02 Julai 2008

Suara Rakyat: Antara seruan bertaubat untuk Anwar atau konspirasi untuk calar imej Anwar

kemas kiniLaporan polis oleh Saiful Bukhari lewat pada petang Sabtu lepas betul-betul mengegarkan massa. Ibarat dijentik oleh gergasi setinggi makluk hijau yang ganas, hulk, laporan polis itu mengakibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terpelanting jauh mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki.

Jelas, saya kurang arif bagaimana laporan polis itu punya koneksi dengan ancaman bunuh yang dikatakan oleh Syed Hussin dan saya juga kurang arif kenapa DSAI perlu mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki. Saya percaya, melalui satu sidang akhbar yang direncanakan akan dibuat pada malam ini (30/06/2008) oleh DSAI sendiri, semua persoalan saya itu akan dirungkaikan.

Atau boleh saja seorang penganalisis yang memiliki bidikan tepat terhadap sesuatu peristiwa politik yang berlaku, memberitahu saya tentang rasionalnya tindakan-tindakan yang dilakukan DSAI itu.

Mungkin juga sebenarnya tiada ada tuduhan seperti yang terdapat dalam laporan polis itu, yang di'kejar' sebenarnya adalah nyawa DSAI sendiri.

Namun mereka yang ditanya punya pandangan atau pendapat yang berbeza-beza tetapi tersendiri:






Azzdin, Anwar patut bertaubat dengan perbuatan beliu dan yang paling penting pulanglah ke pangkal jalan. Saya rasa DSAI memang melakukan perbuatan terkutuk ini kerana tidak akan munkin akan ada lagi fitnah kali kedua. Budak yang membuat laporan polis ini adalah budak baru dan tidak timbul (konspirasi) pada zaman 1998. DSAI perlu kembali bertaubat.

Mat Saman Kati, Susah nak percaya. Terutama bila melihat rentetan peristiwa yang berlaku. Catur politik yang sedang dimainkan oleh pemain-pemain politik sejak dua minggu yang lalu sudah hampir ke kemuncak. Aku ada tulis tentang perkara ini disini. Dan aku lebih mempercayaai bahawa tuduhan ini adalah satu lagi percaturan dalam merebut siapa yang berkuasa.

Aku tak mahu komen tentang Saiful Bukhari sebab aku tak tau hujung pangkal. Macam mana kalau dia dianiaya seperti Sukma dan Munawar Anes? Mungkin lebih teruk lagi. Kalau dulu, pendakwa gagal menunjukkan bukti bahawa Sukma diliwat, mungkin kali ini mereka akan menunjukkan bukti. Bayangkan apakah yang dialami oleh Saiful? kalau dia merelakan dirinya diperalat, memang patut di rejam. Tapi bagaimana kalau dia dianiaya?

Tindakan terbaik? Tak kan nak bagi tau kot? Kalau aku jadi Anwar, mati hidup balik aku tak bagi tau kat hang. Tapi pasai aku bukan Anwar, dan kalau aku jadi Anwar, aku akan retreat sekejap. Bagi Pak Lah dan Najib lawan sesama depa. Satu tersungkur, baru senang lawan satu lagi.

Amin Iskandar aka Black, Pada pandangan saya, taktik yang digunakan untuk menjatuhkan maruah Anwar Ibrahim ini adalah satu taktik yang lapuk dan menunjukkan para pelakunya tidak mempunyai idea dan modal yang lebih baik.
Dalam kes ini, jelas menunjukkan regim Abdullah-Najib berusaha keras untuk membunuh karier politik Anwar Ibrahim yang sekarang ini sedang diambang untuk mengambil alih Putrajaya.

Pada pandangan saya, Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya harus mengambil satu tindakan yang bijak dan radikal. Ertinya, perhimpunan Sejuta Rakyat TURUN yang akan dianjurkan pada 6 Julai 2008 di Padang Timur, Petaling Jaya harus diteruskan dan mobilisasi besar-besaran harus dilakukan.

Perlu kita ingat, sekuat mana pun sesuatu regim itu, ia tidak akan dapat mengalahkan api kebangkitan rakyat. Anwar harus yakin kepada "People Power" dan bersedia untuk menggunakannya.

Seorang penulis kreatif dan wartawan, Pada pandangan aku, teori konsprirasi ini belum dapat dibuktikan, seperti juga tuduhan terhadap Anwar itu.

Kita sebagai orang luar belum dapat membuat pendirian awal terhadap perkara ini kerana dakwaan-dakwaan itu belum dibuktikan. Sekarang, hanya Allah dan Anwar yang tahu perkara sebenar.

Tetapi yang pastinya, Pakatan tidak percaya kepada pemimpin pusat, polis dan badan kehakiman. Itulah realitinya.

Matkeri, Tindakan mencalar imej anwar dgn tuduhan xmasuk akal tidak lain dr sekadar usaha mengalih isu menggunakan peluru2 terakhir.

Karekter dan latarbelakang saiful sendiri telah diragui oleh khalayak umum, dan laporan yang tidak menyebutkan masa juga telah menunjukkan bahawa terdapat percaturan dalam tuduhan tersebut. Masakan tarikh dan tempat diingat tepat, tapi masa boleh terlupa?

AG dan IGP juga sangat diragui. Tangan mereka yg berusaha mengusung tilam dan kuasa mereka memejamkan mata terhadap lebam mata dsai semasa ditahan membuktikan bahawa kita tidak boleh ditipu sekali lagi! Jangan lupa masa dan tempat yang selalu berubah2 ;)

Adakah ini dilihat sebagai C4 bagi karier dsai dalam meletupkan karekternya sekali lagi setelah gagal meletup dek kerana sumbu basah pada tahun 98? Mungkin. Tapi bagi aku, ia tak lebih dari meniup balak supaya tumbang.

Syed Imran Syed Ahmad, Setiap laporan yang dibuat di mana-mana balai polis perlu atau mesti disiasat sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau Kanun Acara Jenayah. Sesuatu laporan itu tidak semestinya betul atau benar dan pihak polis bertanggungjawab untuk mempastikannya termasuk mendapatkan kerjasama pihak lain seperti Hospital atau Jabatan Kimia.

Dalam hubungan yang sedang diperkatakan, laporan yang dibuat yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat si pengadu, perlu disiasat secara teliti dan terperinci kerana ia adalah satu tuduhan yang serius dan mempunyai implikasi politik yang juga serius selain membabitkan kewibawaan sistem kepolisian dan kehakiman negara.

Rakyat menaruh harapan agar pihak polis menjalankan tugas dan amanah dengan jujur, adil dan saksama tanpa tekanan daripada mana-mana pihak termasuk yang berkaitan pemerintah. Polis perlu membuktikan kepada rakyat dan juga kepada dunia bahawa mereka adalah satu pasukan yang cekap dan berwibawa dan tidak dipengaruhi politik.

Anwar telah mengambil tindakan betul dengan menggunakan saluran undang-undang untuk membuktikan bahawa dia berada di pihak yang benar. Sistem kehakiman negara sebenarnya sedang menghadapi satu ujian ketelusan dan kesaksamaan setelah melalui hampir tiga dekad kegelapan dan kesangsian serta kebolehpercayaan.

Saya agak khuatir tentang peranan Peguam Negara yang ada sekrang memandangkan kewibawaannya sedang dicabar berkaitan kes Anwar yang kini merupakan satu sejarah hitam dalam politik dan pentadbiran negara. Apakah Peguam Negara boleh bersikap adil, itulah persolannya.

Pegawai Kerajaan, Tuduhan ini sedikit gila dan 'messy'. Kalau ini benar satu konspirasi tahap tertinggi, maka konspirasi kali ini lemah. Semua yang berlaku lebih kepada ulangan dan dalam jangkaan. Kita barangkali boleh meneka proses-proses yang terlibat.


Jika ini usaha terakhir pemerintah untuk melenyapkan pengaruh DSAI, maka kita harus
menjangka pengakhiran yang cukup tragis. Jika DSAI menang dalam pertuduhan ini,
DSAI terus relevan, maka pemerintah yang akan terkubur, dan begitulah sebaliknya.
sementara kita tunggu benda apa pula yang bakal diusung keluar-masuk Mahkamah,
ada baiknya kita bertanya kemana perginya tilam Tivolli Villa dulu.

Tindakan Terbaik DSAi. Aku lebih suka jika DSAI terus lawan. DSAI 2008 lebih stabil dan kuat berbanding DSAI 98. Rakyat 2008 lebih yakin berbanding rakyat 1998. Jika orang lain melihat ini merupakan satu ancaman, aku lebih suka melihat ini satu peluang keemasan. Inilah satu-satunya peluang DSAI untuk meraih sokongan politik rakyat terbanyak, seterusnya menghakis kredibiliti pemerintah. Tidak salah untuk rakyat meraikan seorang wira.

Tiada ulasan: