15 Jun 2008

Chong Wei menang

Oleh BERNAMA

SINGAPURA, 15 Jun (Bernama) -- Lee Chong Wei menjuarai gelaran perseorangan lelaki Terbuka Aviva Singapura hari ini, menepati ramalan bahawa beliau adalah pemain terbaik dalam kejohanan itu.

Pemain nombor satu Malaysia itu menumpaskan Simon Santoso dari Indonesia dalam perlawanan akhir di stadium tertutup di sini hari ini dengan 21-13, 21-5 untuk meraih US$15,000(RM48,000).

Chong Wei yang mempamerkan permainan mengagumkan hanya mengambil masa 29 minit untuk menundukkan pemain pilihan keenam Indonesia itu.

Gandingan beregu Malaysia Mohd Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazary turut cemerlang apabila menewaskan beregu senegara Lin Woon Fui dan Gan Teik Chai 21-18, 21-17 untuk menjulang gelaran beregu lelaki.

Bagi Chong Wei, kemenangan itu amat bermakna ketika beliau mensasarkan pingat emas di Olimpik Beijing Ogos ini.

Ia merupakan kemenangan pertamanya pada kejohanan itu selepas enam kali mencuba selepas dikecewakan oleh Kenneth Jonassen dari Denmark pada 2004.

"Saya amat gembira dengan kemenangan ini tetapi seperti saya katakan sebelum ini yang saya menyertai Terbuka Singapura sekadar untuk beraksi dalam pertandingan sebelum ke Beijing.

"Sama ada saya menang atau kalah ia tidak penting. Malah saya percaya ramai pemain terkemuka mahu beraksi dalam pertandingan sebelum menyertai acara penting. Lihat saja pada Lin Dan (pemain nombor satu China). Beliau akan menyertai Terbuka Thailand sungguhpun kejohanan itu bukan acara super series.

"Saya akan berehat seketika dan selepas itu menjalani latihan semula sehingga berlepas ke Olimpik," kata Chong Wei yang tidak akan menyertai Terbuka Indonesia minggu depan di mana beliau ialah juara bertahan.

Bagi Simon, beliau mengaku yang dirinya kalah kepada pemain yang memang handal.

"Chong Wei amat luarbiasa hari ini. Prestasinya sungguh menakjubkan tanpa melakukan sebarang kesilapan yang memang dijangkakan daripada pemain berpengalaman dan matang.

Bagi diri saya, saya melakukan banyak kesilapan," kata Simon yang menduduki ranking ke-12 dunia.

Bagi Mohd Zakry dan Fairuzizuan, yang tidak terpilih ke Olimpik Beijing, kemenangan mereka merupakan gelaran utama pertama yang mereka raih dan hadiah wang tunai US$13,800 adalah yang tertinggi pernah mereka menangi setakat ini.

"Kemenangan ini memang di luar jangkaan kami. Tetapi bila kami tiba di sini dan melihat senarai yang menarik diri ditambah pula dengan kekalahan dua beregu utama Denmark dan beregu nombor dua China, kami bertambah yakin.

"Kami berharap ia menjadi permulaan bagi kami untuk memenangi lebih banyak gelaran.

Malah, kami mengalahkan semua pemain dalam sirkit ini kecuali beregu Indonesia Markis Kido dan Hendra Setiawan (beregu nombor satu dunia) dan beregu Korea, Lee Yong Dae dan Jung Jae Sung," kata Mohd Zakry.

Mereka akan beraksi di Terbuka Indonesia minggu depan dengan harapan melakukan lebih baik daripada peringkat separuh akhir pada tahun lepas.

China pula pada kali ini, hanya meraih satu gelaran menerusi beregu wanita Yu Yang dan Du Jing yang menewaskan beregu Taipei, Cheng Wen Hsing dan Chien Yu Chin 21-16,21-19.

Gelaran perseorangan wanita dimenangi pemain Denmark Tine Rasmussen yang mengalahkan pemain Hong Kong Zhou Mi 21-9, 21-17 bagi gelaran keempat dalam Super Series selepas Terbuka Malaysia 2008, Terbuka Jepun 2007 dan All-England 2008.

KEPUTUSAN SEMUA PERLAWANAN AKHIR:

Perseorangan lelaki - Lee Chong Wei(MAS) mn Simon Santoso(INA) 21-13,21-5.

Perseorangan wanita - Tine Rasmussen(DEN) mn Zhou Mi(HK) 21-19,21-17.

Beregu lelaki - Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazary (MAS) mn Lin Woon Fui-Gan Teik Chai (MAS) 21-18,21-17.

Beregu wanita - Yu Yang- Du Jing(CHN) mn Chien Yu hin- Cheng Wen Hsing (TPE) 21-16,21-19;

Beregu campuran - Nova Widianto-Liliyana Natsir (INA) mn Anthony Clark-Donna Kellog (ENG) 17-21,21-14,21-9.

Tiada ulasan: