29 Mei 2008

Ezam, mahu ubah UMNO? Jangan-jangan dia yang berubah!

Oleh: Suhami Said

EseiAda kawan-kawan tanya pandangan saya tentang Ezam Mohd Noor. Saya tak dapat nak jawab sebab saya tak kenal dengan dia. Semasa saya menyertai Parti Keadilan Rakyat di penghujung bulan Julai 2007, si Ezam Mohd Noor ini sudah hampir setahun meninggalkan PKR, dia tak ada parti, dan dia terlibat dengan NGO bernama GERAK.

Apakah kemasukan Ezam kedalam UMNO merugikan KeADILan? tanya kawasn-kawan saya. Saya jawab "Entahlah". Semasa Ezam memimpin Parti Keadilan Rakyat, parti itu hanya menang satu kerusi saja di Permatang Pauh. Bila dia keluar dari PKR, parti itu menang 31 kerusi dan gabungan PKR dengan PAS dan DAP pula berjaya memerintah 5 Negeri di samping memenangi kesemua kecuali satu kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Ini bererti Ezam Mohd Noor tidak ada sebarang pengaruh didalam parti. Semasa dia pimpin, parti itu lemah, dan semasa dia dah keluar parti, PKR menjadi kuat.

Bolehkah Ezam bawa perubahan di dalam UMNO? Tanya kawan-kawan saya. "Entahlah" jawab saya.

Sebenarnya rakyat dah tolak UMNO, dasarnya menegakkan perkauman sempit tidak ada tempat lagi di Malaysia. Banyak pemimpin-pemimpinnya rasuah, dan usaha membenteras rasuah di dalam UMNO hanya banyak cakap dari tindakan.

Pemimpin-pemimpin UMNO pula mencari kepentingan diri sendiri dan kroni masing-masing tak nampak langsung mahu berhenti dari mencari kepentingan diri sendiri.

Lama juga saya berada di dalam UMNO, tak kurang 4 kali saya menjadi perwakilan ke Kuala Lumpur.

Dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat MT, politik wang terus kekal. Yang kena tangkap ada segelintir, yang tak kena tangkap kini banyak yang menjadi Menteri.

Dari cawangan mereka guna politik wang, sehingga ke Bahagian, sehingga ke MT.

Kalau tak pakai politik wang, orang paling hebat pun tak melepasi jawatan di cawangan.

Saya tengok Sdr Kassim Ahmad, bekas Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Dia ni orang jujur, dia tak cari kepentingan peribadi, dan dia mempunyai prinsip peribadi yang tinggi, tak terlibat dengan politik wang dan tak berkempen untuk apa-apa jawatan didalam UMNO. Peringkat cawangan pun tak lepas!

Seorang lagi yang saya kenal ialah Nakhaie Ahmad. Adalah pencalonan untuknya bertanding MT. Tapi oleh kerana langsung tak terlibat dengan politik wang, dia hanya berjaya kumpulkan jumlah undi yang kecil saja.

Saya kenal 2, 3 orang Menteri. Mereka ni betul-betul guna politik wang. Mereka dapat undi besar. Mereka tak kena tangkap, dan tidak ada tindakan disiplin diambil sebab tak kena tangkap.

Tak kena tangkap bukan bermakna bebas dari rasuah politik. Saya boleh namakan Menteri-Menteri itu, dan saya boleh minta mereka bersumpah atas nama Quran dan mengaku akan masuk neraka jika berbohong; buat sumpah bahawa kamu tidak terlibat politik wang!

Tapi kadang-kadang orang UMNO ni, nak suruh sumpah apa pun mereka sumpah, kerana di dalam Islam Hadhari, tidak ada cerita syorga/neraka, dosa/pahala!

Jadi, Ezam Mohd Noor ni kalau dia tidak ada naik payung terjun, tetapi kena bergerak sebagai ahli biasa dari peringkat bawah, ikut secara jalan bersih, tolak rasuah politik, dia tak akan pergi ke mana-mana.

Nak bawa perubahan dalam UMNO? Jauh api dari panggang.

Yang mungkin berubah ialah dia. Kena ikut UMNO dan bukan UMNO nak kena ikut dia. Tapi malangnya, rakyat dah tolak UMNO!

GERAK, anak kelahiran Ezam. Tidak ada satu kejayaan pun. Konon nak dedah ini dan nak dedah itu. Satu pun tak terdedah, yang terdedah adalah kelemahan dan kegagalan Ezam sendiri! Kesian .. Ezam!

Anwar ulas Ezam masuk UMNO

beritaDalam kenyataan ringkas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di blognya beralamat anwaribrahimblog mengatakan bahawa beliau telah lama dengar desas desus ini (Ezam masuk UMNO).

Kalangan pembaca blognya dan orang ramai juga menurut beliau tak sabar-sabar menanti kenyataan atau reaksi dari beliau.

“Kini setelah sah penyertaan beliau bersama Umno maka ingin saya tegaskan bahawa beliau telah lama meninggalkan perjuangan KeADILan - sabelum Kongres dan jelas sebelum PRU12 lalu,” katanya di dalam posting Cuma mempunyai tiga para itu.

Beliau juga menyifatkan bahawa keputusan tersebut (masuk UMNO) adalah hasrat peribadi Ezam sendiri.

Suara Rakyat: Ezam, jilat ludah sendiri!

Hampir setahun sudah, aku berbual dengan kawan aku, beliau merupakan seorang yang aktif dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK), dengan jelas beliau katakan, "Sekarang dia (Ezam) tengah lobi nak join UMNO, tapi tak dalam masa terdekat ni, mungkin dekat pilihanraya umum nanti (dia akan join). Menurutnya lagi mainanan politik Ezam telah lama, sejak beliau keluar dari ISA.

Katanya lagi, "aku memang dah tau Ezam bukan setakat nak keluar (parti)(masa tu Ezam hanya keluar parti, bukan masuk semula ke dalam UMNO, tapi nak hapuskan perjuangan ini dengan beberapa orang UMNO, termasuk Khairy (Jamaluddin)."

Sambil mengingatkan bahawa masih ada lagi agen Ezam di dalam AMK beliau turut mengatakan bahawa setelah segala titik peluh dan keringat tertumpah untuk membina parti tersebut (PKR)dan menakrifkan secara jelas maksud 'reformasi' yang sering diteriak-teriakkan ketika
berdemontsrasi adalah suatu tragedi untuk menyemadikannya.

"[P]olitik ini kotor, tetapi aku tak sanggup kotorkan dan rebut peluang untuk selamatkan diri sendiri."

Beberapa orang blogger yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah dihubungi dan mereka mengatakan bahawa tindakan Ezam semalam seakan-akan menjilat ludahnya sendiri.

Rocky Bru telah memberikan persoalan yang ringkas tentang tindak Ezam masuk UMNO, Ezam? Bukankah Sdr Ezam yang banyak buat laporan polis tentang korupsi Pak Lah?"

Faisal Mustaffa pula berkata, "dia makan sumpah keramat yang dilafazkan."

Lester Chan, "saya kurang percaya Ezam hilang sepenuhnya sokongan beliau terhadap DSAI. Dia salah seorang ahli UMNO yang mengekori DSAI semasa beliau dipecat dari parti dan pernah dihukum penjara dibawah Akta Rahsia Rasmi kerana melepaskan kepada khalayak ramai informasi dan dokumen-dokumen yang dianggap rahsia kerajaan.

"Setelah Ezam berundur dari PKR, pertubuhan bebas kerajaan yang dipimpinnya bernama GERAK giat membangkitkan isu-isu hangat mengenai skandal-skandal rasuah yang berlaku di dalam negara. Apakah Ezam sudah buat keputusan untuk belok dari pendiriannya dan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang selama ini diterajui oleh beliau?

"Lebih-lebih lagi, penurunan pengaruh Khairy Jamaluddin dalam parti UMNO selepas pilihanaraya umum Mac lalu telah menjadi suatu tanda tanya yang serius di antara ahli-ahli yang menyokong pentadbiran AAB. Yang lain pula menyalahkan Khairy atas kekalahan teruk BN.

"Kerana tertimbulnya suasana baru yang jauh menyenangkan, kemungkinan besar Khairy akan mengalami kekalahan teruk sekiranya beliau bertanding jawatan ketua Pemuda UMNO pada pilihanraya parti UMNO yang akan datang. Dan penyatuan tenaga dan kerjasama penyokong-penyokong Mohd Khir Toyo dan Muhriz Mahathir akan merumitkan lagi keadaan dalam parti untuk Khairy dan AAB.

"Saya berpihak kepada khabar angin yang menyatakan adanya konspirasi politik diantara AAB dan DSAI. Dan oleh itu, saya percaya penyertaan semula Ezam dalam parti UMNO adalah bertujuan menguatkan pengaruh kumpulan yang memihak kepada AAB dan Khairy, terutamanya caturan di dalam pergerakan pemuda UMNO."

Zainol Abideen, "[b]agi saya, saya lebih suka jikalau UMNO, PAS dan kesekelian umat Islam di Malaysia ini bersatu sebagai satu wadah perjuangan yang mantap.

"Ezam kembali ke UMNO sebab di dalam PKR, peluang untuk dia menerajui tampuk kekuasaan di dalam Parti Keadilan Rakyat mungkin agak tipis dan membantutkan aspirasi beliau?

"Namun sebagai ahli politik di tanahair ini yang bebas masuk kemana mana sahaja parti politik apatah lagi parti pemerintah, didalam keadaan UMNO yang semakin nazak, langkah beliau ini tidak ubah seperti umang umang, yang berpindah kecengekrang baru bila cengkerang lama agak kurang selesa baginya yang mempunyai cita cita besar, gamaknya?

"Dah dasar orang sebegini berpolitik demi tembolok masing masing, segala caci maki dan sumpah seranah terhadap pimpinan UMNO hilang bagaikan embun yang mengering disinar sang mentari.

Matkeri, "[t]indakan Ezam kembali menyertai UMNO dan kerajaan mungkin boleh dilihat sebagai usaha bersungguh kerajaan dalam menangani gejala rasuah yang semakin meruncing cekarang.

"Dengan kredibilitinya sebagai Presiden GERAK dan hampir sepuluh tahun bersama PKR dan pembangkang menegur kerajaan, dia dilihat oleh kerajaan sebagai individu yang paling layak untuk memulihkan kembali kepercayaan pelabur dan meningkatkan semula fdi dengan mengurangkan dan seterusnya menghapuskan rasuah.

"Ini membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa di dalam kerajaan barisan nasional yang ada sekarang, sudah tidak ada individu yang mampu memulihkan Malaysia daripada belenggu rasuah. Hatta PM sendiri masih tercari2 formula yang sesuai untuk menggerakkan usaha ke arah ini. Oleh itu, kerajaan terpaksa beralih kepada sahabat2 mereka dari kalangan pembangkang untuk membantu, dan mereka melihat ezam dapat menangani masalah ini.

"Cuma persoalannya apakah Ezam mampu untuk melakukan perubahan secara berseorangan?Sejarah telah membuktikan bahawa UMNO tidak boleh menerima perubahan.

"Bagi saya, adalah lebih mudah jika UMNO itu ditukar keseluruhannya daripada mengharapkan Ezam membuat perubahan berseorangan.

"Hishamuddin, Mukhriz, Najib, Sammy Vellu, Rapidah dan semua tycoon rasuah di dalam BN mungkin bersetuju dengan pendapat ini dan dah tak sabar nak melihat ezam kembali menari
mengikut irama UMNO yang dah nak mati. ;)

Amin Iskandar, "Ezam akan menjadi vitamin kepada Umno. Akan tetapi, sebanyak manapun vitamin, jika sudah nazak, ianya tidak membantu juga.

"Ezam juga harus ingat komen yang dia buat sewaktu keluar KeAdilan dulu, Ezam kata Azmin umpama Khairy kepada Anwar Ibrahim.

"Sekarang Ezam nak bekerjasama dengan Khairy?"

Asmawi Mohamad, "Bagi saya, Ezam adalah seorang "political animal" yang hebat. Maksud "political animal" di sini ialah dalam apa jua tindak tanduk beliau, percakapan beliau, gerak geri beliau, hatta diam dan sunyi beliau pun, semuanya ada perkiraan politik peribadi yang unik dan tersendiri. Oleh sebab itu, bila beliau memilih untuk masuk penjara Kajang semasa kes OSA dahulu, itupun ada elemen perkiraan politik peribadi yang tersendiri. Bila beliau disumbat di dalam Kem Tahanan Kemunting dulu pun, beliau mengambil kesempatan itu untuk "pursue" agenda-agenda politik peribadi beliau.

"Oleh itu, kemasukan beliau kembali ke dalam UMNO adalah merupakan suatu perkiraan politik peribadi yang "over ride" semua perkiraan-perkiraan lain.

"Oleh kerana ia suatu perkiraan politik peribadi, maka "logical reasoning" dari mana-mana pihak pun akan menjadi tidak relevan, kerana yang diperjuangkan ialah suatu agenda politik persendirian, yang mungkin sama dan mungkin tidak sama dengan apa yang diperjuangkan oleh masyarakat atau oleh partai2 politik lain.

"Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah mungkin melihat tindakan Ezam itu sebagai sesuatu yang "aneh", tetapi oleh kerana ia adalah perkiraan politik peribadi, bagi Ezam ia tidak merupakan suatu keanehan.

"Adakah ini suatu tindakan yang benar dan tepat? Hanya masa yang akan menentukan."

Sah, Ezam sertai UMNO!











28 Mei 2008

Suara Rakyat: "Bukan kata nak rogol, kadang-kadang tak stim pun!"

beritadikemaskini7:49pmDari isu tentang uniform remaja perempuan di sekolah, isu ura-ura Ezam kembali ke pangkuan UMNO, isu TDM dan hinggalah ke isu pembatalan penggunaan dakwat kekal kami berusaha sekali lagi untuk mencari suara rakyat Malaysia daripada kalangan pelbagai golongan.

Penggunaan serta pembatalan 'dakwat kekal' seakan terburu-buru pada saat-saat akhir sebelum PRU12 hendak dijalankan. Persoalannya sekarang seperti ada konspirasi antara tiga entity utama kerajaan -- Suruhan jaya Pilihan Raya (SPR), Peguam Negara (AG) dan Ketua Polis Negara (KPN).

Pembatalan ini bukan akan mendiamkan mereka yang jelas menentangnya tetapi menguatkan jerit pekik mereka ini. Walau bagaimanapun BERSIH dan NIEI sebagai NGO yang bersifat memantau perlu ada bukti-bukti yang sahih jika tidak mungkin akan mencemarkan kredibiliti SPR.

PKPIM sebagai sebuah NGO Islam perlulah mengkaji sepenuhnya termasuk membuat soalan rambang kepada para pelajar, ibu bapa dan orang ramai. Supaya saranan ini (uniform seksi) akhirnya mendapat sambutan. Jika PKPIM berjaya membuktikan betul dakwaan mereka, rakyat Malaysia pasti akan mengikuti saranan mereka.

Ini memandangkan bahawa nafsu manusia bergantung kepada orang yang tertentu. Betul kata seorang responden yang kami hubungi, “[s]elera seks orang berbeza-beza. Macam-macam channel. Kalau ada jenis yang tengok tiang lampu pun dah terbangkit nafsu, nak tukar tiang lampu? Pakai baju besi pergi sekolah pun, kalau dah selera besi, besi juga.”

TDM keluar Ezam masuk. Mungkin kedua-dua saling mengait.

Seperti kata Musa Hitam bahawa duri dalam daging sudah terkeluar tetapi mungkinkah yang akan masuk menggantikan duri adalah penawar daripada luka menjadi semakin parah atau boleh saja sembilu pula menggantikn duri.

Menurut kata seorang responden beliau menolak seandainya Ezam bertindak masuk UMNO tetapi katanya lagi keadaan itu seperti seakan DSAI mahu bertindak masuk UMNO.

TDM pula mempunyai alasan-alasan tersendiri berbuat demikian (keluar parti). Kita tidak boleh menolak sifat beliau yang strategis dan hanya memandangkan tindakan beliau hanya satu lapis sahaja. Seboleh-boleh mestilah bertindak strategis seperti beliau juga.

Tentang baju-sekolah-budak-perempuan seksi

matsamankati Saya rasa, kenyataan itu dibuat berdasarkan persepsi, bukan melalui kajian ilmiah. Masa saya sekolah dulu, semua perempuan pakai pinnafore, tak ada pun kes rogol. Lepas sekolah, aku campur dengan amoi, perempuan Mat Salleh, tok sah kat nak rogol, kadang-kadang tak stim pun.

Asyran Sham Kita sebagai manusia biasa mempunyai naluri dan nafsu. Itu adalah fakta. Yang penting ialah bagaimana kita menyalurkan kehendak naluri dan nafsu kita itu ke tempat yang sepatutnya, dan juga kaedah kita membendung naluri dan nafsu kita itu supaya kita menjadi manusia dalam ertikata yang sebenar. Hanya haiwan sahaja yang tidak mempunyai akal untuk membendung nafsunya, persoalannya adakah kita mahu menjadi haiwan?

Isu ini sebenarnya terletak kepada diri kita sendiri, apakah baju atau pakaian pula yang dipersalahkan sedangkan tanggungjawab besar bermula dari diri kita sendiri. Bagi orang yang melihat baju sekolah yang nipis itu sebagai satu penyumbang kepada gejala rogol mungkin juga benar yakni dari satu aspek yang menyumbang tetapi bagi saya itu bukanlah satu cabang utamanya.

Bagi saya yang penting bagaimana kita memupuk dan membina benteng susila/moral/iman dalam diri untuk berjaya menghindarkan diri dari fitnah besar ini. Salah satu cara yang telah diajar secara tidak langsung di dalam Islam adalah dengan menundukkan pandangan.
Jikalau perkara ini dilakukan, mungkin agaknya kita dikelilingi oleh 10 wanita telanjang sekalipun kita tidak akan terjerumus ke dalam perbuatan maksiat apatah lagi merogol, kerana merogol itu satu jenayah yang berlaku secara paksaan.

Mohazo Oryza Bukan sebab baju. tapi banyak sebab. Pertama, famili-- famili taboo dengan seks. Dua, social --bahan porno murah. Tiga, cikgu-- ada cikgu perempuan seksi, cikgu tak ajar moral dan agama dengan betul. Baju cuma pemangkin untuk jiwa remaja yang bergelora dan asyik berfantasi.

Pakcik Luarotak Saya pernah bersekolah di sekolah kerajaan selama sepuluh tahun. Lima tahun pertama, baju kurung putih perempuan selalu kotor dengan sambal. Itu normal. Lima tahun kedua, saya mengalami kematangan biologi. Begitu juga kaum hawa. Keperluan pakaian tambahan bagi menyokong aset biologi kaum hawa adalah wajib. Dan bagi saya, yang sudah cukup kitaran biologi, ini yang saya, atau kami tunggu. Mereka yang berkurung putih, DAN bertudung mini, sudah cukup membuatkan, kurung kain, putih, agak jarang, dan see through itu, menampakkan jenis dan warna pakaian tambahan mereka. Untuk lebih memenuhi konteks ini, boleh nampak baju dalam. Coli. Bra. Dan kami, yang masih belum boleh mengawal hormon kematangan, gembira dengan situasi ini. Bonus, jika hujan. Selebihnya, kita sama-sama fikirkan.

Muhammad Fadhli al-Akiti Tidak wajar. Pelajar perempuan sekolah Malaysia masih tertutup dan sopan pemakaiannya jika hendak dibandingkan dengan negara Jepun atau negara barat seperti UK. Pihak lelaki dewasa yang kurang sifat 'sabar' dan mengikut nafsu diri tanpa kawalan, oleh kerana kurang pengajaran adab, tasawuf (mengajar pada pembersihan hati dan penahanan diri) dan moral (sedar yang mana betul yang mana salah bila dicampak dalam satu-satu situasi) yang menyebabkan perkara seperti rogol berlaku.

Jose Maurinhi Apahal dengan baju sekolah? Banyak lagi baju lain dalam dunia ni yang boleh membangkitkan nafsu. Baju kelawar misalnya. Mengarutlah. Selera seks orang berbeza-beza. Macam-macam channel. Kalau ada jenis yang tengok tiang lampu pun dah terbangkit nafsu, nak tukar tiang lampu? Pakai baju besi pergi sekolah pun, kalau dah selera besi, besi juga.

Ajami Hashim Jangan bakar kelambu kalau marahkan nyamuk! Permasalahan ini boleh dikembalikan kepada empunya pelajar iaitu ibubapa kerana merekalah yang 'membelikan' setiap helai pakaian seragam sekolah anak-anak mereka.

Tony Yew Sebagai wakil pertubuhan yang berasaskan agama, seseorang harus mengingatkan sendiri bahawa kemungkinan kenyataan-kenyataan seperti ini mungkin tidak dapat diterima oleh segolongan rakyat. Baju sekolah yang sedia ada sekarang ini telah di gunakan di sekolah sejak dahulu lagi. Sekiranya kadar jenayah rogol sedang meningkat, kemungkinan ini dapat dikaitkan kepada penjenayah yang makin berani kerana kekurangan penguatkuasa dari pihak polis. Selama ini, negara kita selalu mengamalkan sikap 'open' kepada semua rakyat tak kira kaum.

Sekiranya setiap kali satu pertubuhan membuat kenyataan untuk memupuk cara Islam, maka mungkin tertimbul rasa ''Islamisation' terhadap kaum yang lain.

Tentang ada konspirasi untuk batalkan penggunaan dakwat kekal serta BERSIH dan NIEI buat laporan polis

matsamankati Ni semua putarbelit Umno dan SPR. Memang patut pun laporan polis dibuat, walaupun kita tahu, polis tak kan buat apa-apa. Rashit tu ejen Umno, tak kan tak tau.

Asyran Sham Memang nampak ini berlaku kerana kenyataan pengerusi SPR yang bercanggah semasa sebelum pilihanraya dan baru-baru ini. Baru-baru ini di UIA kenyataan 'kepala' SPR tersebut dengan jelas menyatakan bahawa Kabinet tidak meluluskan pada hari pembubaran parlimen. Agaknya kalau kita belajar setakat darjah enam bolehlah hendak ditipu-tipu. DUlu cakap ada penyeludupan dakwat kekal itu yang boleh mengancam keselamatan. Mana dia tangkapannya?

Bagi saya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, mudah saja, langkah pertama bebaskan sepenuhnya SPR letakkan ianya di bawah parlimen tanpa ada tangan2 ghaib dari Badan Eksekutif ini yang menjadi dalang wayang setiap kali PRU berlangsung. Tak perlulah nak beli2 jiwa rakyat lagi, kita dah muak dah...

Mohazo Oryza membazir. baik tak payah buat. hapus undi pos. undi guna mykad.

Pakcik Luarotak Konspirasi bernada jahat. Pakatan berbunyi baik. Tetapi modus operandinya sama. Penghasilan kepada rakyat dunia dan akhirat? Sama-sama kita fikirkan.

Jose Maurinhi Cilakak. Gua tak tahu langsung rupa paras dakwat kekal tu. Bawa pen sendiri masing-masing tak boleh ye?

Ajami Hashim Penggunaan 'dakwat kekal' seakan terburu-buru di saat-saat akhir sebelum PRU12 hendak dijalankan dan kemudiannya dibatalkan pula. Ia mungkin akan menimbulkan tandatanya kepada rakyat Malaysia tentang kenapa cadangan penggunaannya tidak disarankan sebaik sahaja selepas PRU11 dahulu? BERSIH dan NIEI mesti dapatkan dahulu bukti-bukti yang sahih untuk membawa perihal ini ke muka pengadilan kerana ia mungkin akan menimbulkan pula keraguan rakyat Malaysia kepada kredibiliti SPR.

Tony Yew Sebelum PRU12, SPR telah mengumumkan bahawa dakwat kekal akan digunakan pada pilihanraya ini, bagaimanapun, Pihak Polis telah mendakwa bahawa adanya pihak yang telah membawa masuk dakwat berkenaan jadi tertimbulnya kemungkinan adanya pihak yang ingin membuat penipuan. tetapi, selepas pihak Pembangkang telah menang besar, diberitahu pulak bahawa tidak terdapat bukti yang kukuh dari mana mana pihak, dan kesimpulan dibuat ataas laporan polis sahaja! Ini merupakan sebuah daya penipuan yang sering digunakan oleh kerajaan sekarang, tanpa memberi sebarang bukti, dan cuma kata-kata sahaja!

Tentang Pak Lah dan Karpal v Sultan

Asyran Sham Bagi saya dua2 parti kena tahu menghormati hak2 masing2. Mereka perlu tahu bidang kuasa supaya PM/sultan/rakyat biasa tidak melangkaui hak masing-masing.

Mohazo Oryza Ada 2 perkara. satu, PM lemah sebab tu Sultan guna kuasa. dua, Sultan guna kuasa sebab PM lemah.

Pakcik Luarotak Ini, dari mata marhaen busuk cetek ilmu seperti saya, saya tidak dapat hurai panjang. Cuma boleh buat pembezaan, berdasarkan apa yang Buletin Utama paparkan. Perak, Uncle Lim. Terengganu, Pak Lah. Sama tak serupa.

Muhammad Fadhli al-Akiti Persoalan peribadi seperti ini, saya menyalahkan PM = menderhaka. Sebenarnya dalam konstitusi, memang Agung disifatkan hanya 'memberi nasihat' kepada PM, malah melihat daripada populariti raja di kalangan populasi yang sebenarnya menyebabkan 'pengaruh' itu berpengaruh atau bernilai atau tidak. Kini, kita dapat lihat bahawa 'perintah Raja' kelihatan 'berdaulat' dan memberi nilai pengaruh yang tinggi kepada rakyat (bermakna, apa yang dipilih Raja, mendapat sokongan rakyat), maka populariti Raja lebih tinggi daripada PM (perkara ini tidak berlaku sewaktu Sultan Johor memukul guru dengan kayu golf pada 1990an). Malah, keadaan PM kini dianggap 'menderhaka' menarik kerana perkara sebegini sangat berlainan waktu 90an dulu (di mana istilah "Raja disanggah" begitu popular atas luahan Dr. M).

Ajami Hashim Perihal ini perlu dirujuk betul-betul dahulu iaitu sejauh mana maksud 'menderhaka' itu dalam Undang-undang dan Perlembagaan Malaysia sebelum sebarang pendakwaan dilakukan.

Tentang ura-ura Ezam masuk UMNO

matsamankati Dia datang dari lubuk Umno. Pemikirannya pemikiran Umno. Aku ucapkan tahniah la. Duduk dalam PKR pun tak sesuai bagi dia.

Asyran Sham Itu hak dialah, dia sendiri tahu niat sebenar didalam hatinya sendiri.

Mohazo Oryza Ada 2 perkara. satu, Ezam macam hero sebab berani lawan dan tunjuk kebenaran. dua, hero tak akan mcm Ezam sebab pilih UMNO.

Pakcik Luarotak Nak, buat cara nak. Tak nak, sudah. Cari lain.

Muhammad Fadhli al-Akiti Tak mungkin. Hanya jika Anwar ada ura-ura mahu menyertai UMNO semula, baharu anak-anak buhanya mengikut. Tetapi jika PR boleh berdiri sendiri mencipta satu kuasa politik alternatif buat sokongan majoriti rakyat, Anwar ataupun Ezam tidak akan berubah arah.

Jose Maurinhi Gua tak kenal Ezam. Dia tak top. Pengaruh MTV lagi kuat daripada dia rasanya.

Ajami Hashim Tindakan 'lompat parti' bukan perkara baru dalam mana-mana senario politik di seluruh dunia. Seandainya tujuan beliau 100% untuk kebaikan rakyat dan negara Malaysia, apa salahnya?

Tony Yew Dulu Umno, kini Umno, Umno selama lamanya.....memang boleh dihafal oleh setiap ahli ataupun bekas ahli umno. Oleh kerana ini PKR juga merupakan sebuah 'cawangan' Umno! DSAI juga pernah menunjukkan cara pengendaliannya yang mungkin boleh dianggap sebagai mirip Umno!

Tentang Tun Dr. Mahathir (TDM) keluar UMNO

matsamankati Aku melihat Mahathir bukan bodoh. Ada strategi yang cuba dilakukannya. Dan aku juga rasa, bukan Pak Lah sasarannya tetapi Anwar.

Asyran Sham TDM mahu mendapatkan simpati org UMNO untuk menjatuhkan pak lah saja tu, tak lebih dari itu agendanya. Tak berminat. Maksud saya, tak minat nak follow wayang orang UMNO ni.

Mohazo Oryza Sokong. Tun tetap diingati PM penuh kontroversi.
Pakcik Luarotak Itu usaha dia.

Muhammad Fadhli al-Akiti Tun Mahathir bodoh. Itu saja. Penjelasan panjang lebar boleh dilihat dalam ulasan Raja Petra dalam blognya.

Jose Maurinhi Oh eloklah. Dia dah tua. Tak lama lagi nak mati. Kesian gua tengok dia sibuk sana-sini pakai smart. Sedang umur macam tu patutnya duduk rumah dressing kain pelikat layan pertandingan mengaji. Orang kerja kerajaan yang tahun depan nak pencen pun banyak merepek daripada produktif.

Ajami Hashim Tun ada sebab-sebab peribadi (hanya beliau yang tahu) yang mungkin pada pandangan beliau dengan tindakannya itu mampu 'mengubah' sesuatu dalam senario politik di Malaysia yang akan mematlamatkan kepada kebaikan rakyat dan negara Malaysia.

Tony Yew TDM sudah tiada jalan lain kecualil keluar Umno, jika dikaji dengan lebih dlam lagi AAB (Pak Lah) telah memastikan bahawa TDM tidak dapat sebarang sokongan dari ahli ahli UMNO....kecuali mereka yang mengangap mereka berhutang budi kepada TDM....

Tentang TDM desak Pak Lah letak jawatan

matsamankati Aku mengharapkan Pak lah tak letak jawatan. Lagi lama dia kat situ, Umno lagi lemah.

Asyran Sham Wajar. Orang dah desak-desak tu turun ajelah, lagipun slow sangatlah pak lah ni. Org tak nampak kredibilitinya sebagai seorang pemimpin. Namun kalau turun pun tak nampak pulak org yang layak dari kalangan org UMNO, semuanya berkepentingan peribadi. Tukar sahaja kerajaan, nasihat kepada PR cepat2 la ambil peluang untuk mentadbir kerajaan dari tgn Umno dan konco2nya.

Mohazo Oryza Sangat wajar

Muhammad Fadhli al-Akiti Pak Lah wajar turun kerana negara demokratik tidak setuju dengan kuasa yang tiada lagi sokongan rakyat. Jika cetusan arus baru yang Pak Lah cuba sampaikan tidak menjadi-jadi (membuka penjualan kes lingam pada awam), jadi eloklah Pak Lah berundur. Ini tiada kena mengena dengan aksi TDM itu.

Jose Maurinhi Kalau dia letak jawatan, macam mana dengan itu hadhari? Tak cool laa..

Ajami Hashim Perletakan jawatan seorang Perdana Menteri selepas kekalahan besar parti kerajaan mungkin boleh dianggap sebagai 'tanggungjawab' beliau. Namun begitu, seseorang Perdana Menteri juga mesti menyelesaikan dahulu apa jua yang telah beliau rancangkan semasa memegang teraju negara supaya pelepasan jawatannya tidak membebankan pengganti selepas beliau. Lalu, setelah semuanya diselesaikan dengan betul dan teratur, wajarlah beliau meletakkan jawatan secara terhormat dan bukan kerana atas dasar desakan melulu dari mana-mana pihak. Peralihan kuasa ini juga perlu dilakukan dengan teliti kerana kita tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' dan mesti dilakukan dalam jangkawaktu yang lekas untuk mengelakkan sebarang mungkinnya berlaku ketidakstabilan ekonomi negara seandainya perihal itu berlarutan.

Tony Yew Samada (Pak Lah)AAB meletak jawatan tidak lagi menjdai isu, malah soalan yang patut ditanya ialah adakah Umno bertujuan untuk menyatupadukan negara Malaysia atau pun untuk memecah belahkan unsur perpaduan yang sering dikatakan oleh Pemimpin Pemimpin BN!

NOTA: Semua jawapan di atas adalah dari pendapat umum peribadi mereka sahaja sebagai seorang rakyat Malaysia dan tidak menggambarkan sebarang biasnya mereka kepada mana-mana parti politik di Malaysia.

"VERTIGO" oleh Alfred Hitchcock (ops, oleh NAMRON...)

Semua orang takut KEHILANGAN benda yang dia SANGAT SELESA. Selagi bernama manusia biasa, tak boleh lari dari ketakutan akan sebuah kehilangan. Tapi, kehilangan itu akan TETAP berlaku pada setiap makhluk. Adapun pokok akan kehilangan daun pada musim kemarau dan kemudiannya akan tumbuh baru juga apabila tiba musim hujan. Memang begini sifat kehidupan. Kita, manusia biasa, sangatlah sukar untuk menerima kehilangan. Susah nak redha.

Untuk redha atau menerima dan berserah sepenuhnya akan kehilangan ini rasanya sangat sakit. SANGAT SAKIT! (hanya Ibrahim dan Ismail sahaja yang faham betul konsep korban dan redha ni). Tak kiralah walaupun kita hanya hilang lima kupang (lima puluh sen) tapi kalau ianya tak cukup untuk tambang elarti, dan terpaksa berjalan kaki dari KLCC ke Taman Melati (ada kawan aku lagi jauh dari ni ), maka kita tak boleh terima akan kehilangan lima kupang tu. Sepanjang perjalanan tu mesti kita dok menyumpah seranah sambil ingat semula kat mana lima kupang tu pergi. Tapi, dari sudut lain, kalau kita redha dan sabar, pasti jelamaan Nabi Khidir akan datang memberi pertolongan. Mungkin ada ahli parlimen yang bermurah hati tengok kita berjalan kaki, lalu ditumpangnya dengan limosin Mercedez Benz dia. Hehehehe mana tahu kan… Dan duit tambang yang tak cukup tadi bolehlah digunakan untuk beli Maggi atau simpan untuk esoknya.

NAMRON bercerita mengenai kehilangan dalam teater VERTIGO yang dipentaskan di Kotak Hitam, ASWARAF pada 23 Mei – 25 Mei 2008. VERTIGO, semua orang yang suka menonton filem, pasti terus teringat filem Alfred Hitchcock. VERTIGO ialah sejenis gangguan psikologi yang menyerang keseimbangan di mana penglihatan akan menjadi berpusing-pusing dan merasakan bumi ini bergoyang. Pesakit akan kerap jatuh disertakan dengan mual, muntah dan peluhsejuk. Ataupun, mereka ini gayat yang kronik sehinggakan berdiri pun tak boleh. Kesian, kan. Sekali baca, tajuk VERTIGO dengan kehilangan yang aku tulis ni macam tak ada kena-mengena je. Ahaa… Aku huraikan cerita VERTIGO ni dan kaitkan dengan kehilangan.

Kisahnya HADI (seorang pemain gambus) bercerita kepada anak angkatnya, HUSAINI (boleh jadi anak murid dia belajar gambus) tentang dirinya masa dia kecil, remaja dan sampailah HADI tu dah tua. HADI menceritakan bagaimana dia kehilangan IBU dan BAPAnya semasa dia masih kecil dan dijaga oleh nenek. Nenek dia juga hilang (mati la tu…). HADI terpaksa ‘busking’ dengan gambusnya untuk meneruskan kehidupan (kalau ada budak nak ‘busking’ main gambus depan Maybank Bukit Bintang kan bagus. Tak ada la balik-balik dijiridu…) Okeh, ditakdirkan oleh Namron (Namron yang tulis skrip, jadi takdir watak di tangan dia), petikan gambus HADI tadi telah menambat jiwa SAIDAH, seorang penari yang tak boleh menari lagi kerana mengidap VERTIGO dan juga isteri kepada HERMAN CHERON, seorang mafia besar yang pengaruhnya sangat besar di kota yang Namron gambarkan sebagai padat dan hitam dengan fesyen baju ala-ala Maria Arshad tapi sedikitpun tidak meriah dan bermuzikkan irama jazz. Jazz? Muziknya sangat terkesan dari lakonan budak-budak ni. Hehehehe. Si budak HADI ni tadi dengan takdir Namron juga, sudah lah berkenan dengan SAIDAH ni tadi. Elok la tu, SAIDAH pun berkenan dengan HADI, dan begitu juga sebaliknya. Maka SAIDAH pun membawa HADI pulang ke istananya. Kesan dari penyakit VERTIGO tu, SAIDAH akan merasa tertekan dan tanpa sedar dia akan memukul sesiapa sahaja yang berada di hadapannya dan mangsa terbarunya ialah HADI dan HADI pula rela dipukul (ini sebab sudah cinta punya pasal la, hehehehe). Petikan gambus HADI ni tadi sangatlah menusuk kalbu SAIDAH sehinggakan SAIDAH yang sudah lama tak dapat nikmat berjimak dengan suaminya si HERMAN CHERON ni tadi, telah berjaya mendapatkan teruna HADI (hah, di sini HADI kehilangan sekali lagi). Dan hubungan sulit mereka berterusan sekian lama (wow, sensual sekali adegan ni dan aku terus teringat filem Thailand – ‘Jan Dara’. Best, best).

Hinggalah akhirnya rahsia besar mereka ini kantui (biasalah, mulut orang Melayu), dan HADI dibelasah teruk oleh HERMAN CHERON. Ditakdirkan oleh Namron sekali lagi, orang yang kejam pasti menerima balasan (tu la... anak yatim piatu jangan dibuat aniaya). Kebangkitan orang-orang miskin telah memusnahkan kehidupan HERMAN CHERON dan SAIDAH dan huru-hara ini mendesak pasangan ini berhijrah ke Australia. HERMAN CHERON sudah hilang pengaruh dan kedudukan. Namron ada gambarkan dalam dialognya - orang miskin ni seperti daun-daun di pokok. Apabila sudah tidak berguna, daun digugurkan dan menjadi sampah. Hey, Ron, daun kering tu hakikatnya bukan sampah. Di hutan daun kering tu akhirnya jadi tanah yang menyuburkan lagi pokok tu dan memberi generasi daun yang baru. Tapi kalau hang tulis berdasarkan hidup di kota, daun kering memang dianggap sampah oleh tukang sapu Alam Flora je… Bagi aku, sekali lagi - bagi aku, daun kering kat kota ni bukanlah sampah tetapi mangsa. Yelah, sepatutnya daun tu jatuh ke tanah tapi di kota tak ada tanah. Jatuh atas jalan tar (jalan tar ni simbol pembangunan. Tak percaya pergi kat kampung-kampung, tanya orang kampung, apa yang kerajaan dah buat kat kampung ni, Ketua Kampung mesti jawab ada jalan tar dan ada lagi projek naik taraf jalan kampung sedang dilaksanakan).

HADI sekali lagi kehilangan (lagi!). Kali ini dia kehilangan SAIDAH pulak. Di Australia, HERMAN CHERON ingin memulakan sebuah kehidupan baru (biasalah tu…) dan dia tak lagi mengabaikan SAIDAH sepenuhnya. Bak kata SAIDAH, tak tahu dia berubah sebab tragedi itu ataupun sebab SAIDAH kini mengandung dan pastinya anak itu benih HADI. Hahahahaha… Dan apabila anak mereka dah besar, diberi nama NORAINI, maka NORAINI membacalah diari ibunya tentang percintaan ibunya dengan HADI. Dari itu, NORAINI terbang dari Australia ke Malaya dengan misi mencari ayah kandungnya, HADI. Tapi, biasalah cerita Melayu, NORAINI tak sempat jumpa HADI kerana sudah meninggal dunia akan tetapi dia berjumpa dan berkenan pulak dengan anak angkat HADI ni tadi, si HUSAINI. Cinta berputik daa…

Hah, bukankah banyak KEHILANGAN dalam cerita VERTIGO ni. Jadi, bagaimana nak redha akan kehilangan ini? Pesta zapin di hujung cerita ni, Namron mencadangkan supaya kita ‘enjoy’. Tak perlu serius sangat dalam kehidupan yang semestinya penuh risiko ni. Hah, NAJIB. Janganlah risau sangat MAHATHIR dah hilang dalam UMNO… Ala, NAJIB… Riang-rianglah! Hahahahaha

Apa yang aku suka kali ni pada VERTIGO jika dibandingkan dengan karya Namron yang lain, kali ini gerakan-gerakan (tipikal Namron) sangatlah tepat pada dramatiknya. Tak seperti sebelum ini yang macam caca-marba. Selain tu, jazz tu. Muzik hamba abdi yang lahir di New Orleans, Amerika Syarikat. Muzik ini suara hati orang yang ditindas tetapi menjadi muzik paling kelas. Hanya dengan muzik kita dapat menawan dunia. Tapi, secara keseluruhannya, VERTIGO ini terlalu peribadi sifatnya untuk Namron (sebab tu persembahan kali ni nampak sedikit matang dan kemas. Sebelum ni, persembahan Namron macam penuh dengan tenaga marah).

Apa dah jadi?

Nauzubillah.....

Itulah ucapan yang terpacul daripada mulut aku. Macam tak percaya dengan apa yang aku dengo. Ungkapan yang membunuh kepercayaan aku terhadap Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) “kita akan terusan projek Islam Hadhari di Selangor walaupun mendapat tentangan kuat daripada pucuk pimpinan kerajaan negeri Selangor. Kita telah melaburkan sejumlah wang RM24 Juta untuk mewujudkan konsep Islam hadhari ini. Kita tak nampak mana silap untuk menolak Islam hadhari Dan Islam hadari telah diiktiraf oleh ulama dunia.”

Masyallah, jahil betul pengarah JAKIM. Apakah nilai Islam boleh ditukar dengan nilai wang ringgit? Apa ada pada Islam hadari. Sebelum pemerintahan Pak Lah adakah Islam hadari itu ujud.

Aku tak faham kenapa pengarah JAKIM boleh mengeluarkan kata-kata yang boleh menguriskan hati umat Islam sedunia. Dalam kotak pikiran aku patutlah makan yang haram esok lusa dah jadi halal. Rupa-rupa JAKIM ni lebih pentingkan duit duniawi daripada menjalankan tangungjawapnya mengamalkan ibadah sebagai manusia sejagat.

Mencari yang halal itu fardhu. Adakah menjual dan menggadai, menodai halal itu satu kepuasan kepada JAKIM. Patutlah masa exibition MIHAS terlalu banyak produk daripada orang kafir mendapat cop HALAL JAKIM. Rupa-rupa dah kena beli.

Kalau korang nak tahu Colgate bukan dikilangkan di Malaysia tapi telah dikilangkan di Thailand. Maca mana JAKIM boleh perakui benda itu halal. Adakah hari-hari pegawai JAKIM ada kat Thailand untuk melihat setiap batch number keluaran Colgate.

Sama seperti roti yang terkenal, hari ni haram esok halal. Produk keluaran sebuah syarikat pengeluar ayam pun sama jugak. Syarikat ini menyediakan ayam-ayam untuk beberapa buah syarikat makanan segera. Adakah kita sedar kepercayaan yang kita beri kepada kerajaan untuk mencapai dan menikmati produk halal sebenarnya telah dikhianati.

Adakah kerana wang, maruah kita tergadai.

Mana perginya nawaitu kita untuk menuju ke arah produk HALAL. Korang pernah dengo tak iklan sebuah produk ubat gigi. Pernah dengor tak yop.................sebenarnya korang semua kena tipu hidup-hidup CEO dia orang melayu telah menggadaikan maruah islam. Sebenarnya tauke-tauke kat atas semua orang kafir. Macamnana orang kafir telah mengaburi mata dan telinga kita dengan menggunakan ayat dan hadis bagi meraih keuntungan.

Adakah kita sedar, mereka ni sebenarnya penyangak, pelacur yang dahagakan kemewahan dunia. Menjual kata kata daripada AL QURAN untuk keuntungan tapi apakah tindakan JAKIM. Diam bermakna kantung dah penuh.

Aku kesian kat Persatuan pengguna Penang (CAP). Setiap hari ada info cuba disalurkan tapi orang Islam kat melaysia buat tak tau je dan paling tak tahan jawapan yang diberikan: Kalau semua tak boleh, nak pakai apa nak makan apa! Itulah jawapan bila terlalu banyak makan makanan tidak halal.

Adakah kite peduli. JAKIM kalau orang Islam nak minyak, lesen HALAL payah nak mampos sebab tak berikan bantuan bawah meja. Lagi satu sebab kalau apply pakai borang gerenti TAK HALAL. Kalau tak bersama-sama bantuan bawah meja itu BARU HALAL.

Apa makna HALAL pada korang?

Satu lagi kepada TV3, kerajaan Pakatan Selangor bukan kerajaan pembangkang tapi BN yang pembangkang. Itulah bila dah lama sangat merintah; bini org kata bini dia. Kepada JIKIM, pintu taubat masih terbuka.kepada PENGARAH JAKIM perbetulkanlah akidah sebab Islam bukan boleh diukur dengan wang ringgit.

CheGu Bard nafi sertai UMNO, PKR kata Ezam bukan lagi isu

beritaBadrul Hisham Shaharin atau lebih mesra dengan panggilan CheguBard di kalangan teman, yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa beliau berhasrat untuk bersama-sama dengan Ezam Mohd Noor masuk ke dalam UMNO.

Ezam telah menyerahkan borang keahlian UMNO dan secara otomatik telah menyertai UMNO semula. Borang ahlinya itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang tadi.

"Saya juga menafikan bahawa Ezam ada memujuk saya memasuki Umno dan jauh lagi menawarkan habuan untuk saya memasuki Umno atau keluar PKR," menurut kenyataannya kepada Malaysiakini.

Blogzine ini telah dimaklumkan bahawa CheGu Bard telah mengadakan satu pertemuan sulit dengan Ezam dan Ezam telah menjanjikannya dengan sebuah habuan jika beliau masuk UMNO.

Beliau telah menjadi sasaran penyokong Pakatan yang mengatakan bahawa 'CheGu Bard akan lompat masuk ke UMNO'atas sebab hubungan beliau yang rapat dengan bekas pengerusi GERAK itu.

Walaubagaimanapun CheGu Bard mengatakan bahawa beliau masih lagi merupakan 'teman Ezam'. Menurut Suara Keadilan lagi, "beliau (CheGu Bard) turut menasihati agar Ezam tidak ‘hayut’ dalam Umno.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff, dipetik sebagai berkata kepada Suara Keadilan bahawa Ezam sudah tidak lagi menjadi isu kepada PKR.

Katanya, "[k]emasukan pengerusi Gerak bukan isu bagi kami. KeADILan lebih berminat untuk membincangkan sokongan hebat yang diterima dari segenap lapisan belia."

Menurut Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin lagi, seperti memetik Suara Keadilan Online berkata “[i]anya tidak memberi sebarang impak kepada KeADILan dengan penyertaan beliau, hanya catatan sejarah sahaja."

Dan lagi menurutnya “Sebagai yang telah berjuang, saya hanya mampu mengucapkan kepada Ezam Selamat Maju Jaya keatas Ezam kerana penyertaan beliau kedalam Umno,” katanya.

Ezam kembali ke pangkuan Umno

Oleh Helme Hanafi (Klpos)

berita terkiniKL: Selepas menimbulkan berbagai andaian mengenai arah tuju politiknya, Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka mengumumkan keputusan beliau untuk kembali menyertai Umno esok.

Menurut sumber yang rapat dengan beliau, pengumuman mengenai kemasukan Ezam semula ke dalam Umno akan dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Ya Ezam sudah membuat keputusan, dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sahaja," kata sumber terbabit.

Ezam sebelum ini diberitakan akan kembali menyertai Umno -parti yang pernah disertainya sebelum dipecat oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998 kerana menyokong gerakan reformasi.

Sebelum dipecat, Ezam merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Ura-ura Ezam memasuki Umno timbul selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan keluar dari Umno baru-baru ini.


27 Mei 2008

"Jangan kaitkan saya dengan berita Ezam mahu sertai Umno"-- Chegu Bard

beritaKL: "Jangan kaitkan saya dengan berita Ezam mahu menyertai Umno", itulah reaksi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi KLpos.com.

Sebelum ini, laman web Malaysiakini.com menyiarkan berita berbentuk spekulasi mengenai kemungkinan Badrul akan menyertai Umno bersama-sama dengan Ezam.

Menurutnya, memang beliau dalam keadaan 'panas' dengan sikap sesetengah pemimpin PKR mengenai cara menguruskan parti dan negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan rakyat.

"Betul saya tegur kepimpinan parti, pengurusan sebagainya, tetapi tidak semestinya hendak masuk Umno," kata beliau.

Badrul yang lebih dikenali sebagai pemimpin akar umbi, dilaporkan kecewa dengan sikap pemimpin parti yang mengabaikan penyokong sendiri dalam beberapa perkara termasuk pengisian jawatan.

"Mengapa perlu di bawa orang luar, ditatang bagai minyak penuh, sedangkan penyokong sendiri, dilupakan, ingat balik, tanpa penyokong siapalah kita hari ini," katanya.

Mengenai pertemuan beliau dengan Ezam, kata Badrul, "kenapa pulak orang lain boleh jumpa menteri Umno, sedangkan saya tidak boleh jumpa kawan sendiri,"

Menurutnya, beliau masih setia dengan PKR, dan akan bersama dengan parti tersebut melakukan perubahan.

"Walaupun saya hebat dicerca, dimaki hamun oleh pemimpin sendiri yang bertindak berdasarkan khabar angin, namun saya cukup gembira kerana ahli parti di peringkat bawahan masih setia menyokong saya," katanya.

10 Tahun Reformasi: Makin Maju atau Mundur?

Republik Kata bersoal jawab dengan Fathi Aris Omar, wartawan kanan Malaysiakini.com dan juga pengarang buku bertemakan gerakan reformisme pemikiran Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi bersempena sambutan ulang tahun ke-10 peristiwa Reformasi 1998.



wawancara
Wawancara ini disediakan awal 2008, menjelang pilihanraya umum ke-12 – sebelum "tsunami politik" mengubah lanskap hubungan BN-pembangkang di Malaysia pada 8 Mac.

Republik Kata (RK): September tahun ini, genap 10 tahun Gerakan Reformasi, yang telah menjadi petanda baru arus politik sehingga ada orang menyebut "saat-saat penakrifan baru", atau the new defining moments, politik negara selepas Merdeka. Apakah anda bersetuju dengan kenyataan ini? Apakah yang "baru" itu?

Fathi Aris Omar (FAO): Ya dan tidak. Memang ada tanda-tanda baru kesedaran berpolitik dengan tema-tema baru muncul, khususnya semakin popular sejak era Reformasi 1998. Contoh mudah, tema-tema baru yang menjadi wacana politik Melayu seperti gerakan mansuhkan ISA, hak asasi dan juga penglibatan lebih ramai anak muda dalam politik pembangkang atau NGO.

Sebab itu saya selalu tegaskan, Reformasi 1998 itu tidak memadai kita lihat sebagai pertarungan politik Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad. Di lapisan luar, memang kelihatan seperti itu, seolah-olah perebutan kuasa dua tokoh dalam Umno dan kerajaan. Itu sisi pandang makro, yang mudah ditafsir oleh banyak pihak.

Ada sisi pandang mikro yang sering diabaikan orang. Tetapi sebagai aktivis dan wartawan yang bergiat aktif pada waktu itu, saya suka mengetengahkan perspektif mikro. Supaya kita boleh nampak lapisan-lapisan analisis yang lebih luas, mendalam dan kompleks.

Kita ambil contoh mudah, siri-siri demonstrasi yang berlanjutan sejak Anwar dipecat sehingga aktivis-aktivis utama reformasi ditahan bawah ISA pada April 2001. Kita lihat tema-tema yang dibangkitkan mereka dan kita tengok penggerak-penggeraknya. Pastilah gejala ini baru dan khusus sebagai penanda aras lain dalam politik nasional.

Kita lihat kelompok-kelompok muda, walaupun sangat kecil, seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) atau Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Jelas, mereka ini bukanlah orang Anwar, bukan kumpulan NGO atau aktivis-aktivis lama yang menukar baju organisasi.

UBU, KAMI dan KsJT memang kelahiran baru, yang wujud sebagai reaksi kepada dan by-product Reformasi 1998. Ada sesuatu yang mendasar dalam pemikiran politik telah berubah sehingga memungkinkan tenaga baru itu berjaya muncul. Soal daya tahan kumpulan ini, itu soal kedua, tetapi kelompok-kelompok ini telah menjadi "kampus baru" aktivisme politik kita.

Ambil satu lagi kumpulan, GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA. Memang sudah ada kempen anti-ISA sebelumnya tetapi hanya Reformasi 1998 yang telah melonjakkan kesedaran anti-ISA sehingga menjadi tenaga baru untuk menyalakan kempen mansuhkan ISA.

RK: Apakah kita boleh sebut pergerakan Bersih, Hindraf dan fenomena blog politik juga satu penanda aras baru dalam politik nasional? Dan apakah sumbangan atau kaitan Reformasi 1998 dalam mencetuskan trend ini?

FAO: Ya, memang. Bersih, Hindraf, blog politik dan Malaysiakini.com itu semuanya penanda-penanda penting kesedaran baru politik nasional. Dan saya nampak ia suatu kesinambungan peristiwa Reformasi 1998.

Bersih dan Hindraf yang menggunakan kaedah mobilisasi massa ke tengah-tengah Kuala Lumpur sehingga sanggup berdepan dengan jentera polis jelas menunjukkan trend Reformasi 1998.

Orang nampak mobilisasi rakyat boleh membawa mesej kuat sesuatu hasrat politik. Orang mulai percaya bahawa berdemonstrasi bukan kerja menjerit sia-sia tetapi langkah politik yang berkesan sehingga cakap-cakap tentang "pilihan raya atau pilihan jalan raya" Hishamuddin Rais sudah tidak lagi terlampau asing di kalangan ahli-ahli politik pembangkang.

Malah, tema pilihan raya bebas dan adil yang dibawa Bersih ini memang produk langsung Reformasi. Ia bermula dengan usaha pemantauan pilihan raya umum 1999, walau tidak begitu menjadi. Sekarang sudah muncul Mafrel (Malaysians for Free and Fair Elections) dan Bersih – kedua-duanya menyuarakan tema baru politik ini dengan pergerakan yang jauh lebih sistematik.

Blog politik dan Malaysiakini.com jelas kesinambungan era laman-laman web Reformasi. Blog memang teknologi baru tetapi blog ala (kandungan) laman-laman Reformasi (1998 hingga 1999) sudah tidak ada. Yang muncul, media online seperti Malaysiakini.com yang meneruskan debat dan berita politik.

Dan juga blog-blog yang kritikal tetapi tidak takut menampilkan wajah pengendali-pengendalinya, misalnya Malaysia-Today, Rocky Bru dan kelompok All-Blog. Apatah lagi sebahagian besar pengendalinya berpengalaman luas dalam kewartawanan, matang (usia) dan mampu pula berbahasa Inggeris. Tetapi laman-laman Reformasilah pencetus pergerakan politik di alam siber di negara ini.

RK: Kalau begitu, luas sekali pengaruh Reformasi 1998. Jadi, kenapa perubahan politik, khususnya penyertaan dalam politik NGO dan pembangkang masih terbatas? Anak-anak muda, misalnya, masih ramai yang tidak peduli politik. Masih ramai anggota masyarakat yang takut-takut, enggan bersuara, sehingga menjadi majoriti bisu. Kita lihat nanti, misalnya, keputusan pilihan raya umum kali ke-12. Apakah ada kesan besar Reformasi 1998?

FAO: Saya kira, kita tidak boleh melihat gejala politik dengan linear (selanjar). Tidak ada proses sosial yang linear. Mesti ada simpang-siur proses perubahan, ada trend dan counter-trend. Ada paradoks dan conflicting trends. Dan kita jangan melihat perubahan besar semata-mata dengan mengabaikan perubahan incremental (sedikit-sedikit). Apatah lagi, kita bercakap sekarang dalam konteks membuka ruang politik atau pendemokrasian di sebuah negara yang makin kuat menekan.

Dua contoh gejala counter-trend itu ialah kemunculan pelajar pro-Aspirasi di kampus-kampus IPTA dan juga himpunan gerakan-gerakan agama (Islam khususnya) yang semakin lantang, dan juga sistematik, menampilkan sikap konservatifnya.

Walau sudah lama wujud AUKU dan kampus kita memang terbatas ruang politiknya tetapi gerakan pro-Aspirasi wujud akibat kebimbangan kerajaan pada sumbangan positif Reformasi 1998. Sebelum itu, kampus tidaklah seketat dan sekeras ini cengkaman Umnonya terhadap birokrasi, tenaga akademik dan siswa.

Malah, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga satu pakej baru untuk mengawal kesan-kesan positif era Reformasi. Begitu juga Puteri UMNO. Semuanya ini usaha mempolitikkan orang muda sebagaimana panggilan Reformasi 1998 telah berjaya menyeret anak muda ke kancah politik seperti lahirnya UBU dan KsJT.

Gerakan-gerakan agama yang muncul sekarang lebih lantang, dan lebih banyak label dan jaringannya, untuk menentang sebarang percubaan membuka tema-tema baru Islam yang sepadan dengan pendemokrasian seperti hasrat Reformasi 1998.

Gerakan agama kini menjadi medan penutupan fikiran dan medan menakut-nakutkan orang ramai pada tema-tema kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi. Seolah-olahnya gerakan baru NGO Islam ini ditaja oleh tangan-tangan ghaib kerajaan juga! Maksud saya, dalam usaha membasmi sisa-sisa kesedaran yang telah berjaya dicetuskan oleh Reformasi 1998.

Saya tidak mahu terperangkap dalam teori konspirasi di sini. Maksud saya, banyak anasir dalam masyarakat Melayu-Islam yang mula rasa terancam dengan perubahan-perubahan yang telah dan bakal dibawa oleh peristiwa Reformasi 1998.

Jadi, sama ada di pihak pembangkang Islam, NGO Islam atau pegawai-pegawai kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin Umno tertentu yang mula panik atau muak dengan niat Reformasi ke arah kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.

Kita ambil contoh reaksi keras mereka terhadap IFC dan Artikel 11. Misalnya lagi, jenis-jenis buku yang semakin aktif diharamkan, sebahagian besarnya buku-buku ilmiah atau kesarjanaan yang boleh membuka mata pembaca dalam bidang pemikiran (agama).

Ini semua counter-trend kepada Gerakan Reformasi 1998 tetapi tema dan bahasanya kelihatan Islam. Asasnya bukan agama, tetapi kebimbangan pada arus kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.

Mereka takut pada tema-tema kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran tetapi berselindung di belakang hujah agama. Kadang-kadang hujah sastera dan seni juga diolah untuk menentang tema-tema Reformasi 1998 ini. Lihat, misalnya, hujah penulis-penulis muda di Rumah PENA.

Contoh lain, memperkenalkan meritokrasi di IPTA oleh Dr Mahathir pada 2001 atau penilaian kembali DEB oleh Anwar melalui "Agenda Ekonomi Baru". Orang Melayu-Islam, sama ada di pihak parti kerajaan atau pembangkang, tidak menyambut hangat dua idea ini kerana dianggap menentang status quo. Tetapi tema-tema ini memang niat awal Reformasi 1998.

RK: Orang mulai resah dengan tema-tema ini. Kenapa? Kemudian mereka akan menutup diri daripada berfikir dan enggan menilai kembali. Sebaliknya, jika boleh, jangan sekali-kali membenarkan orang lain (gerakan Reformasi) membangkitkannya lagi.

FAO: Ya, memang betul. Sebab itu mereka menyebut perkataan "kontrak sosial" dalam Perlembagaan sebagai langkah mematikan perbahasan. Ia dianggap "isu sensitif".

Aktivis agama misalnya mula memperkenalkan ungkapan "hak asasi Tuhan" bagi menunjukkan banyak sisi serong hak asasi manusia (yang dikaitkan dengan ilham dan idealisme Barat). Ingat, "Barat" sebagai momok. Tetapi ini semua reaksi-reaksi terhadap arus besar yang muncul akibat Reformasi 1998.

Kita harus melihat begini: Era Reformasi 1998-2001 itu muncul bersama ketegangan politik. Jadi banyak isu tersedut untuk menjawab dan melawan tekanan keras tersebut.

Misalnya tema keganasan polis dan profesionalisme mereka. Itu tema Reformasi 1998 tetapi telah dirampas, di-hijack, oleh Abdullah Ahmad Badawi melalui suruhanjaya siasatan polis dan kemudian cadangan menubuhkan IPCMC.

Begitu juga tema kebebasan dan korupsi badan kehakiman yang juga idea Gerakan Reformasi. Sekarang baru kelihatan lebih jelas – walaupun saya percaya Abdullah menubuhkan suruhanjaya diraja (siasatan klip video VK Lingam) baru-baru ini untuk "membeli" undi semata-mata, bukan usaha tulus untuk mereformasikan badan kehakiman.

Era politik panas 1998-2001 itu menyebabkan keresahan yang mendalam di kalangan Melayu-Islam yang konservatif itu lambat muncul. Ia ada dan bergerak tetapi tenggelam buat sementara waktu. Politik kepartian (kepembangkangan) kelihatan mendominasi persaingan tema dan wacana pada waktu itu.

Tetapi sebaik sahaja gerakan ini dilembikkan melalui ISA dan kem Kamunting, maka bermulalah siri baru serangan tersebut, yakni memorandum PUM kepada Agong untuk menghukum dan menapis tulisan-tulisan yang dianggap menentang agama. Ia muncul seawal 2002 sebagai penanda aras baru sebelum muncul ACCIN atau Badan Anti-IFC (Badai).

Di satu sisi lain, gerakan untuk menuntut ruang dan kebebasan ini melancarkan Kempen Anti-Kawalan Moral (MPAMP) pada 2004 sehingga Artikel 11.

Maksud saya, di luar musim politik panas, ketegangan politik kepartian, maka muncullah politik ideologi atau aliran yang bersifat merentasi kumpulan dan kelompok. Pada asalnya tema-tema diskusi digerakkan untuk menentang pemerintah (Dr Mahathir) tetapi kemudiannya menjadi persaingan pemikiran dan budaya yang merentasi kaum, kelas, latar pendidikan dan parti politik.

Era 2002-2005 yang dianggap "resah" itu sebenarnya dilatari oleh semangat "kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran" yang menjadi roh pergerakan Reformasi. Dan pergerakan Reformasi seumpama ini memang mudah menangkap aliran pemikiran atau ideologi yang merentasi kaum, parti dan kelompok.

RK: Maksudnya, ada kesan menurun atau kemerosotan arus Reformasi?

FAO: Ya …maksud saya reformasi pemikiran, bukan Gerakan Reformasi sebagai sesebuah kelompok, persatuan atau parti politik. Kita tidak akan nampak perubahan idea dan budaya politik jika kita mengurung analisis dampak Gerakan Reformasi seperti kita menganalisis PAS atau politik Anwar.

Perkataan "reformasi" ini sebagai label kepada sejumlah nilai hidup, gerakan kepolitikan, perkumpulan orang dan tema wacana yang bersifat merentasi kurungan-kurungan kelompok, persatuan atau parti politik. Perkataan "reformasi" telah menjadi setaraf dengan maksud "Islamis", "liberal" atau "Marxis" – maksud saya, ia telah bertukar sebagai politik idea, ideologi atau budaya (fikiran).

Organisasi hanyalah kenderaan untuk mengenali, dan kenderaan untuk mengurus, manusia sahaja. Tetapi gejala "reformasi" atau ideologi "Islamis" itu memang melangkaui sesuatu organisasi. Ia adalah suatu pemikiran, reformasi sebagai usaha reformisme sebagaimana fundamentalisme atau Islamisme hidup daripada Islam.

Perkataan "reformasi" di sini sebagai maksud "kaedah berfikir" dan kaedah merumus isu-isu kenegaraan, kebudayaan, agama dan masyarakat.

RK: Bolehkah kita sebut Reformasi 1998 atau "reformisme" yang disebut tadi sebagai gerakan anti-Mahathirisme? Yakni, Reformasi bukan sahaja menentang tubuh Dr Mahathir Mohamad tetapi keseluruhan projek, idealisme, gerak politik, citarasa dan penggubalan undang-undang era 22 Dr Mahathir sebagai perdana menteri?

FAO: Ya, memang. Di satu sisi, Reformasi 1998 memang sejenis kebalikan Mahathirisme. Sebab itu saya sebut di awal tadi, Reformasi 1998 bukan pertembungan Dr Mahathir dengan Anwar semata-mata, bukan persaingan kuasa pengikut Dr Mahathir dengan kem Anwar. Bukan. Bukan itu faktor asas yang melatari motivasi dan wacananya.

Harus sentiasa diingat, sewaktu Anwar di dalam penjara, pengikut Anwar hanyalah sebahagian kecil daripada arus besar Reformasi 1998. Mungkin dalam parti Keadilan (sewaktu ditubuhkan pada 1999) dan di tepi-tepi jalan, masih ada pemimpin dan pengikut Anwar, khususnya daripada Umno.

Tetapi sebahagian besarnya, mungkin antara 60 hingga 70 peratus, penggerak demonstrasi dan pengemuka wacana era Reformasi 1998 bukan lanjutan Anwarisme Umno. Sebahagiannya digerakkan oleh aktivis NGO yang pelbagai latar belakang, termasuk kelas menengah kota dan bukan Melayu. Begitu juga peranan parti pembangkang seperti PAS dan PRM, bukan penerus citarasa Anwarisme Umno. Bukan.

Dan, menariknya, Reformasi 1998 bukan pertarungan kem-kem dalam Umno seperti Team A melawan Team B era 1987 hingga 1990 (pilihanraya umum ke-8). Reformasi 1998 adalah gerakan anti-kuasa, gerakan anti-negara. Negara di saat ini disimbolkan oleh Dr Mahathir (perdana menteri), Umno (kuasa politik berparti) dan institusi-institusi negara (polis, media dan mahkamah).

Dr Mahathir, Umno dan institusi ini dianggap "negara". Maka penolakan dan perlawanan gerakan Reformasi 1998 adalah simbol penentangan terhadap elemen-elemen asas ini, unsur-unsur mendasar tentang sendi-sendi kenegaraan kita.

Mereka bukan menolak untuk membuangnya. Bukan sejenis revolusi. Reformasi 1998 sejenis gerakan evolusi reformisme kenegaraan. Ia hanya melihat dan mahu mencantas keburukan-keburukannya sahaja tetapi mengekalkan kebaikannya.

Misalnya, isu rasuah. Reformasi 1998 bukan mahu membuang BPR tetapi mahu BPR lebih berani, lebih bebas, lebih profesional menjalankan tugasnya kepada semua pihak, khususnya "ikan-ikan besar". Begitu juga polis.

Reformasi 1998 bukan menentang polis atau menolak institusi kepolisan. Reformasi 1998 menentang sikap polis yang membelasah orang ramai dan sikap polis yang lengah-lengah dan tidak berani bertindak secara profesional, khususnya kepada pemimpin kerajaan dan ahli-ahli politik BN.

Misalnya soal kebebasan badan kehakiman. Reformasi 1998 bukan mahu menukar sistem mahkamah sivil kepada mahkamah syariah tetapi mahu menegakkan kembali imej bersih dan independen mahkamah sebelum tragedi 1988, yang diruntuhkan oleh Dr Mahathir.

Begitu juga sikap mereka terhadap kebebasan siswa dan kampus dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti, atau kebebasan media (Akta Penerbitan dan Mesin Cetak). Mereka mahu ruang yang lebih bebas untuk mengkritik pemerintah, setidak-tidaknya "sedikit lebih bebas dan dapat bernafas", tidak seperti apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sejak 1981.

Jika anda kaji pindaan undang-undang yang dicipta oleh Dr Mahathir sepanjang era 1980-an, anda akan faham kenapa Reformasi 1998 begitu anti-Mahathirisme dan kenapa anti-Mahathirisme itu bersifat "gerakan anti-negara", bukan sekadar anti-batang tubuh Dr Mahathir.

Reformasi 1998 berbeza dengan gerakan anti-Abdullah yang dicetuskan oleh Dr Mahathir, beberapa penulis blog dan penyokong Umno. Gerakan Dr Mahathir ini skopnya sangat sempit. Mereka hanya mahu membuang Abdullah dan juak-juak perdana menteri seperti Khairy Jamaluddin, anak-beranak perdana menteri atau kumpulan "tingkat empat".

Mereka tidak menawarkan kritikan mendalam dan serius tentang institusi-institusi kenegaraan. Gerakan Reformasi 1998 tidak begitu. Reformasi menentang Dr Mahathir, Umno dan negara kerana ia menuntut perubahan menyeluruh daripada proses Mahathirisme yang melemahkan negara.

RK: Jadi, maksudnya gerakan Dr Mahathir sekarang menentang Abdullah tidak wajar disokong? Kalau kita sokong Dr Mahathir sekarang, apakah ini bermakna kita tidak lagi menyokong reformisme 1998?

FAO: Bukan begitu maksud saya. Reformasi 1998 telah mengemukakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh daripada usaha Dr Mahathir menentang Abdullah hari ini. Reformasi 1998 terus-menerus menuntut peluasan ruang demokrasi, termasuk kebebasan mengkritik dan menegur perdana menteri dan presiden Umno.

Reformasi 1998 tidak fokus kepada individu atau juak-juak tertentu. Reformasi 1998 menuntut pembaikan dalam hampir semua bidang kenegaraan yang merugikan bangsa Malaysia.

Reformasi 1998 menuntut wacana baru, semakan semula, dan bahasa baru untuk mengukuhkan negara, misalnya hubungan antara kaum, misalnya pengagihan semula ekonomi, misalnya ruang demokrasi, misalnya peranan media (termasuk Internet) dan peranan kelas menengah.

Reformasi 1998 bukan sekadar gerakan politik seperti Dr Mahathir menyerang Abdullah.

Reformasi 1998 sebenarnya gerakan kebudayaan, gerakan pemikiran, gerakan wacana dan gerakan idea untuk merombak negara agar lebih menghargai demokrasi dan hak asasi warganya.

Memang gerakan reformisme di mana-mana pun melibatkan aksi politik tetapi aktivisme politik itu hanya saluran atau jalan untuk menjayakan sejumlah idea atau wacana yang dikempenkan.

Sebab itu, saya sebut awal tadi, Reformasi 1998 ini sudah menjadi gerakan "reformisme" pemikiran dan kebudayaan dalam bidang kepolitikan dan kenegaraan.

Maksud saya, Reformasi 1998 itu membuka jalan atau ruang untuk kita membentuk falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia. Sebab itu ia bukan sekadar gerakan politik.

RK: Jadi, apakah reformasi seperti ini akan ada masa depan di Malaysia? Atau akan dikalahkan negara atau ditewaskan oleh penggerak-penggeraknya yang tidak faham arah tuju dan semangatnya?

FAO: Saya tidak optimis dan tidak juga pesimis dalam hal ini. Tetapi bagi saya, ringkas sahaja. Jika Reformasi 1998 dinilai sebagai gerakan pencetus "falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia", yakni gerakan pemikiran dan wacana baru, maka reformisme seumpama ini memberi harapan kepada Malaysia.

Jika orang menafsirkan Reformasi 1998 sekadar usaha-usaha menjatuhkan BN, sekadar merebut tampuk kekuasaan, sekadar menjadi perdana menteri, atau sekadar mengambil peluang ekonomi dan kedudukan politik (dalam kerajaan dan parti), maka proses selama 10 tahun ini akan sia-sia, tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Saya jelaskan tadi, kedua-dua maksud dan tafsiran Reformasi 1998 ini berbeza dan membawa akibat yang berlainan. Terpulang kepada penggerak-penggerakanya, intelektualnya, penulisnya dan aktivis mudanya.

Ke mana mereka membawa arus Reformasi 1998, terserah kepada mereka. Tetapi jalan yang dirintis sejak 10 tahun lepas telah membuka kemungkinan untuk kita menggerakkan reformisme ketatanegaraan yang baru dan saya semakin optimis ia akan membuka (telah membuka!) mata banyak orang.

Jika anda membaca buku saya Patah Balek: Catatan terpenting era reformasi, atau buku Hishamuddin Rais, Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya, atau buku Khalid Jaafar, Tumit Achiles, anda akan faham banyak lagi gerakan reformisme harus kita usahakan.

Kita harus terus menyuburkan idea, terus melatih bakat-bakat baru dan terus mengasak dengan gerakan politik yang lebih padu. Ketiga-tiga bidang ini (pemikiran, tenaga baru dan aksi politik) tidak boleh kita abaikan.

Ingatlah pesan saya, Reformasi 1998 itu ertinya gerakan pencetus "falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia", yakni gerakan pemikiran dan wacana baru.

26 Mei 2008

Ezam, Badrul akan sertai UMNO?

Oleh Muda Mohd Noor (malaysiakini)

beritaAhli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin enggan mengulas ura-ura bahawa beliau akan menyertai Umno bersama bekas ketua Angkatan Muda (AMK) parti itu Mohd Ezam Mohd Nor.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam.

"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas satu coretan di sebuah blog yang mendakwa "satu pertemuan sulit" antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.

Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Mohd Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".

"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut daripada mesej emel yang dikirimkan kepadanya.

"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno."

Kedua-duanya aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.

Badrul terpilih sebagai anggota MPT dalam mesyuarat agung PKR tahun lepas.

Bagaimana UMNO membodohkan kita? II

Oleh Fathi Aris Omar

eseiCharles Linnaeus, ahli sains Sweden yang mengasaskan sistem pengkelasan sains hingga dipakai ke hari ini, pada 1740 terpaksa menulis bagi menjawab sikap sinis masyarakatnya:

“…satu soalan yang sering ditanya, satu sanggahan yang sering dibuat terhadap ahli sains yang ghairah mengkaji alam tabii, apabila orang yang rendah pelajarannya melihat ahli falsafah tabii memeriksa hasil-hasil alam.

“Orang ramai bertanya, selalunya dengan ketawa menyindir, ‘apa guna buat kerja ini’ … Orang seperti itu beranggapan falsafah alam tabii sekadar melayan rasa ingin tahu, hanya sejenis hiburan untuk membazir masa bagi golongan yang malas dan tidak berotak.”

Sebelum Zaman Pencerahan, beratus-ratus tahun sejak Zaman Pertengahan dan Renaissance, melayan rasa ingin tahu secara intelek (intellectual curiosity) dipandang buruk. Ia dianggap sejenis hawa nafsu (dan juga dosa) yang menyebabkan Adam dan Hawa tercampak ke bumi (selepas memakan sejenis buah di syurga).

Imej negatif ini berakar umbi begitu mendalam melalui penulisan-penulisan agama sehingga pemikir besar Jean-Jacques Rousseau terpaksa berhujah betapa mustahaknya rasa ingin tahu (dan berfikir) untuk menajamkan ilmu dalam risalah pendidikannya yang masyhur, Emile (terbit 1762).

Proses pembodohan dalam masyarakat kita membawa natijah yang serupa dengan pengalaman Eropah ini – ia berjaya membunuh rasa mahu berfikir, bertanya atau mempertikai. Di sini bermula kelumpuhan pemikiran, mematikan ‘rasa yakin akal’ (asas kemerdekaan diri) atau kesan akhirnya, ketandusan debat awam.

Kebebasan berfikir itu sendiri (selalu dirangkum bersama kebebasan beragama atau kesedaran nurani) sejenis tuntutan akibat ingin berbeza anutan, khususnya agama, dalam sejarah Eropah. Ia akhirnya diiktiraf sebagai satu hak asasi setelah wujud keinginan serta keyakinan yang kuat untuk berbeza anutan (termasuk tidak menganut apa-apa!).

Tuntutan kebebasan, apa juga bentuk, selalu muncul akibat rasa ingin bebas yang telah meronta-ronta, tidak tertahan-tahan lagi. Tetapi projek pembodohan Dr Mahathir Mohamad membunuh benih asas ini, ‘rasa ingin’

– sama ada bebas atau berfikir. Juga, membunuh kecemerlangan seperti kritik Khalid Jaafar tentang “kelaihan (mediocrity)… [sebagai] menjelaskan makna sebenar Mahathirisme.”

Penyakit yang sama akibat pembodohan ini, termasuk tidak cemerlang khasnya dalam bidang pemikiran, merebak di kalangan aktivis pembangkang, pemimpin siswa dan juga penggerak Reformasi. Misalnya, ia timbul melalui rasa malas membaca atau mudah berpuas hati dengan pandangan yang selapis, cetek dan permukaan.

Atau, ketika berdiskusi atau bermesyuarat, mereka gagal berhujah dengan lebih mendalam dari pelbagai penjuru dengan sokongan fakta atau sudut pandangan yang lebih bernas. Oleh itu, tidak berlaku percambahan, serta kepelbagaian idea atau semakan-semakan semula hujah yang sudah klise atau stereotaip. Tiada proses ‘peningkatan kebernasan idea’ – yang dianggap asas penolakan kedepan peradaban manusia.

Semua ini terjadi akibat hilangnya proses penerokaan akliah; proses ini datang bersama kemahuan yang kuat untuk berfikir, rasa seronok melayan fikiran apabila dihadapkan dengan persoalan mental walau ia waktu-waktunya membingungkan. Tetapi kebingungan itu tidak menjadi halangan; rasa asyik itu yang lebih kuat. Ia semacam rasa puas – dalam satu ‘permainan’ – untuk mencari ‘jawapan’ terhadap sesuatu kemusykilan.

Bagi mangsa pembodohan, kemusykilan itu sendiri – atau bagi seorang aktivis, permasalahan masyarakat dan bangsa – gagal dirumuskan! Tidak muncul rasa resah ingin meneroka pemikiran sendiri.

Sebab itu, dalam pertemuan petang itu, saya katakan pada Isham, “dalam bangsa yang beku pemikirannya, soalan yang betul dan paling asasi (untuk mengatasi kebekuan itu sendiri) tidak mampu ditanya!” Dia pun ketawa besar, bersetuju.

Gejala ini tidaklah terlalu pelik, sesiapa yang pernah membaca ‘teori’ kelumpuhan paradigma seperti karangan Joel Arthur Barker, Paradigms: The business of discovering the future akan faham kesan buruk seumpama ini.

“Masyarakat tanpa kaum intelektual yang berkesan [dan juga malas] tidak mampu merumuskan masalah,” kata profesor Syed Hussein Alatas. “Ciri utama [individu serta kelompok] bukan intelektual adalah tidak adanya kemahuan berfikir dan tidak mampu melihat akibat [ketika proses berfikir].”

Ertinya, mangsa proses pembodohan Dr Mahathir tidak mungkin mencari punca kebodohannya sendiri! Mereka seolah-olah terkena sejenis dadah ‘scopolamine’ (dari pokok borrachero yang banyak tumbuh di Colombia). Mangsa akan mengikut apa sahaja kemahuan atau perintah orang lain. Mangsa tidak sedar apa-apa yang pernah terjadi ketika di bawah pengaruh dadah ini.

Berbeza dengan dadah jenis-jenis lain, scopolamine menghalang pembentukan memori dalam otak manusia. Mangsa tidak mungkin mengenali siapa penganiayanya. Walau melalui proses hipnosis, mangsa tetap gagal mengingati apa-apa kerana ingatan tidak pernah dirakam dalam minda.

bersambung…

Jemputan: TALK SHOW

"KEMELUTMENCARICINTA"
::PERJUANGAN YANG BERMULA TANPA ADA KESUDAHAN::

BICARA BERSAMA

PENULIS TERSOHOR INDONESIA

USTAZ HERRY NURDI

KETUA EDITOR MAJALAH SABILI
SELASA

27 MEI 2008

3.30 PETANG

SARA GEDUNG LALANG
AMPANGAN

SEREMBAN

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

MALAYSIA

ANJURAN UTAMA
JARINGAN NASIONAL BELIA MAPAN
TERAS
SEKALIAN WANITA & MUSLIMAT DIJEMPUT HADHIR
MOGA ADA MANFAATNYA

Anwar nak bertanding kat Kuala Kangsar?

beritaDatuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang baru sahaja habis edah politiknya pada 14 April sudah dikatakan akan bertanding dalam rilihan raya kecil yang akan diadakan sedikit masa lagi di Kuala Kangsar.

Pertama kali beliau disifatkan bakal bertanding di Kuala Kangsar ialah pada sebelum pilihan raya umum ke 12 (PRU 12). DSAI memaklumkan kepada khalayak yang mengikuti program sepetang bersama rakyat di Kg. Sayong Lembah pada 6 Januari yang lepas.

DSAI dilaporkan seperti di dalam berita di Harakahdaily bahawa beliau mahu jadi calon di Parlimen Kuala Kangsar untuk tujuan melakukan perubahan yang menguntungkan semua rakyat di bandar Diraja itu.

Katanya menurut laporan yang sama, "[b]iar ada perubahan di Kuala Kangsar. Kuala Kangsar sudah 50 tahun beri umno/Barisan Nasional pegang. Maka dikali ini rakyat berilah pula kepada Parti KeADILaan dan PAS. Juga biar ada perubahan di Ipoh dan di seluruh pelusuk negeri Perak dan negara. Kawan-kawan semua tolong kerja kuat demi supaya perubahan itu menjadi kenyataan."

Isu ini (isu DSAI nak bertanding di Kuala Kangsar) berbangkit semula selepas pilihan raya pula, di perasmian Sidang Dewan Rakyat, di Parlimen baru-baru ini. Ketika ditanya wartawan tentang di mana beliau akan bertanding di pilihan raya kecil selepas habis edah politiknya.

Beliau berkata, "I told you the possibility of Kuala Kangsar and some other place. (Saya dah beritahu dah kan, kemungkinan di Kuala Kangsar dan lain-lain tempat.)"

Walaupun kenyataan beliau itu diakhiri dengan senyuman panjang dari beliau, tetapi kemungkinan besat beliau akan bertanding di Kuala Kangsar tidak boleh ditolak seratus peratus.
"Dalam banyak-banyak tempat di Malaysia mengapa hanya Kuala Kangsar yang beliau sebut," kata seorang ahli politik PAS dengan yakin bahawa DSAI akan bertanding di Kuala Kangsar.

Dan kemudian isu ini nyata semacam mempunyai kebenarannya apabila dirujuk pula kepada blog Mat Saman Kati. Di bawah posting pada hari ini, bertajuk Hari-hari terakhir Rafidah Aziz beliau ada menyebut bahawa DSAI akan bertanding di Kuala Kangsar.

Katanya, "[p]etang tadi, aku mendapat satu pangilan telefon dari seorang member yang merupakan seorang pegawai tinggi CIMB. Dia minta aku carikan sebuah rumah fully furnished untuk disewa mulai Jun ini. Terkejut juga, sebab dia ni dah ada banglo besar kat Damansara. Bila aku tanya, dia jawab, nak standby for by-election diKuala Kangsar!

"Hello brader! Petisyen pilihanraya baru saja masuk mahkamah, tak kan cepat sangat? Dia bagi tau, bukan itu sebabnya. Ada satu pertikaian diantara CIMB dengan NAZA yang melibatkan Opah Pidah(Rafidah Aziz). Opah Pidah diberi pilihan, sama ada meletakkan jawatan sebgai Ahli Parlimen Kuala Kangsar, atau menghadapi tindakan mahkamah yang melibatkan jutaan ringgit. Dalam keadaan sekarang, pilihan terbaik bagi Opah Pidah ialah meletakkan jawatannya."

Berita ini dilihat seakan menolak khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa DSAI akan bertanding pada pilihan raya kecil di Permata Pauh, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak atau Kelana Jaya. yang ditinggalkan kosong oleh Dati Seri Wan Azizah, Nurul Izzah, Khalid Ibrahim atau Loh Gwo Burne kerana memberi laluan kepadanya.

24 Mei 2008

Ramly Zahari di sebut-sebut ganti Tajol Rosli

beritaRK mendapat maklumat bahawa wakil rakyat Manong Datuk Ramly Zahari adalah antara calon yang dikatakan akan mengisi jawatan Ketua Perhubungan UMNO Perak bagi menggantikan Datuk Seri Tajul Rosli bin Ghazali.

Datuk Seri Tajul Rosli dikatakan akan meletak jawatan berkenaan kerana sikap bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti UMNO di Perak pada pilihan raya yang lepas.

Untuk rekod, kerajaan negeri sekarang dipimpin oleh kerajaan campuran Pakatan Rakyat (Pakatan) yang berjaya memenangi 31 daripada 52 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Manakala BN hanya mendapat 28 kerusi.

RK juga difahamkan bahawa sesetengah rakyat negeri Perak masih lagi yakin bahawa BN akan kembali memerintah dalam jangka masa terdekat ini. Menurut salah seorang daripada pemberi maklumat kepada RK yang juga enggan memberikan namanya, "Ramly Zahari akan naik jadi MB."

Beliau yang juga merupakan salah seorang pegawai kerajaan berkata dengan yakin bahawa Ramly Zahari akan mengganti Datuk Seri Ir Nizar sebagai MB dan bukan sahaja sebagai ketua perhubungan parti berkenaan.

Walau bagaimapun, RK masih belum metahui dan masih belum mendapat maklumat bagaimana proses peralihan kuasa dilakukan.

Selepas Ezam, Che'Gu Bard pula khianat?

Oleh Anti Khairy

eseimestibacaKami menerima maklumat daripada pembaca blog Anti Khairy bahawa terdapat satu pertemuan sulit diantara calon ahli parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin a.k.a Chegubard dengan Ezam Mohd Noor beberapa minggu yang lalu disebuah tempat yang dirahsiakan.

Pengirim email yang mahu namanya dirahsiakan menyatakan pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai kemasukkan Ezam kedalam UMNO. Ezam dan Badrul seperti yang diketahui umum bersama-sama menubuhkan GERAK.

Dalam pertemuan tersebut, Ezam meyakinkan Badrul agar menyertai beliau kedalam UMNO untuk memperkukuhkan Pak Lah sekaligus menyekat kemaraan penentang-penentang Pak Lah. Dengan ini "reformasi" dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan.

Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk UMNO.

Dalam email tersebut, pengirim tersebut turut menyatakan yang Badrul adalah teman baik kepada Anuar Mohd Noor, pengendali laman web Umno-Reform dan blog Arah Kita yang juga pengarah kepada Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA). Kedua-dua mereka ini pernah bekerja di Institut Kajian Dasar (IKD).

Apakah Anuar Mohd Noor, balaci Norza Zakaria terlibat dalam percaturan ini?

Yang memeranjatkan kami, pengirim email tersebut menyatakan yang Ezam meletakkan Badrul Hisham Shaharin untuk melawan menantu PM untuk memastikan menantu PM menang di Rembau walaupun dengan majoriti yang kecil pada PRU 12 yang lalu.

Blog Anti Khairy masih menganggap email yang diterima ini sekadar khabar angin. Akan tetapi kami menuntut penjelasan daripada saudara Badrul Hisham Shaharin a.k.a Chegubard mengenai isu ini.

Blog Anti Khairy menyokong Badrul Hisham Shaharin dalam PRU 12 yang lalu walaupun beliau datang dari PKR hanya kerana satu tujuan, "Menyekat Kemaraan Menantu Pak Lah".

Jika terbukti Badrul Hisham Shaharin a.k.a Chegubard sebenarnya bersekongkol dengan menantu PM, Blog Anti Khairy tidak akan memaafkannya!!!

Sekat Menantu PM! Tolak Ezam!

Dari UMNO ke PKR ke GERAK ke UMNO semula?

Oleh Mat Saman Kati

eseiMestiBacaIni betui-betui kes anak haram. Selama ni, aku ingat bila dia pakai baju kurung, Tudung labuh, ingatkan dia dah bertaubat, nak ikut Quran dan Sunnah Rasul, rupa-rupanya dia mengandung anak haram. Bila anak dilahirkan, baru pecah tembelang.

Ini bukan cerita aku nak jual bayi, yob! Tapi cerita GERAK.

Bila Ezam keluar dari PKR, dia tubuhkan GERAK. Macam anak dara pakai baju kurung dan bertudung. Kita pun puji melangit kerana dia kata nak perangi rasuah. Hang tinggal mak bapak kaki rock pun tak apa, sapa pun tak marah kerana ingatkan hang nak berdakwah. Rupa-rupa nya, dalam diam-diam hang ada secret affair.

Hang kata hang nak perangi rasuah, tapi.... dalam terang-terang, hang maki mak bapak hang. Dalam terang-terang, hang pi buat baik dengan bapak angkat hang, Pas. Dalam diam-diam, hang nak jahanamkan mak bapak hang. Dalam diam-diam, hang nak pelingkupkan bapak angkat hang.

Dalam diam-diam, hang jadi barua kepada Khairy dan Norza, untuk melingkupkan Pas dan PKR. La ni baru aku tau GERAK tu bekerja untuk siapa.

Siapa dia Mohd. Nazree Yunus? Dia adalah Pengerusi Jaringan Anak Muda INSKA, sebuah NGO dibawah naungan Norza Zakaria, orang kanan Khairy dan juga Bakal Pengerusi GERAK.

Yang anehnya, Che'gu Bard, orang kuat PKR juga merupakan orang kuat Ezam didalam GERAK. Dan dalam pilihanraya yang lalu, Che'gu Bard menentang Khairy! Sebelum pilihanraya, Che'gu Bard pernah cakap, dia akan menentang Khairy, walau dimana saja Khairy bertanding. Kuat sangat ka Che'gu Bard? Ataupun dia mahu memastikan Khairy menang?

Bila keluar PKR, Ezam menetapkan syarat tidak mahu berceramah kalau ada bendera PKR, tapi berterima kasih kepada PAS kerana menyediakan pentas untuknya. Dalam ceramah, dia hentam PKR, puji Pas. Orang Pas pun takbir. Tapi apa tujuannya?

Tujuannya, untuk memisahkan Pas dengan PKR. Tapi tak menjadi. Sebaliknya, Pakatan Rakyat pula timbul.Lantas selepas pilihanraya, kerja mereka ini ialah untuk memecahbelahkan PR. Nazree jadi tukang api Pas lawan DAP. Hebat sungguh!

DiSelangor, Nazree persoalkan Pakatan Rakyat dimana bukti rasuah yang dilakukan oleh kerajaan Umno yang dulu. Hang nak membenteras rasuah atau nak membela Khir Toyo? Pasai apa GERAK tak bantu siasat rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh Khir Toyo? Sepatutnya hang kena selidik tentang fail-fail yang hilang dan dimusnahkan. Daripada badan NGO yang menentang rasuah, GERAK jadi talibarut UMNO.

Apabila semua ini tidak berjaya, sekarang mereka sedang mengajak Pas untuk bermuafakat dengan Umno. Islam dan perpaduan Melayu dijadikan komoditi untuk dijual kepada Pas dan Pas nampaknya sudah bersedia untuk dirogol sekali lagi. (Baca siasah keluaran hari ini).

Aku pernah kata, Khairy ni panjang akai. Mahathir yang terror pun boleh out, inikan pulak Tok-Tok Guru yang macam keramat hidup.

Untuk mengaburi masyarakat umum, Ezam hantar satu lapuran tentang salahlaku seorang Menteri kanan kepada Pak Lah. Pasai apa tidak kepada BPR? Ada sapa tau tentang laporan itu? Jangan-jangan lagi satu kotak kosong.

Dan untuk mengekalkan imej GERAK sebagai anti rasuah, Nazree pun menyatakan kekesalan kerana siasatan terhadap MSN ditutup. Tak kan tak tau, Azalina tu member kamcing Khairy, sejak jadi host Dateline Malysia kat NTV7 tahun 99 dulu? Tak kan Khairy nak pekena member dia!

Semua kena jual hidup-hidup.