Oleh Ahti Veeranggan/malaysiakini
berita terkiniMantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta dan menggesa ahli-ahli Umno yang lain supaya turut berbuat demikian.
Katanya, beliau bertindak keluar parti - yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003 - kerana tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 adirin yang kebanyakannya ahli Umno Kedah di majlis bertajuk "Nasib kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di Alor Star hari ini.
Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi ahli Umno selepas Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno, meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.
"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.
Dr Mahathir turut menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.
Bagaimanapun, beliau meminta mereka supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.
"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presidenparti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.
Dr Mahathir adalah perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 dari tahun 1981 hingga 2003.
PM paling lama
Ini menjadi beliau perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat serta pemimpin yang paling lama berkuasa di Asia.
Dr Mahathir dilahirkan di Alor Star pada 20 Disember 1925. Beliau aktif dalam politik sejak 1954 melalui pembabitan dalam kempen anti-Malaysian Union.
Dr Mahathir menyertai Umno apabila parti itu ditubuhkan pada tahun berikutnya (1946). Dalam pilihanraya ketiga pada 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar Selatan.
Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada 1969 dan kalah dengan majoriti 989 kepada calon PAS, Haji Yusoff Rawa.
Ekoran peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat dari jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno pada 12 Julai tahun berkenaan selepas beliau mengedarkan secara terbuka suratnya kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.
Dalam surat tersebut, Dr Mahathir mengkritik cara Tunku mengendalikan pentadbiran negara yang didakwa lebih menguntungkan rakyat keturunan Cina. Dr Mahathir kemudiannya dipecat dari parti pada 26 September 1969.
Ketika itulah Dr Mahathir menulis bukunya yang bertajuk "The Malay Dilemma" di mana beliau cuba menjelaskan punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei di Kuala Lumpur dan sebab-sebab mengapa orang Melayu ketinggalan di belakang dalam bidang ekonomi dalam negara mereka sendiri.
Dasar Ekonomi Baru
Bukut tersebut diterbitkan pada 1970 dan terus diharamkan oleh kerajaan Tunku. Bagaimanapun, beberapa cadangan dalam buku tersebut telah digunakan oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku sebagai perdana menteri, dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada asanya untuk mengambil langkah ekonomi yang afirmatif bagi menangani jurang perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Pengharaman buku itu kemudiannya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.
Beliau menyertai semula Umno pada 7 Mac 1972, dan dilantik sebagai Senator pada 1973. Dr Mahathir melepaskan jawatan senator pada 1974 untuk bertanding dalam pilihanraya umum dan menang tanpa bertanding di parlimen Kubang Pasu, dan seterusnya dilantik sebagai menteri pendidikan.
Pada 1975, beliau terpilih sebagai salah seorang naib presiden Umno. Tun Hussein Onn kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri pada 15 September 1978, dan dalam rombakan kabinet, turut melantik Dr Mahathir sebagai menteri perdagangan dan industri.
Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 selepas Tun Hussein Onn melepaskan jawatan perdana menteri atas sebab-sebab kesihatan. Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang pertama yang bukan dari keluarga bangsawan atau diraja.
1 ulasan:
Tun Mahathir merupakan mantan pemimpin yang dinamik, berwawasan dan banyak idea, sebagai rakyat memang menyanjungi Tun sebagai pemimpin. Mantan pemimpin ini juga terlalu banyak membuat keselipan, isu kekebalan Raja-Raja, mengenepi soal Agama Islam yang mana ramai Mufti menjadi mangsa, undang-undang syariah dipermainkan. Rakyat dari berbagai keturunan memujinya ketika kekebalan Raja-Raja dihadkan, hasilnya ramai rakyat yang memandang rendah terhadap Raja-Raja. Agama dipermainkan Jabatan Agama menjadi mangsa undang-undang yang digubalnya sendiri tidak boleh dilaksanakan atas campurtangannya. Kita bangga bila ternampak Masjid tersergam indah pintu masuk Langkawi, tapi dibina tembok menghalang pandangan dan dibina patung helang terbesar. Tidak perlu hendak di paparkan di sini, rakyat Malaysia tahu apa yang dilakukan Mahathir, beliau memang DURI DALAM DAGING UMNO, Tan Sri Musa Hitam adalah pemimpin contoh yang sesuai untuk rakyat Malaysia. Mahatirlah yang mengajar rakyat Malaysia bersifat BIADAP kepada Raja-Raja dan Pemimpin pelbagai peringkat, 22 tahun pemerintahannya tidak ada apa-apa pun yang di beri pada orang Melayu, ahli partinya saja yang menjadi kaya dan diajar dengan pelbagai perkara negetif di sisi peradaban dan agama. Dia kenalah terima hukuman dari Allah atas pelbagai kesilapan yang dia telah lakukan
Umur dia terlalu lanjut tampillah Mufti2 menasihatkannya supaya membuka pejabatnay (jika masih lagi nak berkuasa) di mana-mana MASJID di Malaysia ini dan beramallah sebab pintu taubat masih belum tertutup. Apa yang dilakukan kepada rakyat negara ini perlu dia meminta maaf bagitu juga dengan apa yang dilakukan kepada timbalan beliau 8 tahun dulu yang langsung tidak lojik di fikiran rakyat Malaysia.
Syukurlah DURI telah tercabut dalam DAGING UMNO, Mahathir juga rasa kecewa kerana Mukriz tidak sempat memegang jawatan tinggi dalam parti, Mukriz bukanlah ahli politik, dia sepatutnya menjalankan kerja-kerja amal agar dia memahami apa itu kehidupan dan keperitan hidup rakyat Malaysia dan juga global.
Kami mengharapkan sesuatu yang positif apabila DURI dah tidak menikan UMNO dan pada Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli jagalah tata susila, bahasa ketika bercakap, berbahas dan berceramah kerana kebiadaban, celupar, caci mencaci dan cabar mencabar mencerminkan ahli-ahli UMNO itu sendiri keturunan MELAYU agama yang di anuti ISLAM dengan demikian PELIHARALAH ISLAM.
Kami pernah mengikuti sepenuhnya persidangan Parlimen, amat terkejut barisan penyokong kerajaanlah yang sentiasa memulakan sesi dengan mengutuk, mencabar dan berbagai kebiadaban di lemparkan ke pihak lawan, yang lebhi menyedihkan golongan MELAYU beragama ISLAM. Parlimenlah tempat bertukar fikiran, berdebat dengan penuh KEMULIAAN, KESABARAN DAN BUAH FIKIRAN YANG BERNAS demi untuk NEGARA yang tercinta bagi semua kaum. Sekali lagi kami minta kepada seluruh peringkat kepimpinan UMNO peliharalah ISLAM.
Catat Ulasan