21 April 2008

Kolum Dunia Vovin: Obsesi Muka Cantik

Nazri M. Annuar
TIME adalah filem Kim Ki-Duk yang kelima aku tonton selepas 3 Iron, The Bow, Spring, summer, autum, winter…and Spring dan Samaritan Girl). Time juga merupakan filem Kim Ki-Duk yang paling kaya dengan dialog (perbandingan antara 5 buah filemnya yang aku tonton). Kontradik dengan 3 Iron dimana aku rasa 98% adegannya tiada dialog.

Sebagai seorang pengarah yang menempah reputasi antara yang terbaik di dunia (mungkin, dan tak hairan kalau 30 tahun lagi namanya disebut sebagaimana peminat filem sebut nama Godard atau Truffaut, agaknya la), Time aku anggap filemnya yang dibikin separa pop (juga berbandingan hanya dalam lingkungan 5 filem yang aku tonton).

Time adalah sebuah filem tentang obsesi. Temanya menyentuh isu obsesi orang Korea untuk mencantikkan muka dengan pembedahan. Dalam satu reviu, dikhabarkan 50% wajah wanita Korea dalam lingkungan umur 20-an pernah ditoreh oleh doktor untuk kelihatan cantik. Statistik yang cukup menakutkan. Bagaimana pula senario di Malaysia?

Obsesi kedua adalah seorang perempuan bernama See-Hee yang terlalu sayangkan pakwenya, Ji-Woo. Sebagai seorang wanita normal, dia mempunyai tabiat cemburu dan tak senang duduk kalau ada awek cun (dan tak cun) yang lalu lalang di depan Ji-woo. sifat cemburu See-Hee kadang kala menyusahkan bila tak pasal-pasal pelayan kedai kopi pun kena maki dengannya kerana senyum pada Ji-woo.

See-Hee juga takut kehilangan Ji-woo. Usia hubungan mereka sudah menjangkau dua tahun dan dia amat takut pakwenya sudah bosan dengannya. Dia akan cuba berbuat apa sahaja untuk memastikan pakwenya tidak meninggalkannya. Lebih kronik, ketika berjimak dengan Ji-woo pun dia masih ada fikiran yang pakwenya itu sedang terbayang perempuan lain untuk mendapatkan kepuasan ejakulasi. Peh, begitu kronik sekali.

Seh-Hee akhirnya buat apa yang dirasakan boleh membuatkan dia terus berdampingan dengan Pakwenya, membuat pembedahan muka untuk kelihatan lebih cantik. See-Hee menghilangkan diri selama 6 bulan (untuk proses recovery) membuatkan Ji-Woo tidak keruan. Selepas enam bulan tanpa khabar berita dari aweknya, seorang perempuan muncul dalam hidupnya memperkenalkan dirinya sebagai Seh-Hee. Tanpa disedari oleh Ji-woo, Seh-Hee sebenarnya adalah awek lamanya, See-Hee!

Sinopsis diatas memang nampak macam cerita romantik komedi tipikal Korea. Tapi perlu diingat ini adalah filem Kim Ki-Duk. Time tidak lepas dari imej-imej dan bayangan kronik manusia. Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi dalam kawalan Seh-Hee/See-Hee hingga membuatkan akhirnya Ji-woo…alaaa, spoiler.

Satu adegan yang begitu creepy bilamana Ji-woo bertemu dengan Seh-Hee yang memakai topeng wajah lamanya yang difotostat. Mereka bergaduh tanpa Seh-Hee menanggalkan topeng itu. Pertama kali aku lihat adegan itu tiba-tiba aku rasa macam tengok cerita hantu.

Time juga mengungkap senario seorang wanita yang sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Aku jadi simpati kepada Seh-Hee yang menghancurkan hidupnya (yang sepatutnya bersinar) hanya kerana Ji-woo. Aku bertambah simpati kepada Seh-Hee kerana sikap cemburu dan rasa rendah dirinya itu yang sebenarnya menjadi punca hidupnya musnah. Ini kerana karakter Ji-woo sebenarnya seorang yang setia. Malah Ji-Woo meluahkan rasa rindunya terhadap awek lamanya (yakni See-Hee) di depan Seh-Hee (ingat, mereka, orang yang sama). Ini menggambarkan bahawa Ji-woo sebenarnya amat mencintai See-Hee disebalik apa jua tanggapan aweknya.

Bak kata orang, cemburu itu membunuh!

Itu yang berlaku dalam Time.

Kegemaran Kim Ki-Duk adalah menjadikan elemen “hubungan (relationship)” sebagai elemen dalam tema yang hendak dia sampaikan. Kali ini hubungan sepasangan kekasih dihancurkan dengan sifat obsesi yang melampau-lampau. Mungkin tidak sepelik hubungan lelaki tua dengan si dara dalam The Bow atau hubungan “bisu” pasangan dalam 3 Iron.

Aku suka dengan lakonan Park Ji-yeon (See-Hee) dan Seong Hyeon-ah (Seh-Hee). Secara teknikalnya dua pelakon memainkan satu peranan. Keberkesanan kedua-duanya mendalami konflik emosi wanita See-Hee/Seh-Hee ini membuatkan kita tak sedar yang dua pelakon yang berbeza untuk satu karakter ini.

Aku juga suka dengan imej ending filem ini. Satu simbolik pengulangan dalam hidup manusia. Laksana sejarah mengulang sejarah dan manusia akan sentiasa lupa. Ombak manusia pada imej akhir membayangkan sisi gelap disebalik setiap wajah yang cuba tersenyum. Persoalannya, wanita akan sentiasa dibayangi ketakutan terhadap masa. Masa membuatkan wajah mereka bertambah tua. Masa telah mencuri hidup mereka.

Time adalah antara filem terbaik yang aku tonton tahun ini. Nama Kim Ki-Duk sebagai teraju utama sahaja sudah cukup menceritakan segala-galanya.
Kolum Dunia Vovin ditulis oleh Nazri Annuar, seorang penulis novel fantasi dan juga seorang blogger. Blognya boleh dilayari di http://www.dunia-vovin.com/.

Tiada ulasan: