26 Mei 2008

Bagaimana UMNO membodohkan kita? II

Oleh Fathi Aris Omar

eseiCharles Linnaeus, ahli sains Sweden yang mengasaskan sistem pengkelasan sains hingga dipakai ke hari ini, pada 1740 terpaksa menulis bagi menjawab sikap sinis masyarakatnya:

“…satu soalan yang sering ditanya, satu sanggahan yang sering dibuat terhadap ahli sains yang ghairah mengkaji alam tabii, apabila orang yang rendah pelajarannya melihat ahli falsafah tabii memeriksa hasil-hasil alam.

“Orang ramai bertanya, selalunya dengan ketawa menyindir, ‘apa guna buat kerja ini’ … Orang seperti itu beranggapan falsafah alam tabii sekadar melayan rasa ingin tahu, hanya sejenis hiburan untuk membazir masa bagi golongan yang malas dan tidak berotak.”

Sebelum Zaman Pencerahan, beratus-ratus tahun sejak Zaman Pertengahan dan Renaissance, melayan rasa ingin tahu secara intelek (intellectual curiosity) dipandang buruk. Ia dianggap sejenis hawa nafsu (dan juga dosa) yang menyebabkan Adam dan Hawa tercampak ke bumi (selepas memakan sejenis buah di syurga).

Imej negatif ini berakar umbi begitu mendalam melalui penulisan-penulisan agama sehingga pemikir besar Jean-Jacques Rousseau terpaksa berhujah betapa mustahaknya rasa ingin tahu (dan berfikir) untuk menajamkan ilmu dalam risalah pendidikannya yang masyhur, Emile (terbit 1762).

Proses pembodohan dalam masyarakat kita membawa natijah yang serupa dengan pengalaman Eropah ini – ia berjaya membunuh rasa mahu berfikir, bertanya atau mempertikai. Di sini bermula kelumpuhan pemikiran, mematikan ‘rasa yakin akal’ (asas kemerdekaan diri) atau kesan akhirnya, ketandusan debat awam.

Kebebasan berfikir itu sendiri (selalu dirangkum bersama kebebasan beragama atau kesedaran nurani) sejenis tuntutan akibat ingin berbeza anutan, khususnya agama, dalam sejarah Eropah. Ia akhirnya diiktiraf sebagai satu hak asasi setelah wujud keinginan serta keyakinan yang kuat untuk berbeza anutan (termasuk tidak menganut apa-apa!).

Tuntutan kebebasan, apa juga bentuk, selalu muncul akibat rasa ingin bebas yang telah meronta-ronta, tidak tertahan-tahan lagi. Tetapi projek pembodohan Dr Mahathir Mohamad membunuh benih asas ini, ‘rasa ingin’

– sama ada bebas atau berfikir. Juga, membunuh kecemerlangan seperti kritik Khalid Jaafar tentang “kelaihan (mediocrity)… [sebagai] menjelaskan makna sebenar Mahathirisme.”

Penyakit yang sama akibat pembodohan ini, termasuk tidak cemerlang khasnya dalam bidang pemikiran, merebak di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi. Misalnya, ia timbul melalui rasa malas membaca atau mudah berpuas hati dengan pandangan yang selapis, cetek dan permukaan.

Atau, ketika berdiskusi atau bermesyuarat, mereka gagal berhujah dengan lebih mendalam dari pelbagai penjuru dengan sokongan fakta atau sudut pandangan yang lebih bernas. Oleh itu, tidak berlaku percambahan, serta kepelbagaian idea atau semakan-semakan semula hujah yang sudah klise atau stereotaip. Tiada proses ‘peningkatan kebernasan idea’ – yang dianggap asas penolakan kedepan peradaban manusia.

Semua ini terjadi akibat hilangnya proses penerokaan akliah; proses ini datang bersama kemahuan yang kuat untuk berfikir, rasa seronok melayan fikiran apabila dihadapkan dengan persoalan mental walau ia waktu-waktunya membingungkan. Tetapi kebingungan itu tidak menjadi halangan; rasa asyik itu yang lebih kuat. Ia semacam rasa puas – dalam satu ‘permainan’ – untuk mencari ‘jawapan’ terhadap sesuatu kemusykilan.

Bagi mangsa pembodohan, kemusykilan itu sendiri – atau bagi seorang aktivis, permasalahan masyarakat dan bangsa – gagal dirumuskan! Tidak muncul rasa resah ingin meneroka pemikiran sendiri.

Sebab itu, dalam pertemuan petang itu, saya katakan pada Isham, “dalam bangsa yang beku pemikirannya, soalan yang betul dan paling asasi (untuk mengatasi kebekuan itu sendiri) tidak mampu ditanya!” Dia pun ketawa besar, bersetuju.

Gejala ini tidaklah terlalu pelik, sesiapa yang pernah membaca ‘teori’ kelumpuhan paradigma seperti karangan Joel Arthur Barker, Paradigms: The business of discovering the future akan faham kesan buruk seumpama ini.

“Masyarakat tanpa kaum intelektual yang berkesan [dan juga malas] tidak mampu merumuskan masalah,” kata profesor Syed Hussein Alatas. “Ciri utama [individu serta kelompok] bukan intelektual adalah tidak adanya kemahuan berfikir dan tidak mampu melihat akibat [ketika proses berfikir].”

Ertinya, mangsa proses pembodohan Dr Mahathir tidak mungkin mencari punca kebodohannya sendiri! Mereka seolah-olah terkena sejenis dadah ‘scopolamine’ (dari pokok borrachero yang banyak tumbuh di Colombia). Mangsa akan mengikut apa sahaja kemahuan atau perintah orang lain. Mangsa tidak sedar apa-apa yang pernah terjadi ketika di bawah pengaruh dadah ini.

Berbeza dengan dadah jenis-jenis lain, scopolamine menghalang pembentukan memori dalam otak manusia. Mangsa tidak mungkin mengenali siapa penganiayanya. Walau melalui proses hipnosis, mangsa tetap gagal mengingati apa-apa kerana ingatan tidak pernah dirakam dalam minda.

bersambung…

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Gerakan Reformasi 98 melahirkan ramai pejuang-pejuang perubahan yang selama ini mendiamkan diri, hanya memedam api kemarahan terhadap kerajaan zalim dahulu, kes DSAI mungkin pencetus, keadilan terhadap DSAI mungkin menjadi salah satu sebab, tetapi yang lebih penting isu DSAI membuatkan isu lain juga terbongkar. Apa yang terjadi hari ini, blog dan blogers, perhimpunan yang dikatakan haram, pejuang hak asasi manusia dan pengundi berani mati bermula dari Gerakan Reformasi 98. Betapa penting hari itu, sejarah keberanian rakyat Malaysia terserlah waktu itu .....

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru