26 Mei 2008

Ezam, Badrul akan sertai UMNO?

Oleh Muda Mohd Noor (malaysiakini)

beritaAhli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin enggan mengulas ura-ura bahawa beliau akan menyertai Umno bersama bekas ketua Angkatan Muda (AMK) parti itu Mohd Ezam Mohd Nor.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam.

"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas satu coretan di sebuah blog yang mendakwa "satu pertemuan sulit" antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.

Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Mohd Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".

"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut daripada mesej emel yang dikirimkan kepadanya.

"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno."

Kedua-duanya aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.

Badrul terpilih sebagai anggota MPT dalam mesyuarat agung PKR tahun lepas.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau itu sudah ketentuan Allah, kita tidak boleh halang mereka tetapi terfikir di dalam hati adakah mereka berpura-pura selama ini dalam perjuangan mereka menentang kezaliman atau kemungkaran pemerintah sekarang. Kalaulah mereka masuk maka ini boleh diherdik oleh penyokong mereka maka kita begitu sedih mendapat pemimpin hipokrit macam ini, apa-apa pun ini belum menjadi kenyataan, kita boleh berdoa semoga mereka tidak terdorong ke UMNO, pangkat dan harta tidak boleh diganti dengan perjuangan ini.

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru