oleh: Malaysiakini
Kira-kira 20,000 penyokong pembangkang, khususnya PKR, menyertai perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam ini walaupun polis tidak menyediakan permit.
Program yang digelar "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik terhadap penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Selepas muncul pada 9.15 malam, Anwar menyampaikan ceramah lebih satu jam sebelum polis mengeluarkan larangan.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, tunggu dua minggu sebelum beliau mengumumkan sama ada akan bertanding atau tidak dalam satu pilihanraya kecil.
Pada pilihanraya umum 8 Mac, Anwar hanya berkempen di seluruh negara akibat larangan tersebut dan mantan timbalan perdana menteri itu mendakwa ia diadakan bagi menghalang beliau bertanding.
Dalam sidang media selepas majlis itu, Anwar berkata sambutan tadi "di luar jangkaan."
Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar malam ini pada awalnya dijangka disertai 10,000 penyokongnya.
'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.
Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.
Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman semalam berkata PKR tidak memohon permit untuk perhimpunan tersebut.
Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah - termasuk menganjurkan perhimpunan persatuan-persatuan Melayu untuk menubuhkan Umno - kini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selaku menteri besar baru negeri Selangor.
Menurut Muhammad Sabtu, walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan