03 Julai 2008

Nostalgia: Mengenal dunia

Oleh Mat Saman Kati


Permulaan hari ini, kami akan memperkenalkan kepada sdr seorang kolumnis yang senantiasa melahirkan idea-idea kreatif melalui tulisannya dan senantiasa juga mengetengahkan isu-isu kontroversi di blognya. Dia akan mengendalikan kolum Nostalgia yang menurutnya akan membawa kisah-kisah lama dan dibuat perbandingan dengan kisah-kisah baru. Sdr boleh mengikuti tulisannya yang lain di blognya yang berjuul Mat Saman Kati.





Bapak aku

Bapak aku lahir diKati, Kuala Kangsar. Tahun berapa, wallahuallam, tapi lewat dua puluhan. Masa tu bukan ada surat beranak. Bukan ada doktor, yang ada cuma bidan kampong. Usahkan surat beranak, surat nikah Tok dan Opah aku pun tak ada.

Tapi itu lewat duapuluhan, dalam kampong ulu macam Kati. Masa tu, halal dan haram bukan bergantung kepada sijil dan pengesahan, tapi berdasarkan moral dan kewarasan. Kalau sekarang, dah tentu bapak aku jadi macam Parti Umno. Anak haram.

Masa Perang Jepun, anak muda yang tidak berkahwin dikerah untuk bekerja di Landasan Keretapi Maut, dan untuk mengelak daripada ditangkap dan dihantar ke sana, bapak aku dikahwinkan dengan seorang perempuan kampong tu. Tapi perempuan ni tak cukup seringgit. Sebaik Perang Jepun tamat, bapak aku masuk SC , meninggalkan kampong dan isterinya dan merantau keBatu Pahat, Johor.

Apa yang berlaku diJohor, aku tak pernah tau, sehinggalah dia berpindah ke Sungai Manik, sekitar 1950-51. DiSungai Manik, dia berkahwin lagi, tapi terpaksa lari sebab ada kes. Isterinya main kayu tiga dengan seorang polis Labu Kubong, dan polis tu mati kena parang panjang. Dia cabut ke Malim Nawar dan menikah pulak dengan orang Tualang Sekah. Perkahwinan pertama dan kedua tak ada anak, tapi yang ketiga ni, dapat la sorang anak perempuan. Tapi perkahwinan ni pun tak lama. Tak sampai dua tahun, bercerai lagi.

Bapak aku balik ke Sungai Manik, Opah aku pulak bercerai dan mereka duduk dua beranak bersama bapa saudara aku disana. Dalam diam-diam, dia kenal seorang bomoh dari Batu Gajah. Bomoh ni rekomenkan adik ipar dia kat bapak aku. Yang tu la jadi mak aku.

Emak aku

Sebelah bapak, aku panggil Tok untuk lelaki dan Opah untuk perempuan. Tapi sebelah mak, Tok Wan untuk lelaki dan Tok untuk perempuan. Ini adat orang utara.

Tok Wan aku berasal dari sebelah Semanggol. Cakap macam cakap Penang. Bila industri kapal korek berkembang, Tok aku bekerja dengan Malayan Tin Dredging, diTanjung Tualang. Masa tu, jadi chargeman kapal korek cukup loaded. Dia beli tanah kat Batu 7, Jalan Tanjong Tualang. Kat situlah jadi kampong kami, balik setiap kali raya.

Emak aku ada lima beradik. Empat perempuan satu lelaki. Yang perempuan semua dah mati, yang tinggal hanya satu lagi. Masih ada diKuala Lumpur dan kalau cakap semua orang kenal. Bukan kenal dia! Tapi kenal anak dia. Rockers Awie. Jadi, aku dengan Awie sepupu.

Sebelum mak aku kahwin dengan bapak aku, dia pun janda jugak. Perkahwinan pertama tak tahan lama. Pasai apa, yang tu mak aku tak pernah cerita.

Emak dan bapak aku

Lepas kahwin, emak dan bapak aku berpindah keTapah. Ramai lagi kaum keluarga bapak aku diSungai Manik berpindah keTapah, meneroka Tanah Melayu. Masa tu, bukan ada peneroka haram, semuanya halal. Sementara emak dan bapak aku meneroka hutan, bapak Awie meneroka bandar. Dia adalah peneroka pertama Kg. Bumiputra, kat Datok Keramat.

Kakak aku lahir tahun 1956, tiga tahun kemudian, giliran aku pulak. Kampung yang kami diami, bersebelahan dengan kampong Orang Asli, cuma dipisahkan dengan Sungai Batang Padang. Tapi dalam kehidupan seharian, sungai menjadi penghubung dengan dua masyarakat yang berbeda. Dan apabila masing-masing mempunyai keperluan yang sama untuk hidup, ia menjadi pengerat sesama manusia.

Masa tu tak ada Menteri Perpaduan Kaum, tak perlu belanja juta-juta untuk kempen perpaduan. Tak ada sapa cakap pun tentang perpaduan sebab ia datang sendiri melalui persefahaman.

Keluarga aku

Aku ada empat beradik, dan aku jadi tangkal. Anak jantan sorang. Kami tinggal dalam rumah yang dibuat dari hasil hutan. Tiang batang halban, lantai batang pinang, dinding buluh dan atap bertam. Pintu berselak dan tingkap bertongkat. Tak ada bilik, cuma tirai yang dibuat dari perca kain. Kalau dulu, ini lambang orang msikin. Sekarang, cuma Datok-Datok dan Tan Sri-Tan-Sri yang sanggup buat rumah macam ini, untuk relax hujung minggu.

Sebelah pagi, emak dan bapak aku motong getah dan sebelah petang kami tanam padi huma. Tak ada racun, tak ada baja. Burung pipit yang nak makan padi pun kami tak kacau. Tapi kalau masuk jaring, jadi lauk. Seluruh kampong tu adalah bersaudara. Tidak timbul orang dalam atau orang luar. Anak aku, anak kamu. Kalau anak kamu kurang ajar, aku ada hak untuk mengajar. Kalau anak aku kurang ajar, kamu ada hak bagi penampar.

Bukan ada JKKK yang nak jaga keselamatan. Bukan ada elaun nak jaga malam. Tak ada Rela, tak ada Rukun Tetangga. Polis pun tak ada. Pencuri pun tak berani sedangkan rumah tak pernah berkunci.

Aku

Masa dalam perut lagi, aku dah suka buat kacau. Jenuh mak bidan golek perut mak aku sebab nak keluar songsang. Kalau sekarang, dah tentu kena bedah, tapi kepakaran mak-mak bidan dulu, perlu diberikan tabik hormat. Kalau sekarang, dah tentu mak-mak bidan ini mendapat gelaran PhD, tapi dulu, mak-mak bidan ini hanya mendapat sehelai kain batik dan sepinggan pulut kuning.

Masa kecil, aku menghidap penyakit mengah. Kalau sekarang dipanggil asthma. Tapi masa tu tak perlu pergi hospital, ubat-ubat ada keliling kampong. Opah aku cuma ambil ulat daun pisang, bakar sampai jadi arang, tumbuk dan campur dalam kopi O. Tapi bukan kopi Che' Nah atau cap nelayan. Kopi pun diambil dari pokok-pokok yang banyak tumbuh liar, dikering dan ditumbuk. Tak ada campuran lain.

Ketika berumur empat –lima tahun, aku dah boleh masuk hutan, cari petai lambok, cari jering lambok. Masa tu tak takut apa… cuma takut hantu. Tapi budak-budak sudah diajar . kalau nak kencing, kat hutan, kena cakap…"tabik datok..cucu nak tumpang kencing". Kalau tercium bau kambing, jangan tegur sebaliknya kena diam. Dan bila masuk hutan, jangan banyak bercakap, dan jangan tebang pokok.

Mungkin budak-budak kampong masa tu dianggap bodoh, tapi kami sudah diajar macam mana nak menghormati alam sekitar. Tak macam orang bandar yang pandai-pandai sekarang. Masuk hutan bawa radio, bawa plastik. Bawa Baygon sebab takut pacat. Lepas pakai, buang. Balik kerumah, tunjuk gambar dalam suratkhabar, merekalah pencinta alam.

1 ulasan:

Pendidikan berkata...

Salam,
Memang benar ulasan saya mengenai MSK tempohari:

Jam 12.57 Mat Saman Kati sampai depan MCKK. Setelah berkenalan (masing-masing memperkenalkan nama sebenar) kami (termasuk isteri) beredar ke tempat minum. Sampai di sana jam 1.03. Sedang kami berbual isteri Mat Saman Kati turut serta. Kami berbincang dan bertukar fikiran hingga jam 2.57 sebelum bersurai.

Gambar: Berbaju putih ialah MSK. Orangnya peramah dan ceria. Fikirannya tidak mampu menyembunyikan keluasan pengalamannya dalam perjuangan. Janggutnya mengingatkan saya beberapa ceramah al-marhum TG Hj. Mat Saman Kati mengenai sunnah menyimpan janggut. Banyak lagi yang saya dapati pada dan daripada beliau.

http://abdulwahabarbain.blogspot.com/2008/06/bertemu-penulis-blog-terkenal.html

Salam.