13 Jun 2008

PAS, sudah tiba masanya...

Kassim Ahmad

Baru-baru ini aku membaca autobiografi beliau - "Mencari Jalan Pulang, Daripada Sosialisme Kepada Islam". Beliau seorang ahli falsafah dan pemikir sebenarnya. Bukan ahli politik (walaupun dia 'claim' diri dia sangat minat dengan politik). Buku "Hadis - Satu Penilaian Semula" telah menggemparkan seluruh umat Islam yang berbangsa Melayu di Malaysia ni. Mereka menghukum beliau sebagai anti-hadis (ini geng Anwar Ibrahim, ABIM yang menghukum).

Aku menyokong Kassim Ahmad secara terus-terang mengenai pandangan beliau terhadap hadis yang perlu dinilai semula. Pandangan beliau mengenai Islam yang bagaimana harus dipakai oleh umat Islam hari ini, yang sejajar dengan kemodenan dan perkembangan sains dan teknologi. Beliau telah membuang segala falsafah-falsafah Karl Marx dan Lenin yang dipegangnya bertahun-tahun kerana menemui Islam yang terdapat di dalam Quran itu lebih hebat dari Marx dan Lenin itu. Mengenai hadis, memang terdapat hadis palsu yang dicipta demi kepentingan politik sesebuah negara. Ini berlaku sudah sekian lama dan umat Islam sehingga ke hari ini, telah diajar supaya taat pada ulamak dan hadis ialah kata-kata Muhammad junjungan umat Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Tetapi, bagaimana dengan hadis yang bercanggah keterangannya dengan Quran? Ini yang cuba disingkap oleh Kassim Ahmad.

Aku sangat bersetuju dengan Kassim Ahmad ini mengenai Islam yang kita terima hari ini ialah Islam keturunan. Yang turun temurun dari nenek moyang. Kita didendangkan dengan bacaan Quran, marhabban, berzanji tetapi kita tidak pernah disuruh untuk mengkaji Quran itu sendiri. Kita akan dimarahi jika salah baca taranum dari dimarahi jika kita tidak membaca tafsir Quran. Di sini, mungkin ini genetik Melayu yang merupakan 'orang laut', orang yang tidak berminat untuk membaca tulisan, tetapi lebih berminat membaca alam. Orang-orang Euthopia bangsa Melayu ni yang hidupnya penuh dengan lagu. Hidupnya tak mahu kompleks. Hanya mudah. Makan, cari makan, berhibur dan tidur.

Tapi, yang aku tidak setuju dengan Kassim Ahmad ini ialah, kemasukan beliau terhadap UMNO. Di sini, beliau masih memperkatakan tentang perjuangan nasionalis - kebangsaan. Beliau masih berpegang pada Melayu. Bagi aku, Quran tidak menyuruh kita berpuak-puak. Semua manusia adalah sama. Tidak ada Melayu atau Cina atau India. Dan di sini, sebagai manusia yang dikatakan kenal benar dengan Quran itu telah lupa bahawa dasar perjuangan UMNO ialah kebangsaan. Sepatutnya ini tidak berlaku. Sebagai manusia yang faham Quran, ada lebih penting dari perjuangan bangsa - KEMANUSIAAN. Dan seperti yang aku tulis sebelum ini, UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan kemanusiaan, sebaliknya mempertahankan hartanah milik peribadi dan membela korporatikus!

Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Aku tak mahu bercerita tentang sejarah PAS. Ini internet. Saudara semua boleh cari sejarahnya hanya menaip PAS dan klik 'search' di Google. Apa yang aku nak tulis di sini mengenai PAS ialah tatasusila ahli PAS dan pembawaannya oleh ulamak jumud.
18:17 And the LORD said unto me, They have well spoken that which they have spoken.
18:18 I will raise them up a Prophet from among their brethren, like unto thee, and will put my words in his mouth; and he shall speak unto them all that I shall command him. Defenders Notes >>
18:19 And it shall come to pass, that whosoever will not hearken unto my words which he shall speak in my name, I will require it of him.
(BIBLE, Deuteronomy)

16:12 I have yet many things to say unto you, but ye cannot bear them now.
16:13 Howbeit when he, the Spirit of truth, is come, he will guide you into all truth: for he shall not speak of himself; but whatsoever he shall hear, that shall he speak: and he will shew you things to come. Defenders Notes >> Defenders Notes >> Defenders Notes >>
16:14 He shall glorify me: for he shall receive of mine, and shall shew it unto you.

(BIBLE, John)


Sengaja aku letakkan petikan dari Bible ini untuk memberitahu ahli-ahli PAS bahawa di dalam kitab 'Bible' milik Kristian dan Yahudi ini mengakui bahawa kemunculan Muhammad sebagai pembawa kebenaran. Cuma ditakdirkan Allah Ta'ala mereka sesat. Tidak menemui Quran sebagai pembawa kebenaran. 'Holy Spirit' atau Ruhul Kudus yang dimaksudkan di dalam perjanjian baru itulah sebenarnya Muhammad. Umat Islam yang berpegang pada Quran, seharusnya menjadi manusia contoh seperti yang digambarkan pada Muhammad itu sendiri dan dipanggil oleh pengikutnya sebagai 'sunnah rasulullah'.

Tidak ada di dalam Quran ayatnya ditujukan kepada sesuatu bangsa, akan tetapi ditujukan kepada seluruh umat manusia. Muhammad dijadikan sebagai contoh manusia yang sempurna. Bukan contoh bangsa Arab yang baik. Akan tetapi, umat Melayu di sini, tidak mengikut contoh akhlak Muhammad. Apa yang mereka ikut ialah pakaian. Agaknya memang sudah menjadi adat fesyen orang Melayu yang suka mengikut fesyen pakaian dari dunia luar (bab ini bagus dan Melayu harus dipuji kerana mempunyai pemikiran terbuka terhadap fesyen, tetapi tidak pada Islam).

Aku sangat berbesar hati mendesak bahawa PAS menukar dasar perjuangannya yang selama ini mereka membawa dasar-dasar Islam. Itu bagus tapi dasar yang mereka bawa ialah ISLAM TERTUTUP dan menakutkan bangsa lain sehingga bangsa lain memandang Islam sebagai sebuah agama yang tidak maju. Baru-baru ini, PAS melancarkan Kelab Penyokong PAS yang terdiri dari kalangan bukan Islam/Melayu, tidak menjadi ahli tetapi menjadi penyokong. Nampaknya PAS sudah lebih terbuka terhadap bukan Islam.

Apa yang perlu berubah dalam PAS? Selain dasar-dasarnya diperkemaskan dan tidak secara terus mengatakan dasar Islamnya, seharusnya mereka memperjuangkan KEMANUSIAAN dan setiap ahlinya mesti ditekankan tentang dasar kemanusiaan ini. Tidakkah mereka (ahli PAS) sedar bahawa mereka menyokong PAS samalah dengan penerimaan mereka sebagai manusia Islam secara total. Mereka menerima PAS semata-mata parti itu ialah parti Islam. Untuk menampakkan mereka ini Islam, mereka menyokong PAS. Mana yang sedikit liberal, menyokong UMNO. Apa yang menyedihkan, ahli PAS (yang di kampung), rata-ratanya bersifat 'defensive'. Tidak boleh berteguran dengan orang UMNO. Memulaukan masjid yang dikuasai oleh orang UMNO. Tidak menolong jika ada orang UMNO yang buat kenduri. Akan meletak perasaan benci jika hendak meminta tandatangan Ketua Kampung yang merupakan ahli UMNO. Jika ini berlaku, mereka masih belum Islam! Islam ialah manusia dan kemanusiaan. Sebagai manusia, panduan yang perlu ada ialah Quran.

Di sini tanggungjawab ulamak yang memimpin PAS. Bukanlah sekadar menyampaikan ayat-ayat Quran dan Hadis semata. Tetapi, tugas ulamak ialah berusaha sebaik mungkin dalam pembentukan akhlak-akhlak pengikutnya yang semberono memilih PAS. Jangan diajar tentang kebencian. Sebaliknya, didiklah mereka dengan mencintai ilmu yang bukan semata-mata Quran dan Hadis. Tetapi, didiklah mereka dengan ilmu lain yang lebih penting untuk kehidupan di dunia fana ini. Juga ajarlah mereka tauhid dan makrifat yang tiada lain hanya Allah Ta'ala. Juga ajarlah mereka menghormati manusia lain dan alam agar mereka tidak lagi menjadi Melayu Islam tetapi menjadi manusia.


Jalil Hariry merupakan seorang aktivis teater dan seorang. Selain itu beliau juga menulis skrip. Beliau kadang-kadang ada di blognya Riang-riang.

1 ulasan:

Suhaimi Said berkata...

Saya kenal betul dengan peribadi Kassim Ahmad ni. Susah nak cari Orang Politik sejujur Kassim ni.

Semasa saya bekerja di Kuala Lumpur saya sentiasa bertemu dengan Kassim di Pejabat PSRM di Bungsar (pada waktu itu).

Orangnya kecil saja, pakaiannya bersih, dan dia juga anggap orang lain itu semuanya ikhlas. Dan dia sanggup berbincang dengan sesiapa saja walaupun orang yang berbincang dengannya itu bukanlah pemimpin, atau orang ilmuan atau intelektual.

Apabila sajaknya "Tuhan Itu Sudah Mati" diperdebatkan didada-dada akhbar, Kassim telah dipukul dengan teruk didalam penulisan orang-orang yang tidak mahu memahami sajak.

Tidak sekali-kali maksud sajak Kassim itu mengatakan Tuhan sudah mati. Yang dibicarakan oleh Kassim adalah tingkah laku manusia yang melakukan kerakusan didunia ini seolah tidak diketahui Tuhan, mereka (yang rakus) itu menganggap Tuhan sudah mati.

Saya tetap mempertahankan Kassim diatas sajaknya itu. Tetapi musuh-musuh politiknya pada waktu itu khususnya pemimpn-pemimpin UMNO sengaja mahu memburuk-burukkan Kassim dan mengambil jalan paling ringkas kononya Kassim menganggap Tuhan sudah mati. Itu adalah kata-kata dari pemimpin-pemimpin UMNO bertujuan untuk membunuh politik Kassim.

Kassim mempunyai cita-cita besar dalam politik untuk perjuangan rakyat. Tapi beliau difitnahkan oleh pelbagai kumpulan kiri.

Semasa dia memimpin PSRM, Kassim dituduh sebagai agen Amerika, kononya Kassim terlibat dengan penggulingan Sukarno. Kononnya semasa Kassim menjadi pensyarah di London School Of Oriental Sudies, Universiti London, beliau terlibat mengaturkan penggulingan Sukarno dibawah rancangan CIA.

Semasa Kassim merengkok dalam tahanan ISA selama lebih 6 tahun, ada pula kumpulan yang memfitnah Kassim bahawa dia adalah agen SB.

Dia berjuang dengan tekun untuk rakyat, dia masuk penjara kerana perjuangan itu, tapi dituduh SB.

Sebab itu apabila Kassim meninggalkan PSRM, saya tidak langsung rasa terkilan. Beliau ditikam oleh rakan-rakannya didalam parti.

Saya dapat rasakan kejujuran Kassim. Pada waktu ia tersohor sebagai seorang intelektuil, dia memilih sekadar menjadi seorang penulis bebas dengan pendapatan yang sangat terbatas. Ramai kawan-kawannya yang menolongnya dari segi kewangan kerana Kassim juga mempunyai tanggungan keluarga.

Saya pernah lihat bajunya, walaupun putih dan bersih, tetapi sudah ditampal.

Saya kumpulkan beberapa helai baju untuknya, tetapi diminggu-minggu lain saya ketemu dengannya, dia masih memakai baju yang sudah bertampal.

Apa kata dia. "Baju-baju yang saudara berikan itu, saya beri kepada mereka yang lebih memerlukan".

Katalah apa kepada Kassim. Saya masih ada ingatan yang baik terhadapnya.

Dia masuk UMNO, itu pilihan dia. Tapi adakah dia bersam-sama dengan pimpinan UMNO menindas rakyat? Rasanya tidak.

Orang macam Kassim mana boleh survive dalam UMNO, bukan saja dia anti rasuah, dia tidak akan libatkan diri dengan rasuah, dan dia tidak akan naik didalam UMNO kerana dia takkan terlibat dengan rasuah politik.

Kalaulah semua pemimpn-pemimpin politik mempunyai jiwa seperti Kassim, khususnya pemimpin-pemimpn UMNO, Malaysia ini sudah menjadi Negara maju bertemaddun tinggi.

Namun kerana Kassim sudah menyertai UMNO dan perjuangannya tidak lagi menampakkan perjuangan untuk rakyat, maka saya hanya tinggalkan ingatan baik untuk Kassim dan dari segi politik tidaklah lagi saya bersama-samanya.

Saya berpuashati kerana ajaran politik dari Sdr Kassim dan lebih khusus dari Sdr Dr Syed Husin Ali, saya kini sudah menemui parti dan dasar politik yang saya tidak saya tidak lagi mepunyai apa-apa dilema dari segi pegangan dan perjuangan.

Saya amat besetuju dengan PKR dasarnya dan perjuangan yang diketengahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun mungkin perjuangan itu ditentang oleh Kassim Ahmad.