oleh: Zukri Aksah
Mungkin apa yang ingin saya ulas ini tidak begitu glamour memandangkan perbahasan mutakhir ini walau di ceruk mana sekalipun lebih banyak berkisar soal Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan isu liwat Anwar Ibrahim v2.0.
Saya tertarik dengan kekecohan yang ditimbulkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, berkait dengan cadangan penerimaan 10% pelajar bukan Bumiputera dan pelajar asing ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya sebenarnya pernah bertemu dengan Tan Sri Khalid ketika beliau masih bergelar CEO Kumpulan Guthrie Berhad bersama dengan Sharmeen Jalil, adik-beradik Dato’ Shahrizat Jalil, yang menjadi PA (Pembantu Khas) Tan Sri Khalid, sewaktu saya masih menginap di Kolej Guthrie, Universiti Utara Malaysia.
Saya tidak berhajat, tidak berniat dan tidak berminat lagi untuk mengkritik Parti Keadilan Rakyat tetapi masalahnya saya tidak boleh bersetuju dengan Tan Sri Khalid dalam soal ini. Masalahnya juga saya turut tidak berkenan dengan respon-respon yang terbit akibat dari kenyataan Tan Sri Khalid ini, sama ada dari pimpinan Umno, peneraju UiTM Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, para pelajar UiTM sendiri, juga dari pihak-pihak bebas seperti Ibrahim Ali, kerana mereka semua jelas hipokrit!
Saya tertarik dengan kekecohan yang ditimbulkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, berkait dengan cadangan penerimaan 10% pelajar bukan Bumiputera dan pelajar asing ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya sebenarnya pernah bertemu dengan Tan Sri Khalid ketika beliau masih bergelar CEO Kumpulan Guthrie Berhad bersama dengan Sharmeen Jalil, adik-beradik Dato’ Shahrizat Jalil, yang menjadi PA (Pembantu Khas) Tan Sri Khalid, sewaktu saya masih menginap di Kolej Guthrie, Universiti Utara Malaysia.
Saya tidak berhajat, tidak berniat dan tidak berminat lagi untuk mengkritik Parti Keadilan Rakyat tetapi masalahnya saya tidak boleh bersetuju dengan Tan Sri Khalid dalam soal ini. Masalahnya juga saya turut tidak berkenan dengan respon-respon yang terbit akibat dari kenyataan Tan Sri Khalid ini, sama ada dari pimpinan Umno, peneraju UiTM Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, para pelajar UiTM sendiri, juga dari pihak-pihak bebas seperti Ibrahim Ali, kerana mereka semua jelas hipokrit!
Saya cukup konsisten dalam hal ini. Politik persen (%) ini, berapa persen kita berapa persen dia, dalam isu pendidikan, yang cuba menyeret nasib anak bangsa dalam kancah peperangan laba politik, bukanlah sesuatu yang baru. Saya telah menulisnya selepas Pilihanraya Umum 1999, selepas PAS berjaya mengambil-alih Negeri Terengganu, bilamana dua buah MRSM - Yayasan Terengganu ditutup kerana kemenangan PAS itu, dalam waktu yang sama 10% pelajar bukan Melayu dan Bumiputera mula diterima masuk ke MRSM, apa yang saya simpulkan ketika itu boleh dibaca di sini, tulisan saya itu juga telah dipetik oleh laman portal berita Agendadaily.com.
Saya menulis ketika itu atas kapasiti saya sebagai bekas pelajar MRSM. Tidak adapun masa itu Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA ataupun pengetua-pengetua MRSM, yang membantah mainan politik persen ini menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada juga masa itu ANSARA (Persatuan Bekas Pelajar MRSM) yang diterajui Mukhriz Mahathir turun berarak ke jalanraya membantah kemasukan 10% pelajar bukan Melayu dan Bumiputera ke MRSM ini. Sedangkan beza di antara isu MRSM dan UiTM ini sangat besar, MRSM dahulu sudah di peringkat perlaksanaan, sedangkan UiTM ini hanyalah satu cadangan sahaja.
Saya tidak boleh bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalid atas premis yang sangat mudah. Meskipun ada rasionalnya, namun untuk mengatakan yang orang Melayu dan Bumiputera bila dikumpulkan sesama mereka sahaja dalam sebuah institusi pendidikan akan menjadikan mereka kurang kompetitif dan buta globalisasi, itu bagi saya adalah satu generalisasi yang gopoh dan tidak cermat. Ini kerana kebanyakan pemimpin Melayu dalam negara ini “dikilangkan” oleh sebuah institusi Melayu, khas untuk orang Melayu dan bernama Melayu, itulah Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tan Sri Khalid pun tentu maklum yang Saudara Anwar Ibrahim juga lahir dari institusi ini. Betullah bukan semua membesar menjadi Anwar Ibrahim, tetapi sudah pasti ada yang menjadi Hishamuddin Tun Hussin, ada yang menjadi Hishamuddin Rais, ada yang menjadi Dr. Hatta Ramli, mereka semua adalah pemimpin dalam kelompok masing-masing, apakah mereka tidak kompetitif dan buta globalisasi?
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, termasuklah bidang pendidikan. Saya bukan seorang chauvinist Melayu, saya mendokong citra Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya, jauh sekali untuk saya punya rasa prejudis terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Tetapi dalam masa yang sama saya mempertahankan klausa ini, apa salahnya? Saya yakin semua rakyat Malaysia, dari semua kaum dan agama memperakui bahawa Malaysia hari ini lahir dari kerangka-kerangka politik kenegaraan lama seperti Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Melayu Johor, Kerajaan Melayu Pahang, Kerajaan Melayu Kedah, Kerajaan Melayu Perak, Kerajaan Melayu Kelantan, juga Kerajaan Melayu Terengganu. Ahli-ahli sejarah Malaysia, tidak kiralah dari mana-mana kaum sekalipun pasti bersetuju bahawa gerakan politik dan nasionalisma di negara ini bermula dengan dokongan orang Melayu, dari bersifat sebagai persatuan-persatuan bahasa, kemudiannya kepada persatuan-persatuan Melayu negeri, kepada kewujudan Kesatuan Melayu Muda, kronologi panjang ini sudah wujud lama sebelum PUTERA-AMCJA, sebelum Fron Sosialis, juga sebelum Perikatan. Atas asas inilah saya percaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah wajar dan perlu. Lebih dari itu, asas Melayu yang begitu kuat dalam sejarah pembinaan negara ini adalah bukti bahawa sedikit keistimewaan untuk orang Melayu dan Bumiputera adalah HAK, bukan pemberian ihsan yang boleh diperbincang untuk dikekal atau ditarik balik.
Berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini, maka instruktur-infrastruktur pendidikan Melayu dibangunkan, ianya rancak dalam tempoh awal perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah tersilap bila mengatakan UiTM ditubuhkan berdasarkan Perkara 153 tersebut, ini kerana bukan hanya UiTM tertubuh kerananya, banyak infrastruktur pendidikan lain yang dibangunkan, antaranya termasuklah program-program matrikulasi, sekolah-sekolah berasrama penuh, juga Maktab-Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Soalnya, jika Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah benar-benar sayangkan bangsanya, benar-benar mahu mempertahankan Perkara 153, kenapa hari ini hanya berani bersuara? Kenapa tidak mengkritik ketika MRSM mula dibuka kepada bukan Melayu dan Bumiputera dahulu? Inilah yang saya katakan hipokrit.
Menyusuri latar belakang keluarganya, saya tidak pelik dengan sifat “ddebe” dan “nok ggocoh” Datuk Paduka Ibrahim Ali, tetapi orang kata biarlah bertempat. Sebagai Ahli Parlimen bebas, Ibrahim Ali mengatakan beliau akan menyokong siapa sahaja dan beliau akan mengkritik siapa sahaja, demi kepentingan Melayu dan Islam. Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi mangsanya, alasan Ibrahim Ali mudah, UiTM begitu sentimental dengannya kerana beliau bekas pelajar UiTM (ITM), bekas Setiausaha Agung dan Presiden KSITM. Saya suka untuk memakai frasa pertamanya, bahawa beliau boleh bersetuju dengan siapa sahaja, boleh menentang siapa sahaja, demi kepentingan Melayu dan Islam. Nyata beliau juga, seperti Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, tertinggal MRSM dalam agendanya (atau masing-masing buat-buat lupa). Tidak lebih dan tidak kurang, Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah sama-sama hipokrit, lebihnya Ibrahim Ali, beliau sedang mencari laba politik.
Saya rasa tak perlulah saya huraikan bagaimana cerianya pelajar-pelajar UiTM dipergunakan untuk berdemonstrasi tanpa polis dan FRU, bukankah AUKU melarang pelajar menyertai kegiatan haram, dan bukankah perarakan itu haram di sisi Seksyen 27 Akta Polis? Kenapa Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah tidak mencadangkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UiTM supaya membuat kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Selangor? Atau beliau juga sedang kemaruk populariti dan bercita-cita besar untuk terjun ke kancah politik?
Tentang komen-komen dari pimpinan Umno berkait dengan “baru cadangan” Tan Sri Khalid ini tidak perlulah saya ambil kira sangat. Tanya mereka dahulu apa bezanya di antara MRSM dan UiTM di sisi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Anda semua harus tahu bahawa sekarang tanah rezab Melayu sudah ada harga di “pasaran bebas.” Siapa yang meletak harganya? Anda perlu tanya Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Kesimpulan saya dalam hal ini sama seperti dahulu juga. Sama ada di MRSM, di UiTM, di sekolah-sekolah berasrama penuh, atau di pusat-pusat matrikulasi, mereka adalah adik-adik kita, anak-anak kita, anak-anak bangsa Melayu dan Bumiputera, dan mereka sekarang sedang menjadi buah catur permainan “berapa persen-berapa persen” oleh ahli-ahli politik kita. Sakit hati, dendam dan perbalahan politik kita memungkinkan kita membunuh dan merencat generasi masa depan bangsa kita sendiri.
Sekali lagi, apapun yang ingin kita ubah, ingin yang kita reformasikan, mestilah hadir bersama tanggungjawab!!!
2 ulasan:
atas kapasiti saya sbgai penuntut mrsm dr form 1 hingga la form 5... kenyataan seperti tan sri khalid adalah amat2 salah..kedengaran dia amatlah buta sejarah dan perlembagaan. bahkan dia seorg pemimpin yg mengetahui dia mempunyai kapasiti yg amat besar dlm mempengaruhi masyarakat..anda faham jika anda org politik atau bergiat dan menganalisis...itulah amat tidak wajar.. amat melucukan berkenaan demo dr pelajar MRSM dikala kouta dibuka.. jika.sy berkata Jika pelajar mrsm sendri membuat demo atau protes ianya amatlah nampak canggung dan agak pelik...bayangkan pelajar tingkatan 1 atau 2 @ 3 membuat demo..apakah mereka mengerti tentang hal pertikaian yg berlaku.. bagi pelajar menengah atas 4 dan 5.. mereka ini kurang mengambil tahu hal2 semasa kalau pun ada hanya segelintir dan tidak cukup kuat..melain kan mereka semua ini didokong oleh guru. namun ianya akan menjadi satu perkara yg akan dikaitkan dgn parti politik..pelajar menjadi mangsa...sy sayangkan bangsa saya.. kalo pun mereka masuk ke mrsm mereka harus di melayu-islam kn dulu..tidakla menjadi isu apabila azan dilaungkan dan ceramah atau tazkirah agama diungkap,diucap menyebab kan mereka kurang senang... tambahan pula mereka (non-bumi) yg mendapat tawaran adalah mereka yg bersekolah di sekolah kebangsaan bukan dari jenis kebangsaan..ini Agak boleh diterima kerana mereka sudahpun menunjukkan minat utk bersatu..untuk pengetahuan mrsm bitara(taiping, jasin, pengkalan chepa) x dibenarkan non-bumi..saban tahun kita melihat ke 3 tiga mrsm ini dlm kelompok 10 terbaik spm malaysia berbanding sekolah sains/ sbp yg len.. ini menunjukkan pelajar melayu adalah sgt cemerlang. sy kira pembukaan kuota 10% amatlah tidak relevan..
Catat Ulasan