01 Disember 2008

Riang-riang: Usman Awang





UTIH:

Aku menyaksikan dengan hati,
mataku mendengar, telingaku berkata,
sekumpulan dari sejenis haiwan!
Ah, tengoklah haiwan yang pandai berkata-kata.
Menghitung satu, dua, tiga.
Di sini, di sini mereka yang ada di mana-mana,
tak berterima kasih kepada
bumi dan tumbuhan,
langit dan awan yang memberikan hujan!
Petani yang bekerja membanting tulang,
menjadi mangsa kejahatan kelobaan!

Di situ di atas sana,
bapa kumpulan haiwan yang pandai berkata-kata.
Pandai menyanyi dan pandai makan padi.
Pandai memakai tanjak tengkolok.
Pandai membuat gelaran-gelaran darjat.
Lintah daratkah namanya?
Pacat rimbakah namanya?

Haiwan yang pandai berkata-kata...
Pandai makan lada tak sanggupkan pedasnya!
Tahukah kau,
sawah itu adalah aku,
lumpur adalah aku.
Angin itu adalah aku.
Sungai itu adalah aku.
Yang bukan haiwan pandai makan nasi,
tapi tak pernah menanam padi.
Tengoklah begitu ajaibnya haiwan bersuara.
Mengumpulkan harta benda yang dirompaknya!
Dirompak dari tangan yang membajak.
Dirompak dari tulang yang diperah.
Ke mana, ke mana akan dibawa semua ini?
Aku yang bernama Utih,
ditertawakan kerana sepatah kata 'gila'.
Dari mereka yang sebenarnya gila:
gila kerana harta benda,
gila kerana ringgit;
gila kepada pangkat darjat kebesaran.
Aku tahu harta dan ringgit,
cukup tahu.
Bukan untuk gunanya,
tapi kejahatan olehnya.
Kerana itulah aku tidak menyembahnya,
tidak menjadi hambanya.
Kerana seorang hamba dari harta dan ringgit,
hamba kepada darjat dan kebesaran,
terjadilah kejahatan kekejaman.
Seperti yang aku saksikan kini.
Aku kasihan dan sedih melihat
kau menjadi
haiwan yang pandai berkata-kata!


Ini adalah petikan dialog Utih, dalam drama Uda dan Dara, karya arwah Usman Awang. Watak Utih ini pernah dibawa oleh pelakon-pelakon yang hebat, dimulakan dengan Ahmad Yatim, Adlin Aman Ramlie dan paling baru aku saksikan ialah Fared Ayam. Ahmad Yatim ada Mercedes Benz. Adlin Aman Ramlie ada kereta mewah yang aku tak tahu apa jenisnya. Fared Ayam ada motosikal, tak silap aku. Hahahahaha...

Tak apa, biarlah dia orang nak pakai kereta apa pun, nak hidup macam mana pun, sebab aku pun ada cara hidup aku sendiri. Aku difahamkan, menjadi pelakon mesti ada kereta yang sangat selesa kerana perjalanan ke lokasi penggambaran tentulah memenatkan jika memandu Perodua Kelisa.

Halooo... Aku bukan nak tulis pasal pelakon dan kereta. Aiseh... Aku nak tulis pasal arwah Usman Awang. Link di bawah ni bolehlah kalau nak baca pasal arwah ni serba sedikit (bagi yang tak tahu langsung siapa dia Usman Awang ni).

http://ms.wikipedia.org/wiki/Usman_Awang

Bagi aku, semua sasterawan di Malaysia tercinta, semuanya rakyat. Mereka semua merakam sejarah dalam bentuk sastera dari sudut yang tepat dan jujur. Cuma zaman dan pengaruh sahaja yang berbeza dan tentu sekali pemikiran juga agak berlainan. Mungkin cangkupan idea berpusar di situ sahaja kerana kita semua dalam kelompok yang sama. Ada juga yang idea yang sudah terkeluar dari kelompok. Hehehe...

Aku menyanjung Usman Awang, kerana pertama, perjalanan hidupnya. Arwah pernah melepaskan ahli PKM sewaktu dia bertugas sebagai pulis british, dan ketika itu operasi memburu ahli PKM yang dijalankan oleh british. Cerita ini boleh dibaca dalam 'Memoir Abdullah C.D bahagian kedua'. Aku tak dapat bayangkan, bagaimana jiwa dia yang membara peri kemanusiaan ketika dia bertugas sebagai pulis. Terus aku terfikir, masih adakah pulis seperti dia ni hari ini? Mesti ada punya. Tapi susah sikit lah nak jumpa sebab kerja dia jaga lokap, takpun, tukang buka pintu pegawai di Bukit Aman. Yang aku tahu, pulis zaman dulu nyata berbeza dengan hari ini.

Kedua, bahasanya. Aku suka bahasanya. Kalau pening-pening baca kur an, bacalah sajak-sajak Usman Awang - sebab bagi manusia yang berbahasa melayu seperti aku ni, lebih dekat dan lebih senang faham dari baca kur an.

Ketiga, dia sentiasa berpihak pada yang kalah. Haa, ini aku tak tahu. Sama ada dia ni mempengaruhi aku, atau aku sendiri manusia yang sentiasa kalah. Iyalah, aku anak yang kesembilan dari sepuluh adik beradik. Lapan orang abang, adik aku sorang perempuan. Dibuli, sudah sebati dalam hidup aku. Hehehehe...

Kemudiannya, arwah terang-terang menyertai parti yang didokong oleh Ahmad Boestamam - Parti Sosialis Rakyat Malaya. Parti orang-orang kalah. Hahahaha... Tapi menang di hati.

Dramanya - 'Matinya Seorang Pahlawan' dan 'Uda dan Dara', bagi aku ianya segar sepanjang zaman. Pedulikan melayu dalam konteks budaya dan bahasa. Ambil terus pada cerita dan senarionya. Menghapuskan status dalam masyarakat, bukan kerja mudah. Tapi, inilah kerja Usman Awang. Baik dalam karyanya, mahupun di kehidupan sebenarnya. Dia sentiasa bersama buruh dan stout.

Hari ini, hujan.

Hisham (Rais) pasti juga hujan (paling tidak di hati), kerana tanpa bantuan Usman Awang, dah lama Hisham kena ISA!