Oleh Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)
"Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu."
Komposer terkenal Roslan Aziz memohon maaf kepada ahli PAS kerana kenyataannya yang dianggap menghina parti itu berhubung tindakan Dewan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu, sempena 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu.
"Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu," kata Roslan dalam blognya Roslan Aziz Production (http://roslanaziz.blogspot.com) semalam.
Kelmarin, Roslan menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.
"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Pemuda PAS Selangor untuk mengadakan perhimpunan untuk membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.
Dalam permohonan maafnya itu, Roslan mengaku tidak berfikir panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebaliknya menggunakan emosi dan "perasaan kecewa yang telah lama terpendam".
"Sebagai seorang Islam dan bapa kepada anak-anak, saya tidak sepatutnya menjawab begitu yang menyebabkan ada pihak yang berasa terhina," kata beliau yang juga bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak sama sekali berniat untuk menghina atau menimbulkan permusuhan.
Tidak niat menghina
"Saya tidak sama sekali berniat untuk menghina, jauh sekali untuk bermusuh sesama saudara (seagama)," katanya.
Permohonan maaf itu dipercayai dibuat berikutan banyak kritikan dibuat terhadap kenyataannya dalam blog-blog dan forum maya di internet.
Konsert itu, yang dilapor diadakan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, akan diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri itu.
Menurut Harakahdaily.net, ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mokhyi, yang menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Nik Nazmi semalam, berharap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "bertindak segera agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi (dalam Pakatan Rakyat) khususnya PAS."
"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella. Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," katanya seperti dilaporkan.
Selain mendakwa konsert anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd itu sebagai "pembaziran dan gaya hidup mewah", Sallehen berkata ia "mengundang imej tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari" menguasai Selangor.
Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor telah menyatakan persetujuan baginda untuk bertemu Dewan Pemuda PAS negeri itu bagi membincangkan bantahan dewan tersebut.
Pertemuan itu, menurut Khalid, akan diadakan sebelum akhir bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan