Fathi Aris Omar
Hishamuddin Rais membuat kesimpulan menarik, walau masih permukaan dan awal, “jenayah Umno yang paling utama adalah memperbodohkan masyarakat Melayu. Rasuah saya rasa [jenayah] biasa.”
“Tapi, memperbodohkan orang Melayu itulah jenayah yang lebih besar,” kata Isham, namanya di kalangan teman-teman, tidak lama selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Hujah ini mengingatkan saya perbualan agak panjang dengan seorang sarjana dari sebuah universiti tempatan dan teman-teman penulis beberapa bulan sebelum Isham dibebaskan – berkenaan hal yang sama. Saya menekankan persoalan ini harus diteliti dengan lebih halus dan dikaji.
Saya kira ramai orang boleh bersetuju tentang gejala ini (walau tidak pasti sama ada orang ramai bersetuju bahawa ia lebih serius daripada rasuah seperti ditanggap Isham). Secara popular, pembodohan digambarkan dengan ungkapan “insulting our intelligence” (menghina kecerdikan kita) apabila merujuk kenyataan pemimpin politik atau laporan akhbar negara ini.
Kenyataan atau laporan itu mengandaikan orang ramai tidak menghalusi kesahan atau kebenaran ideanya. Ia dikeluarkan tanpa rasa malu; lagi pun rasa malu seumpama itu sudah tidak bernilai apa-apa dalam budaya politik kita. Oleh itu, dengan sewenang-wenangnya, ia disampaikan sama ada dalam bentuk mempertahankan sesuatu tindakan politik, menolak sesuatu hujah atau memberi ulasan tentang sesuatu isu.
‘Memperbodoh-bodohkan’ orang ramai topiknya luas dan boleh dilihat dari pelbagai penjuru. Misalnya, asal-usul pembodohan, teknik-teknik atau keadaan-keadaan proses ini terbentuk, dan juga reaksi orang ramai.
Tetapi saya ingin menarik kepada satu persoalan yang paling asasi: hubungan antara ‘kemahuan berfikir’ dengan pembodohan. Bagi saya, pembodohan membentuk budaya bersama atau sejenis social conditioning; yakni, rasa tidak perlu berhujah, berbeza pandangan, mempertikaikan sesuatu maklumat yang disogokkan atau mencabar kelaziman serta ‘tradisi’.
Ia mematikan keghairahan berfikir, serta menumpulkan minda, mula-mula secara kolektif, kemudian secara peribadi. Mula-mula di kalangan pengikut kelompok n, kemudian kepada penentangnya dan akhir sekali di kalangan pengikut penentang itu sendiri. Pembangkang kemudiannya mewarisi pembodohan yang tidak disukai itu.
Semangat berfikir kritis hanya ditujukan kepada kerajaan dan masyarakat (mereka ini semuanya salah); penyokong pembangkang tidak berfikir tentang parti atau pemimpinnya sendiri (konon semuanya betul), sama seperti teman-teman Isham – mungkin – tidak boleh mengeluarkan idea yang lebih baik daripadanya.
Aktivis dan pemimpin pembangkang juga gagal melihat serta membedah sesuatu yang lebih abstrak daripada tindakan politik, kenyataan pemimpin kerajaan atau perundangan. Soal nilai, budaya atau ‘ikatan seni’ yang mengawal minda, gelagat, minat atau naluri bangsa ini gagal dibedah siasat.
Jika ada, itu semua teori yang dilontar semula daripada buku-buku; bukan kefahaman mereka yang asli tentang negara ini. Saya tidak fikir mereka faham dan saya tidak nampak mereka sedar bahawa inilah kelemahan asasi mereka dalam perlawanan dengan Barisan Nasional dan institusi-institusinya. Bagi saya, ini semua akibat-akibat nyata ketumpulan minda.
Malah, ada di kalangan mereka bersikap anti-ilmu; tidak tahu meletakkan hubungan antara ‘teori’, ‘kritik’, ‘konsep’, ‘kajian’, ‘idea’, ‘falsafah’ atau kegiatan ‘intelektual’ dengan gerak kerja perjuangan.
Sering kita dengar, dengan nada jengkel atau sinis, “awak kritik saja, memang mudah”, “kita tidak perlu intelektual yang pandai berteori” atau “teori banyak-banyak pun tidak guna, yang penting pelaksanaan”. Sedarkah mereka nada seumpama ini lahir akibat pembodohan?
Proses keseluruhan pembodohan melalui pendidikan, undang-undang keras (yang menyekat debat awam) dan juga laporan media, akhirnya menimbulkan gejala paling berbahaya – merebaknya gejala ketiadaan atau kelemahan minat untuk berfikir.
Maksudnya, berfikir di luar batasan persoalan diri, berfikir soal-soal yang lebih abstrak dan menyentuh ruang lingkup bermasyarakat atau isu-isu kenegaraan. Mahu atau tidak, semua orang berfikir – fakta ini pasti – khasnya untuk mengatasi persoalan peribadi, seperti kelaparan atau kekasih merajuk.
Kerancakan debat awam – dianggap unsur penting penyertaan dalam proses demokrasi – tidak akan mungkin tanpa keinginan untuk berbeza pandangan dan kebebasan berfikir individu. Tetapi kebebasan berfikir itu sendiri hanyalah sejenis proses lewat (kalau bukan akhir) daripada: (a) keyakinan berfikir, khususnya secara awam dan sebelum itu, (b) kemahuan berfikir, secara senyap-senyap dan bersendirian sifatnya.
Di Eropah abad ke-18, ketika asas-asas sains moden mula berkembang, sains masih dianggap sebahagian cabang falsafah tabii, rasa ingin tahu (curiosity) jadi bahan ketawa. Mereka yang suka menyelidik alam semula jadi – bagi melayan rasa ingin tahu (asas utama penerokaan sains dan pemikiran) – dianggap kegiatan orang malas dan tidak berakal!
Bersambung…
Nota Editor: Klip yang ini mengingatkan saya pada tulisan Fathi Aris Omar ini. Sebuah tulisan yang pada mulanya ditulis untuk ummahonline.com kini disiarkan kembali oleh RK untuk tatapan pembaca. Tulisan ini akan didatangkan dengan trilogy, tiga siri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan