Oleh: Amin Ahmad
Meskipun tarikh sebenar Hijrah Nabi s.a.w. ialah pada akhir bulan Safar, iaitu bulan kedua kalendar Hijrah, umat Islam telah lama menyambut semangat Hijrah pada 1 Muharam sebagaimana mula di zaman Saidina Umar r.a.. Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. akhirnya tiba di Madinah pada 12 Rabiul’awal – sama dengan tarikh kelahiran dan kewafatan Baginda s.a.w..
Peristiwa Hijrah ternyata satu peristiwa yang sangat penting bagi umat Islam. Di Malaysia, cuti umum diberikan bagi menghormati tarikh ini. Sebagai seorang muslim, saya tidak dapat mengelak untuk mengambil tahu bagaimana peristiwa ini muncul dan apakah pelajaran penting daripadanya.
Umat Islam tidak dapat mengelak daripada membincangkan pengalaman sirah Baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. untuk dijadikan panduan bagi menghadapi realiti zaman moden terutama dari segi prinsip dan tindakan yang harus diambil berkaitan sesuatu peristiwa. Maka saya melihat ada pelajaran yang cukup besar dari peristiwa Hijrah ini.
Peristiwa Hijrah berlaku dengan izin Allah s.w.t. bersandarkan nas dan juga hadis Nabi s.a.w.. Umum maklum ketika itu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. mendapat tentangan hebat daripada sekelompok kaum yang tidak senang dengan dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w..
Hasil daripada peristiwa Hijrah, umat Islam maklum bahawa telah terbinanya sebuah ‘Negara Islam’ yang pertama dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah atau Madinah Bandar yang Bercahaya. Dari peristiwa Hijrah ini juga Rasulullah s.a.w. telah mempersaudarakan suku kaum yang pelbagai dan sebagaimana saya telah ungkapkan dalam artikel Islam dan Hak Pemilikan Harta, Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. yang meninggalkan hartanya di Mekah telah berhasil memanfaatkan pasaran bebas dan jaminan hak pemilikan harta di Madinah untuk kembali menjadi seorang yang paling kaya pada waktu itu.
Pelajaran pertama di sini ialah Rasulullah s.a.w. tidak pernah menggunakan label Negara Islam dan juga Rasulullah s.a.w. menjamin pasaran bebas serta hak pemilikan harta. Ya, Piagam Madinah memang tertulis Al-Quran dan As-Sunnah menjadi sumber hukum, dan saya tertanya bagaimana Rasulullah s.a.w. berunding mendapatkannya dengan aman dan bukan paksaan atau ugutan.
Saya pernah berbual dengan seorang aktivis Parti Islam se-Malaysia (PAS) apabila timbul pertikaian politik di Malaysia tentang hak menjadi pemerintah untuk bangsa lain. Ia bermula apabila di negeri Perak, majoriti kerusi dimiliki oleh mereka bukan Islam. Pengalaman di Malaysia adalah sangat unik kerana agama Islam diikat dengan definisi bangsa. Umat Islam dan Bangsa Melayu di Perak ‘diselamatkan’ oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang mewajibkan Bangsa Melayu dan Penganut Islam menjadi Menteri Besar di sana.
Seperti biasa, ayat surah Al-Baqarah:120 dipetik untuk menjustifikasikan sikap ‘anti’ kepada bukan Islam meskipun ketika saya meneliti sebab turun ayat ini, ia tidaklah sejauh kebencian mendalam umat Islam kepada Yahudi dan Nasrani seperti yang berlaku pada masa kini.
Saya berpendapat sebaliknya. Dari peristiwa Hijrah, saya menemukan bagaimana Rasulullah s.a.w. membenarkan sebilangan sahabat r.a. untuk mendapatkan perlindungan daripada Raja Najasyi yang jelas bukan seorang Islam tetapi sangat dikenali kerana keadilannya. Seperkara lagi, Rasulullah s.a.w. sendiri adalah contoh jelas bagaimana orang dari luar Madinah yang boleh diangkat menjadi pemimpin bagi masyarakat di sana. Ini adalah pelajaran lain yang boleh diambil daripada peristiwa Hijrah.
Berkaitan dengan persoalan ini juga, saya bertanyakan aktivis PAS ini tentang kenapa sebilangan ulama’ atau pemikir muslim yang hebat dan sering menjadi panduan umat Islam akhirnya memilih negara Barat yang sering dikecam sebagai sekular ketika mendapatkan mereka ditindas di negara masing-masing? Pada hemat saya, kebebasan dan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) yang wujud di ‘negara sekular’ inilah akhirnya memberikan mereka tempat untuk berlindung daripada ditindas sekaligus membenarkan mereka (dengan izin Allah s.w.t.) melontarkan pandangan jernih tentang Islam. Kesannya, kita di Malaysia mendapat berita yang cukup banyak bagaimana Islam berkembang dengan baik di negara Barat sedangkan ada khabar sebaliknya di negara Islam (yang dikatakan antara terbaik di dunia).
Dalam satu riwayat Rasulullah s.a.w. berkata tentang Abu Nu’aim yang dirayu agar tidak berhijrah bersama Rasulullah s.a.w. kerana sebelumnya telah banyak menyumbang kepada anak yatim, janda dari kaumnya di mana kaumnya berjanji untuk membelanya dari gangguan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. “Kaumku telah menghalauku dan mahu membunuhku. Sedangkan kaummu memelihara dan membela kamu”.
Dari apa yang saya cuba gariskan dalam tulisan di atas, saya fikir ada sesuatu bersifat dasar dari permasalahan umat Islam kini, khususnya di negara yang saya cintai ini. Umat Islam sering cemburukan kebebasan dan mahu memisahkannya dalam konteks kebebasan bergerak seiring dengan keadilan.
Baru-baru ini polemik hudud muncul kembali. Isu ketuanan bangsa dan ketuanan agama juga silih berganti dan ia membuatkan saya rimas kerana ia muncul saban waktu tanpa saya nampak jelas ada kebebasan yang ditawarkan selain kecenderungan yang kuat untuk menjadi autoritarian.
Saya sangat percaya autoritarian tidak pernah menjadi jawapan kenapa Rasulullah s.a.w. berjaya menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar negara. Kita juga tak harus berbangga menjadi antara negara Muslim terbaik kerana dari segi statistik rasuah dan kelemahan pengurusan ekonomi, negara Muslim cukup unggul mengisi ruang di tangga terbawah.
Sempena Maal Hijrah, elok kita fikirkan apa yang patut kita ubah.
-------------------
Noor Amin bin Ahmad, 26 ialah Penyelidik di Malaysia Think Tank dan mantan pimpinan pelajar di Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan