19 April 2008

Minda Melayu perlu stabil

oleh: Malaysiakini

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah tiada apa yang lebih penting daripada kestabilan minda masyarakat Melayu. Kestabilan minda akan dapat menghasilkan sangka baik antara kaum dan seterusnya masyarakat Malaysia berada dalam keadaan harmoni.

Baginda bertitah, "Agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah antara perkara yang tidak pernah lepas daripada perhatian Raja-Raja Melayu.”

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah sembah setia sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Tambah baginda lagi, "Raja-Raja Melayu amat memahami bahawa kestabilan politik negara sangat bergantung kepada persediaan minda orang-orang Melayu menghadapi perubahan."

Turut berangkat di majlis tersebut ialah Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Dihilir Perak Raja Jaffar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Raja Normahani Raja Shahar Shah, kerabat diraja Perak, Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin, barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri Besar dalam ucapan persembahan tahniah dan setianya, berkata kerajaan negeri sedang merangka pelan strategik yang berteraskan prinsip-prinsip amanah, adil, telus dan berkebajikan di samping meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu.

"Keutamaan yang akan patik dan kerajaan lakukan hari ini ialah program-program yang memberi kebajikan dan kesejahteraan rakyat...kerajaan negeri berazam meneruskan dan memperkukuhkan dasar pembangunan negeri berpaksikan prinsip dan nilai sejagat.

"Patik akan sentiasa mendukung institusi Raja Berperlembagaan di negeri ini yang sentiasa merupakan sebahagian sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu. Patik akur dan menyedari bahawa institusi Raja Berpelembagaan akan kekal relevan dan memenuhi peranan besar pada sepanjang masa seiring dengan undang-undang tubuh negeri yang menyatakan bahawa kuasa pemerintah negeri hendaklah terletak hak kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku."

Tiada ulasan: