perkataan kasar dan pasar seperti mampus, jalang, dowh malahan 'bohsia' itu sendiri menjadi tajuk filem ini. Tidak keterlaluan seandainya saya katakan bahawa mungkin ada pelakon dari filem ini yang layak untuk menggondol pelakon terbaik di FFM tahun ini! Kita tunggu dan lihat! Adakah saya terlalu keterbukaan menilai filem ini tanpa prejudis dan paranoid kepada impak sosial yang mungkin berhasil dari menonton filem sebegini? Hey! ia soalan yang seakan sama sekiranya kamu pulang dari menonton sebuah filem seram yang sangat ya amat seram dimana kamu akan bermimpi hantu datang mencekik kamu! Maksud saya, harapnya impak sosial yang boleh dijana oleh filem ini ialah - Jangan Pilih Jalan Hitam.. ahahaha!