24 Jun 2008

Jutawan segera buat pemenang emas Olimpik

Oleh: Malaysiakini

Atlit negara yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini dan di temasya serupa di masa akan datang, akan menerima insentif RM1 juta berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Atlit negara yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini dan di temasya serupa di masa akan datang, akan menerima insentif RM1 juta berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun hadiah itu dianggap besar, tetapi ianya wajar memandangkan standard Sukan Olimpik semakin meningkat.

"Untuk memenangi pingat emas ini juga bukanlah satu perkara yang mudah kerana pertandingan di Olimpik semakin sukar. Daripada satu Olimpik kepada Olimpik yang satu lagi, kita lihat standard semakin meningkat.

"Oleh itu kita haruslah meletakkan sasaran yang lebih besar, lebih menarik lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di ibunegara.

Menurut laporan Bernama, Najib berkata negara-negara jiran juga seperti Singapura menawarkan insentif S$1 juta untuk atlit mereka yang meraih emas di temasya Olimpik.

Beliau berkata ganjaran RM1 juta adalah wajar dan berpatutan memandangkan temasya Sukan Olimpik itu "begitu gah" dan diadakan empat tahun sekali.

Najib berkata mesyuarat juga bersetuju untuk memberikan RM300,000 kepada pemenang pingat perak, dan RM100,000 untuk gangsa.

Bagi pasukan yang memenangi emas pula, kadar minimum yang ditentukan ialah RM150,000 untuk setiap pemain.

Pencen dinaikkan

Selain itu pencen bulanan yang diterima oleh pemenang pingat di Sukan Olimpik juga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi pemenang pingat emas, RM3,000 bagi pingat perak (sebelum ini RM1,500) dan RM2,000 bagi gangsa (sebelum ini RM1,000).

Ia berkuatkuasa mulai bulan depan.

Buat masa ini hanya lima atlit negara yang pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik iaitu pasangan beregu lelaki badminton negara Razif dan Jailani Sidek (pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona pada 1992), pasangan regu lelaki Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996) dan pemain perseorangan Rashid Sidek (gangsa juga di Olimpik Atlanta).

Najib berkata jawatankuasa itu juga bersetuju untuk memberikan insentif wang tunai kepada atlit paralimpik negara iaitu RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa).

Katanya jawatankuasa itu mahu supaya skuad elit negara diberi penekanan dengan latihan yang dapat melahirkan kekuatan mental pada setiap peringkat latihan mereka.

"Kita dapati ini salah satu faktor yang membezakan antara pasukan dan individu yang menang dan yang berjaya. Kita melihat memang atlit kita dalam beberapa jenis seukan sudah mencecah tahap dunia tetapi perbezaan antara kemenangan dan sebaliknya adalah kekuatan mental.

"Kekuatan mental kita ini tidak seperti mana yang boleh menjamin kejayaan dalam keadaan kita menghadapi saingan yang begitu sengit sekali," katanya.

Mengenai penubuhan pusat latihan sukan berprestasi tinggi yang sebelum ini dicadangkan di London tetapi terpaksa dibatal, Najib berkata penubuhan pusat dengan konsep serupa tetap dilaksana.

"Tidak semestinya di United Kingdom tetapi akan dibuat di mana-mana negara. Kita ada fleksibiliti dan kita akan cari tempat itu yang disokong dengan kepakaran sains sukan untuk menentukan atlit kita bukan saja dapat mengambil bahagian pada peringkat yang tertinggi tetapi juga dapat faedah daripada penggunaan sains sukan," katanya.

Tiada ulasan: