04 Disember 2008

DariBangsar Utama: Umno tidak bersedia untuk reformasi- Zaid Ibrahim


Zaid Ibrahim (yang meletakkan jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kerana menentang penggunaan ISA ke atas RPK, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew) percaya bahawa pemecatannya bukan kerana beliau menghadiri kongres PKR dan jamuan makan malam DAP akan tetapi kerana segelintir pemimpin Umno tidak suka akan idea dan pemikirannya yang terbuka dan bersedia untuk melakukan reformasi.

Sewaktu beliau masih lagi menjadi Menteri De Facto Undang-undang, kita boleh melihat sendiri bagaimana beliau sering dikritik oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Umno seperti Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir dan dituduh melaksanakan agenda Pakatan Rakyat.

Berikut adalah kenyataan penuh saudara Zaid Ibrahim:

KENYATAAN AKHBAR DATUK ZAID IBRAHIM

Kuala Lumpur, 4 Disember, 2008 – Mantan Menteri Undang-undang (de facto) YBhg Datuk Zaid Ibrahim telah dipecat daripada UMNO pada Selasa malam (3 Disember 2008), kerana dikatakan telah melanggar kod etika parti. Beliau telah hadir di Kongres PKR, dan juga Majlis makan malam DAP di Pulau Pinang, hujung minggu lepas.

1. Datuk Zaid Ibrahim menegaskan beliau tidak terperanjat dengan tindakan yang diambil oleh UMNO, tetapi mempertikaikan cara keputusan itu dibuat. “Saya tidak diberi peluang untuk didengar malah saya juga tidak tahu mengenai sebarang kesalahan yang telah saya lakukan. Saya tidak menghadiri majlis makan malam DAP ataupun kongres PKR untuk memprovokasi sesiapa. Saya sekadar hendak mendengar atas jemputan rakan-rakan. Tetapi itulah sikap UMNO. Ia melihat provokasi dan musuh dimana-mana. Ia tidak peduli mengenai keadilan asasi.” Beliau tidak akan membuat rayuan di mahkamah, kerana bagi beliau itu sekadar kemenangan tanpa makna.

2. Zaid bersetuju dengan dakwaan para pemimpin UMNO bahawa beliau adalah `orang kerdil’ dalam UMNO yang tidak mempunyai pengaruh. Inilah sebabnya beliau dijadikan mangsa dan dihukum kerana tindakan-tindakannya, sedangkan ramai lagi tokoh-tokoh lain yang lebih berkuasa yang mencemuh Datuk Seri Abdullah Badawi dan mempersendakan parti, malah ada yang menggesa rakyat supaya mengundi parti Pembangkang. Bukan itu sahaja, malah mereka mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghasut atau perkauman, tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap kelompok ini. “Mungkin juga UMNO mengamalkan sikap pilih kasih,” tegas Datuk Zaid.

3. Datuk Zaid telah bersama-sama UMNO lebih daripada 23 tahun. Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum 2004. Itu merupakan satu kejayaan besar bagi UMNO kerana kerusi ini sebelumnya dikuasai oleh PAS lebih 15 tahun.

4. “Selama berada dalam UMNO, saya melakukan yang terbaik untuk membantu parti merubah budaya serta nilai politik parti dan secara berterusan bercakap mengenai reformasi. UMNO satu ketika dulu adalah parti yang diyakini dan dipercayai oleh bangsa-bangsa lain. Pemimpin UMNO pada zaman awal selepas kemerdekaan sentiasa mengutamakan semangat muafakat berkaitan isu-isu penting yang dihadapi oleh negara. Ia adalah sebuah parti yang mengamalkan dasar-dasar yang pragmatik dan bukan ideologi palsu. Pada masa itu, politik perkauman bukanlah sebagai daya tarikan. Saya yakin, inilah UMNO yang sepatutnya – yakni sebagai sebuah parti yang lebih progresif dan muhasabah diri.

5. “Satu-satunya yang mengecewakan saya, ialah saya disalahfahamkan oleh rakan-rakan dalam parti berkaitan isu membantu orang Melayu. Saya percaya bahawa UMNO dan Kerajaan mestilah menyediakan bimbingan dan bantuan kepada Bumiputera, tetapi ini mestilah berdasarkan keperluan dan merit. Ini akan menjadikan orang Melayu lebih berdaya saing dan diperkuatkan dengan keyakinan dan semangat berdikari… Adalah penting mereka memiliki nilai-nilai yang betul untuk mencapai kejayaan. Malangnya, pandangan saya ini telah disalah tafsir sebagai mengkhianati bangsa Melayu dan meninggalkan dasar perjuangan parti.

6. Bagaimanapun, Datuk Zaid mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Badawi kerana memberi peluang kepadanya dan melantiknya sebagai Timbalan Ketua Perhubungan Negeri Kelantan tahun 2002, dan dipilih sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya 2004 yang beliau menangi. Beliau berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan yang ketika itu dipimpin oleh YB Dato’ Mustapha Mohamed, yang hampir-hampir dapat merampas Kelantan. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas segala bantuan beliau semasa beliau menjadi presiden UMNO.

7. Datuk Zaid Ibrahim tidak akan menyertai parti politik lain pada masa terdekat. Beliau komited untuk menguruskan .myFuture Foundation dengan membantu generasi muda memahami kepentingan demokrasi, kedaulatan undang-undang, keburukan amalan rasuah dan pentingnya keharmonian kaum. Datuk Zaid ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menyuarakan kesanggupan mereka untuk menerima beliau menganggotai Pakatan tetapi buat masa ini beliau ingin memberi keutamaan terhadap kerja-kerja berkaitan dengan masyarakat sivil.

8. Datuk Zaid akan terus menjelaskan pandangannya mengenai perkara-perkara yang penting bagi negara. “Kebebasan yang baru saya peroleh bermakna saya bebas menghadiri mana-mana forum serta menyuarakan pandangan saya mengenai isu-isu yang penting kepada negara,” katanya.

9. Datuk berharap para pemimpim UMNO akan menumpukan usaha menyelesaikan masalah negara daripada memperkecilkan dan mencemuh beliau. “Sudah tentu ada banyak lagi perkara lebih penting yang boleh mereka lakukan,” ulas beliau.

Untuk maklumat lanjut mengenai myFuture Foundation, sila hubungi Dina Zaman di tel: 03-78850021 atau dina.zaman@myfuturefoundation.my

Pada pandangan saya, bukan Zaid yang rugi akan tetapi Umno yang rugi kerana kehilangan pemimpin yang berkaliber dan berprinsip seperti Zaid.

Tiada ulasan: