06 Disember 2008

Tahun yang hebat untuk demokrasi

oleh ‘Abidin Muhriz (WauBebas.org)

2008 mungkin tahun yang buruk untuk kapitalisme. Tetapi ia akan dikenang sebagai tahun yang hebat untuk demokrasi. Terdapat tiga pilihan raya yang mengujakan. Pertama, Pilihan Raya Umum Malaysia pada 8 Mac, kedua Pilihan Raya Datuk Bandar London pada 1 Mei dan ketiga Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 4 November. Keputusan semua pilihanraya tersebut menunjukkan betapa terdapat kemahuan yang tinggi untuk perubahan. Semuanya mencipta sejarah tersendiri dan menguatkan keyakinan saya akan kebaikan ‘peti undi’.

Ada kemungkinan terdapat lebih ramai rakyat Malaysia yang tinggal di London berbanding seluruh Amerika Syarikat. Di London, warga Malaysia mempunyai hak mengundi melalui kerakyatan negara Komanwel. Namun demikian, PilihanrRaya Datuk Bandar London kurang mendapat perhatian kita. Dalam pilihanraya tersebut, Boris Johnson daripada parti Konservatif mengalahkan penyandang jawatan, Ken Livingstone daripada parti Buruh. Kemenangan Boris Johnson mencatatkan sejarah kerana ini merupakan kali pertama Datuk Bandar London bukan daripada parti pemerintah di peringkat nasional.

Datuk Bandar London dalam banyak hal jauh lebih berkuasa berbanding Menteri-Menteri Besar di Malaysia. Kuasa Datuk Bandar London merangkumi isu perumahan, pengangkutan dan kesihatan. Nyata sekali bahawa pilihanraya tersebut merupakan pilihanraya yang penting untuk sepuluh juta warga London. Keputusan ini melambangkan betapa pengaruh parti Buruh semakin menurun setelah lebih 10 tahun ia mentadbir Britain. Kemenangan Boris Johnson juga menjadi dorongan yang signifikan untuk Parti Konservatif pimpinan David Cameron.

Perbezaan kelas masih lagi menjadi isu dalam politik Britain. Kelompok Kiri di Britain tetap menuduh Boris Johnson sebagai seorang elit yang tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan golongan minoriti. Tuduhan tersebut dilontarkan meskipun Boris Johnson sebenarnya mempunyai pertalian darah dengan salah seorang menteri semasa Empayar Uthmaniyyah, sama seperti Obama yang juga mempunyai pertalian dengan ahli keluarga beliau yang beragama Islam. Namun, pengundi di London tetap memilih perubahan tanpa menghiraukan kempen negatif golongan Kiri. Margaret Thatcher pernah berkata: “Kelas ialah konsep komunis. Mereka mengkelompokkan manusia dan menyebabkan adu domba antara satu dengan yang lain.”

Di Malaysia juga terdapat perubahan dalam isu kaum dan kelas, terutamanya selepas 8 Mac. Meskipun umumnya dipersetujui bahawa keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac bukanlah tanda bahawa politik berasaskan kaum telah berakhir, ia merupakan permulaan yang baik. Ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang secara umumnya bersetuju bahawa politik pasca perkauman adalah satu perkembangan yang baik. Agenda Ekonomi Malaysia yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang jelas melangkau klasifikasi etnik. Laman sesawang baru Timbalan Perdana Menteri memaparkan slogan “Kita semua adalah rakyat Malaysia…Bersama menjadi Malaysia yang satu” (Each of us is one Malaysia… Together we are one Malaysia). Tetapi Tun Mahathir baru-baru ini menyatakan bahawa politik kaum masih belum mati, terutama kerana perbincangan mengenai kaum kini lebih banyak berlaku secara terbuka. Tetapi yang lebih penting ialah, isu kaum kini boleh diperdebatkan secara terbuka. Sudah tentu ada mereka yang mahu mempertahankan status quo, tetapi sekurang-kurangnya proses perubahan telah bermula.

Pada 5 November saya berhubung dengan rakan-rakan di Washington DC melalui Facebook. Saya meninggalkan Washington DC setahun yang lalu ketika mereka sedang membuat keputusan untuk memilih sama ada Hillary atau Barack Obama untuk penamaan calon parti Demokratik. Saya bertanya mereka sama ada Amerika kini telah melangkaui sempadan kaum. Seorang rakan yang asalnya menyokong Hillary Clinton merungut bahawa “Rakyat Amerika amat bimbang jika McCain dan Palin akan menguasai Rumah Putih sehingga mereka yang biasanya mempertahankan hak orang kulit putih pun telah mengundi calon yang hanya separuh hitam”. Seorang rakan saya dari sayap libertarian parti Republikan pula berkata “Amerika merayakan kemenangan Obama sedangkan kita terlupa betapa polisi-polisi beliau akan merosakkan negara. Malahan, mana mungkin kita mengatakan persoalan kaum sudah tidak relevan tetapi kemudian bersorak kerana Presiden baru ini berkulit hitam?”.

Saya berkongsi keperihatinan rakan Republikan saya. Sebahagian daripada dasar yang dibawa oleh Obama – terutamanya polisi perlindungan dan halangan perdagangan – perlu diperhatikan dengan teliti. Tetapi saya juga yakin bahawa kemenangan Barack Obama mempunyai kepentingan simbolik di seluruh dunia. Ia telah memulakan wacana di negara kita sama ada boleh atau tidak seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Dan tentunya debat yang sama juga berlaku di negara-negara di seluruh dunia di mana isu kaum masih relevan.

Tidak perlu kita perdebatkan jika Presiden-Presiden Amerika sebelum ini ada yang berketurunan Afrika. Dan tidak perlu juga kita bincangkan jika bekas pemimpin-pemimpin negara kita ada yang berketurunan Siam, Turki atau India. Kemenangan Obama perlu dirayakan kerana ia telah mewujudkan satu perasaan positif terhadap Amerika yang pasti akan membolehkan polisi-polisi yang baik daripada Rumah Putih mempunyai lebih banyak peluang untuk berjaya.

Tiada ulasan: