16 Mei 2008

Suruhanjaya klip video cadangkan supaya siasat 6 individu termasuk Dr. M

Oleh Malaysiakini

beritaSuruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam mengesyorkan supaya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima orang lagi disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim.

Lima tokoh tersebut - dua bekas ketua hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin, peguam kanan Datuk VK Lingam, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan.

Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata hari ini bahawa kabinet telah mengarahkan Pejabat Peguam Negara untuk memulakan siasatan secepat mungkin terhadap keenam-enam mereka.

Sebelum itu, Zaid berkata kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan suruhanjaya diraja itu.

Orang ramai boleh membeli laporan tersebut mulai minggu depan pada harga RM542.10 senaskhah.

Salinan laporan tersebut tidak diedarkan kepada pihak media.

Laporan setebal 191 halaman itu telahpun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lepas.

Suruhanjaya diraja itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguam Cara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah profesor emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan seorang peguam Lingam, sedang bercakap menerusi telefon dengan seorang yang didakwa hakim kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.

Seramai 21 saksi termasuk Dr Mahathir dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.

Tiada ulasan: