24 April 2008

Al-Fatihah: Rustam A. Sani meninggal dunia


Oleh KLpos

PENULIS politik terkenal Rustam A. Sani 63 tahun meninggal dunia di rumahnya sekitar jam 3.00 pagi tadi kerana diserang penyakit jantung.

Orang ramai yang ingin menziarahi Allahyarham boleh hadir ke alamat:

7519 Batu 6 3/4, Bukit Lela, Gombak Selangor Darul Ehsan (Tel: 03-61897588)

Jenazah Allahyarham Rustam dijangka akan dikebumikan lepas Zohor.

Dua buah buku terbaru hasil penulisan Allahyarham yang bertajuk "Special Roots of the Malay Left" dan "Fail Nation" sepatutnya dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 April ini di Seminar Hall, Perpustakaan Raja Tun Uda (The Selangor Public Library), Persiaran Bandaraya, Shah Alam.

Rustam A. Sani dianggap antara ‘cendekiawan awam’ yang penting di Malaysia. Beliau merupakan seorang ahli akademik, penulis kolum dan penyair – selain terlibat dalam pelbagai kegiatan politik, sosial dan sastera. Sebagai ahli akademik dan penganalisis, beliau pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan ISIS Malaysia.

Antologi puisinya – Riak-riak Kecil (1977) – diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1988/89 beliau telah dianugerahkan ‘Hadiah Sastera Negara’ dalam kategori esei dan kritik sastera. Dalam bidang politik, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden, Parti Rakyat Malaysia.

Rustam memperoleh ijazah pertamanya dari Universiti Malaya, dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Reading, University of Kent at Canterbury (UK) dan Yale University (AS). Beliau merupakan seorang penulis yang prolifik, baik dalam bahasa Malaysia maupun Inggeris – dan tulisannya meliputi pelbagai bidang seperti politik, isu-isu sosial, sejarah, budaya, statistik dan sastera. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan terjemahan karya-karya sastera dan bukan sastera (dari Inggeris ke bahasa Malaysia dan sebaliknya).

Antara buku-buku karya beliau adalah: Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992); Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993); Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993); Menjelang Reformasi (2004); Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004); dan Bercanda dengan Mahathir (2006).

Tiada ulasan: