kenyataanmediaParti Keadilan Rakyat Negeri Pahang menentang Projek Pemindahan Air Mentah dari Pahang ke Selangor yang melibatkan pembinaan sebuah empangan di Kelau, Pahang dan pembinaan terowong pindahan air berukuran 44km di sepanjang Banjaran Titiwangsa kerana projek tersebut mempunyai kesan negatif ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk di kawasan terlibat.
Projek tersebut yang dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi adalah bernilai lebih kurang 117 billion yen (RM3.5 billion) dan akan ditampung melalui pinjaman dari sebuah bank di Jepun sejumlah 82 billion yen (RM2.5 billion).
Walaupun telah mendapat kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar bagi Laporan EIA, Projek tersebut mendapat tentangan dari penduduk Felda Kelau dan orang-orang Asli di kawasan Rezab Orang Asli Kelau. Hutan Rezab Lakum yang mempunyai banyak haiwan dan hidupan liar terkawal juga akan turut dibanjiri bagi pembinaan Empangan tersebut.
Pemilihan pemindahan air dari Pahang ke Selangor yang melibatkan sistem terowong dan empangan ini adalah lebih mahal dari pilihan-pilihan yang boleh dilakukan seperti pemindahan air dari Perak ke Selangor yang tidak melibatkan kos yang begitu tinggi dan impak kepada alam sekitar tidak sebegitu serius jika dibandingkan dengan Projek ini.
Laporan EIA yang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pula dilihat sebagai satu kajian yang tidak kemas dan tidak mengambil pandangan untuk kepentingan orang Asli kawasan Kelau tersebut.
Kajian yang dibuat oleh dua badan NGO, Sahabat Alam Malaysia dan Save Our Sungai Selangor, juga menunjukkan bahawa ada banyak alternatif dengan kos yang jauh lebih rendah yang boleh dipilih untuk membekalkan air ke Selangor.
Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang menuntut supaya projek ini dikaji semula dan menuntut Kerajaan Negeri Pahang dan Negeri Selangor tidak meneruskan dengan projek empangan dan terowong tersebut.
Haji Suhaimi Said, SMP
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang
24-04-2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan