27 Mei 2008

"Jangan kaitkan saya dengan berita Ezam mahu sertai Umno"-- Chegu Bard

beritaKL: "Jangan kaitkan saya dengan berita Ezam mahu menyertai Umno", itulah reaksi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi KLpos.com.

Sebelum ini, laman web Malaysiakini.com menyiarkan berita berbentuk spekulasi mengenai kemungkinan Badrul akan menyertai Umno bersama-sama dengan Ezam.

Menurutnya, memang beliau dalam keadaan 'panas' dengan sikap sesetengah pemimpin PKR mengenai cara menguruskan parti dan negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan rakyat.

"Betul saya tegur kepimpinan parti, pengurusan sebagainya, tetapi tidak semestinya hendak masuk Umno," kata beliau.

Badrul yang lebih dikenali sebagai pemimpin akar umbi, dilaporkan kecewa dengan sikap pemimpin parti yang mengabaikan penyokong sendiri dalam beberapa perkara termasuk pengisian jawatan.

"Mengapa perlu di bawa orang luar, ditatang bagai minyak penuh, sedangkan penyokong sendiri, dilupakan, ingat balik, tanpa penyokong siapalah kita hari ini," katanya.

Mengenai pertemuan beliau dengan Ezam, kata Badrul, "kenapa pulak orang lain boleh jumpa menteri Umno, sedangkan saya tidak boleh jumpa kawan sendiri,"

Menurutnya, beliau masih setia dengan PKR, dan akan bersama dengan parti tersebut melakukan perubahan.

"Walaupun saya hebat dicerca, dimaki hamun oleh pemimpin sendiri yang bertindak berdasarkan khabar angin, namun saya cukup gembira kerana ahli parti di peringkat bawahan masih setia menyokong saya," katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kami juga tak kenal Chegu Bard, dan jika dia masuk UMNO pun tak jejaskan kami.

Boleh berkawan, tak ada hal. Kami pun ramai kawan-kawan dari UMNO, sesetengahnya adik beradik kami, kawan rapat.

Tapi politik tetap politik. Saya rasa tak salah kalau Chegu Bard terus berkawan dengan Ezam. Apa salah?

Khalid Samad, Ahli Parlimen PAS, Shahril Samad Menteri UMNO, tapi mereka tetap mesra bila berjumpa.

Dua-dua tu senyum bila berdampingan di Parlimen.

Harap-harap gitulah juga dengan Chegu Bard-Ezam.