15 April 2008

Malaysia Pasca 14 April 2008

oleh: AdiHamka

11 tahun lalu, 14 April adalah petanda ‘gelita’ buat pendukung gerakan reformasi, tidak keterlaluan juga jika dikatakan ia turut ‘menggelapkan’ Malaysia.

Semuanya kerana kelibat Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri yang dipecat, ditahan dengan pertuduhan yang tidak terbukti, dipukul dalam penjara, dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia dan ahli politik selama lebih daripada 5 tahun.

Semalam, 14 April 2008 memberikan satu batu tanda baru dalam landskap politik Malaysia. Anwar kini bebas daripada sudut perundangan apabila sekatan berpolitik ke atas beliau secara rasminya tamat semalam.

Melihat kepada liputan media seperti Malaysiakini dan KLPos, termasuklah bicara teman-teman yang turut hadir ke Sambutan Black 14 semalam (meskipun ramai yang ‘bingit’ kenapa perlu diadakan di Kampung Baru, sedangkan Stadium Shah Alam bisa saja memperlihatkan sambutan yang lebih hebat!), Anwar kini sahih berdiri sebagai ‘remedi’ kepada kekalutan pemerintahan Malaysia selepas keputusan mengejutkan yang terhasil daripada Pilihanraya Umum ke-12 8 Mac lepas.

Dalam keadaan Anwar dinafikan hak untuk bertanding berikutan keputusan pemerintah untuk mengawalkan PRU12 seawal Mac 2008, kesempatan berkempen 13 hari dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau untuk menjelajah Malaysia. Rakyat yang jelas muak dan jelak dengan manipulasi media arus perdana yang bersifat sehala, memperlihatkan sokongan yang luar biasa kepada setiap ceramah Anwar (malah hampir semua calon PR) tidak kira di mana beliau singgah.

Hasilnya, tidak terjangkau pemikiran mana-mana pihak bahawa Pakatan Rakyat (PR) boleh memenuhi lebih satu pertiga Dewan Rakyat dengan 82 kerusi. Pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional dinafikan majoriti 2/3. Di saat rakyat menyatakan mereka ‘muak dan jelak’, pihak-pihak tertentu terus bertelagah sesama sendiri mencari punca kekalahan. Semua jenis alasan keluar, tetapi tidak satupun alasan tersebut bersetuju akan 1 perkara - rakyat sudah bosan dan mahukan kepimpinan baru.

Rakyat Malaysia telah dipasak pemikiran mereka selama 50 tahun bahawa tidak akan pihak yang lebih kredibel untuk menaungi pemerintahan Malaysia selain daripada satu parti sahaja. Tetapi rakyat Malaysia bukan bodoh, makin meninggi arus globalisasi dan teknologi maklumat, rakyat makin bijak menilai hakikat biar disuap pelbagai jenis dakyah dan propaganda. Ruang kosong yang terbiar lama kini terisi.

14 April 2008, Anwar tampil untuk mengisi ruang itu. Persoalannya, apa langkah Anwar?

Pelbagai teori telah kedengaran. Kononnya akan ada lebih daripada 30 Ahli Parlimen pemerintah akan menyatakan kesediaan mereka untuk bersama-sama PR, lantas PR bakal mendirikan kerajaan baru. Ada yang mahu Anwar jangan berlengah bertanding agar terus mengepalai pembangkang di Parlimen. Segalanya masih menjadi tanda tanya. Tidak kurang juga cadangan mahu Anwar menjadi Menteri Besar Selangor ataupun Senator.

Anwar menyatakan komitmen beliau bahawa PR bersedia menjadi kerajaan bila-bila masa. Beliau memberikan tempoh 2 minggu untuk menentukan di mana beliau akan bertanding. Dalam erti kata lain, ia bakal terbukti selepas Parlimen memulakan sidang pada 28 April depan.

Saya berpendapat, Anwar layak untuk menjadi PM. Malah dalam keadaan sekarang, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Anwar memiliki kredibiliti dan kriteria yang mencukupi untuk berada di tampuk itu. Tinggal lagi bilakah masa yang sesuai?

Kalau ditanya penyokong PR, jawapannya pasti secepat mungkin. tetapi pada hemat saya, ianya boleh direalisasikan sekiranya semuanya lancar. Mengharapkan 30 MP pemerintah melompat parti semata-mata tidak mencukupi, kerana ‘lompat melompat’ ini bisa saja menghampakan kiranya yang melompat berpatah balik.

Saya berpendapat, Kerajaan-kerajaan 5 buah negeri yang dikuasai PR perlu membuktikan dalam tempoh yang sesuai bahawa mereka mampu membuahkan sesuatu yang lebih bernas berbanding puluhan tahun negeri itu diperintah pemerintah terdahulu. Biarpun tekanan demi tekanan diberikan, sekiranya mereka bijak, tidak ada masalah untuk membuktikan keupayaan itu. Dan saya juga yakin, Anwar sebagai Ketua mampu mengawal keadaan dan memainkan rentak.

Jangan terlalu ghairah dengan kuasa, paling penting, jangan hampakan rakyat yang memberi peluang. Demokrasi bukan ruang untuk pemimpin beraksi, sebaliknya ruang untuk rakyat menentukan. Ini yang dijanjikan oleh PR sebelum ini.

Ahli dan akar umbi parti komponen PR juga harus bekerja keras ke arah itu. Bukannya membudayakan lobi-melobi jawatan dan kepentingan, menindas pihak yang kalah dan sebagainya. Buktikan yang akar umbi PR jauh lebih tinggi nilai insaninya berbanding mereka yang pincang moral dan sikap.

Saya percaya sekiranya PR berjaya membuktikan sesuatu, di sebalik kredibiliti Anwar yang telah terbukti, rakyat Malaysia akan bersedia untuk menerima kerajaan baru, untuk merealisasikan harapan baru untuk masa depan mereka.

Dan pasti, 14 April 2008 kelihatan menghampirkan rakyat dengan detik itu. Bukan untuk Anwar, bukan untuk PR, tetapi untuk rakyat.

Tiada ulasan: