18 Julai 2008
Nostalgia: Mengenal alam
Sementara orang-orang tua menegakkan bangsal, budak-budak pergi menuba. Pokok-pokok tuba yang banyak kedapatan didalam hutan, merupakan keperluan utama untuk menangkap ikan. Buah dan akar dikutip, ditumbuk dan direndam didalam baldi. Kemudian dituangkan dihulu sungai. Dalam masa sepuluh lima belas minit, ikan-ikan mula meloncat-loncat kepeningan.
Bila tiba masanya, awal-awal lagi penduduk kampong sudah berkumpul dirumah Tok Sidang. Ada yang bawa parang, beliong dan sabit. Ada yang bawa periuk, beras dan ikan masin. Tok Halaq memimpin rombongan kedarat untuk memulakan upacara menebas dan menebang. Dalam istilah kampong, terdapat empat mata angin. Hulu, hilir, darat dan baroh dimana sungai dijadikan tempat rujukan. Kawasan yang jauh dari sungai dipanggil darat, berhampiran dengan sungai dipanggil baroh. Beberapa perkataan lagi digunakan untuk menunjukkan tempat seperti tanjong, kuala, tebing, dan pengkalan. Semuanya berkaitan dengan sungai. Sungai adalah kehidupan.
Sampai di darat, Tok Halaq memulakan pagi dengan jampi mentera, meminta kebenaran sang penunggu dan tuan punya hutan untuk membenarkan anak cucu bercucuk tanam. Selepas itu, baru lah penebasan dilakukan. Yang tua menebang pokok, yang muda menebas. Batang-batang halban dikumpul untuk dijadikan tiang, batang mengkirai dijadikan alang dan kasau. Sementara orang-orang perempuan pula mengumpul bertam untuk dijadikan atap.
Bila matahari sudah mula mendongak, penduduk pun menegakkan bangsal untuk dijadikan tempat berteduh. Yang tua menegakkan tiang, yang muda memasang alang dan kasau sementara orang perempuan menganyam atap daun bertam.
Sementara orang-orang tua menegakkan bangsal, budak-budak pergi menuba. Pokok-pokok tuba yang banyak kedapatan didalam hutan, merupakan keperluan utama untuk menangkap ikan. Buah dan akar dikutip, ditumbuk dan direndam didalam baldi. Kemudian dituangkan dihulu sungai. Dalam masa sepuluh lima belas minit, ikan-ikan mula meloncat-loncat kepeningan. Cuma perlu bawa tangguk dan tangkap.
Begitulah kehidupan selama hampir seminggu, sementara kawasan ditebang dan ditebas. Dan waktu rehat selama tiga atau empat hari digunakan untuk menoreh getah yang sudah seminggu tidak ditoreh.
Cuaca yang panas selama 3-4 hari sudah cukup untuk mengeringkan daun-daun pokok yang telah ditebas dan diwaktu petang, selepas budak-budak balik dari sekolah dan ibu bapa sudah berehat selepas menoreh diwaktu pagi, proses memerun atau membakar merupakan aktiviti yang cukup seronok. Budak-budak pantang dapat api dan kerja memerun memang menyeronokkan.
Tetapi, bukan semua terbakar! Masih banyak batang-batang kayu yang belum kering. Batang-batang kayu ini dibiarkan dimana dia tumbang, tidak perlu dikumpul macam pertanian moden, kerana apabila hujan nanti, batang-batang kayu inilah yang menghalang hakisan.
Setelah abu dan arang menjadi sejuk, tiba masa untuk menukal. Batang-batang kayu sebesar batang cangkul ditajamkan dihujung untuk membuat lubang. Setiap orang lelaki mesti mempunyai satu batang tukal untuk digunakan ketika menukal nanti.
Sekali lagi, orang kampong berpesta menukal ladang. Selepas makan pagi, masing-masing bersedia, orang lelaki berjalan seiring dalam satu barisan dan dibelakang setiap lelaki, ada seorang perempuan. Yang lelaki membuat lubang, yang perempuan mengisi lubang dengan benih padi. Dan lubang itu ditutup dengan ibu jari. Menjelang zohor, ladang yang luas dapat diselesaikan, tanpa jentera, tanpa subsidi.
Keesokannya, giliran orang perempuan pula membuat kerja. Disebelah petang, ibu-ibu membawa benih-benih bayam dan maman untuk ditabur dipermukaan bumi. Selepas itu, masing-masing berehat menunggu hari hujan.
Hujan pasti datang, bukan kerana jampi Tok Halaq tetapi kerana sudah hukum alam. Matahari tetap akan naik, walaupun tanpa kokok ayam. Ayam hanya memberitahu kita, matahari akan naik. Hujan tetap akan turun, walaupun tanpa bunga gapis, tetapi bunga gapis hanya memberitahu kita, hujan akan turun. Setiap kejadian ada petunjuknya. Terpulang kepada kita untuk mencari petunjuk itu.
Bila tanah mendapat air, benih-benih mula bercambah. Bayam dan maman akan tumbuh menutup bumi, lebih awal dari semalu dan sendayan. Selepas dua minggu, bayam dan maman akan membesar, melindungi anak-anak padi yang baru tumbuh. Tak perlu racun serangga, tak perlu racun herba. Setiap makhluk mempunyai keistimewaan masing-masing, melindungi dan dilindungi.
Bila anak-anak padi sudah melepasi buku lali, bayam sudah sedia untuk dijadikan sayur, maman pula sudah boleh dijadikan jeruk. Dan suburlah padi, tanpa gangguan dari serangga sehinggalah mula membunting.
Bila padi mula membunting, bapa-bapa mula menegakkan pondok untuk menghalau burung dari memakan padi. Sana-sini, kami menyiapkan orang-orang dan tin-tin kosong yang diregang melewati ladang. Siapa kata kehidupan dikampung sunyi? Ia sebenarnya riuh rendah dengan bunyi-bunyi pipit dan serindit, riuh dengan tin-tin kosong, dan riuh dengan jeritan ibu-ibu dan anak-anak menghalau burung.
Bagi budak-budak, menggetah burung adalah satu aktiviti yang cukup seronok. Ambil susu getah, masak dan campurkan dengan minyak enjin yang dibuang. Bila pekat, lekatkan kepada batang buluh atau bertam, sedia untuk menagkap burung-burung pipit dan terahan. Berapa yang lekat, itulah lauk untuk hari tersebut. Sembelih, buang getah dan bulu, tabor garam dan kunyit, goreng. Bila budak-budak yang belum sunat menyembelih burung, ada yang terputus, peduli apa! Tak ada siapa yang mempertikai sembelihan itu sah atau tidak, tak ada siapa yang mempertikai lauk itu halal atau tidak. Semuanya rezeki dari Tuhan.
Musim menuai hanya seronok bagi orang tua. Budak-budak macam aku memang malas sebab kerjanya berat. Yang seronok ialah bila masa untuk menumbuk, untuk mengasingkan kulit dari beras. Ada yang pakai lesung tangan dan ada yang pakai lesung kaki. Paling seronok ialah menggunakan lesung kaki, macam main jongkang jongkit.
Selepas menumbuk, tibalah proses terakhir, iaitu mengangin. Sorang tukang pusing kipas, sorang tukang menampi.
Habis kerja semusim. Bagi budak-budak kampong masa itu, semusim padi sama dengan satu semester pelajar IPT masa kini. Tidak ada guru, tapi kami belajar dari alam. Pelajaran bukan dari buku atau papan hitam, tapi dari tanah, air, api dan angin. Tiada matapelajaran geografi, sains atau matematik, tapi mengenal alam, mengenal tumbuhan dan mengenal kehidupan.
Masa berladang sudah tamat.Tanah perlu dipulihkan sementara musim menanam yang akan datang. Manakala dusun buah-buahan perlu diterangkan, kerana durian akan gugur tak lama lagi.
Nota: Seorang penulis yang senantiasa melahirkan idea-idea kreatif melalui tulisannya dan senantiasa juga mengetengahkan isu-isu kontroversi di blognya. Sdr boleh mengikuti tulisannya yang lain di blognya yang berjudul Mat Saman Kati.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
6 ulasan:
Salam saudara mat saman
Saya membaca tulisan saudara tentang mengenak alam dengan rasa penuh sayu, sedih dan rindu. Terbayang kepada masa lalu dan suasana di kampung halaman. Teringatkan kepada allahyarham datuk, nenek, ibu bapa dan kawan-kawan dikampung. Teringatkan kepada sawah bendang, pokok mempelam, ikan keli di belakang rumah. Teringat bagaimana seluruh kampung bergotong royong menanam padi dan memotong. Teringatkan mencari buah "Ketior" untuk di buat minyak, makan dengan gulai tempoyak ikan tenggalan.
Saya rindu.
zainal,
aku pulak merasa sayu, bila kampung sekarang tidak lagi macam kampung dulu. Nilai-nilai kampung sudah hilang, walaupun manusia semakin cerdik. Kita lebih banyak bercakap tentang perbezaan daripada persamaan. Kita lebih pentingkan pembangunan fizikal daripada pembangunan rohani.
Dulu kita miskin, tapi tak susah. Sekarang kita kaya, tapi hidup makin susah.
Saudara MSK
saudara berkata ....Nilai-nilai kampung sudah hilang, walaupun manusia semakin cerdik.
Jika saudara merujuk kepada manusia di bumi Malaysia ini, saya rasa mereka ini tidaklah semakin cerdik malah adalah sebaliknya. Cerdiknya sesuatu kaum itu bukan lah di ukur dengan kemunculan ciptaan sains dan teknology atau bangunan pencakar langit. Ia harus dilihat dari segi kesejahteraan hidup kaum itu. Kalau ia tidak sejahtera, bermakna ia tidaklah Islam. Islam itu bermakna Selamat?Sejahtera. Dalam masjid pun tak selamat, kasut pun boleh hilang.
Kalau dulu masyarakatnya bersatu, ada semangat kerjasama. Mereka sebenarnya Kaya. Mereka bukannya miskin. Dibandingkan dengan sekarang ini, masyarakatnya berpecah belah dan tidak bersatu. Bermakna masyarakat ini tidak Tauhid. Hidupnya sentiasa tertindas, walaupun di bumi sendiri oleh kaumnya sendiri. Bukankah bodoh? Bodoh dalam bahasa Arab bermakna Jahil. Ketuanya Abu Jahal, masyarakatnya Jahiliah.
Kita ni perasan. Kita merasa lebih maju dari orang dahulu, padahal ia adalah sebaliknya.
Pimpinan negara kacau bilau. Kalau kepala dah kacau, badan dan ekor, bilau.
sheppard,
Bergantung dari belah mana kita tengok.
Dulu, kita jalan kaki kesekolah, itu normal. Yang tak normal, kalau ada orang naik kereta kesekolah.
Sekarang, kalau kita jalan kaki kesekolah, itu sudah tidak normal.
Salam
Selepas musim mengetam, aktiviti disambung lagi dengan membuat emping. kata sepakat dicari dengan menentukan hari (malam) yang sesuai. Kanak-kanak riuh mengiringi kaum ibu seolah-olah pesta. Kaum ibu menunjukkan kemahiran menumbuk dengan tiga antan bergilir2 bagi satu lesung dan pengungkis. Masing2 dengan tugas masing2 - menggoreng padi masak, menumbuk, menampi sehingga jumlah yang diingini didapati. Juadah emping dengan serawa telur dihidangkan di surau2 sempena kenduri kesyukuran hasil panen dinikmati semua anak mukim.
Saudara MSK
Kita mesti tengok dari belah kebenaran. Kebenaran itu adalah dari kenyataan.
Setiap pagi saya menghantar isteri saya ke tempat kerja saya akan bertembung dengan seorang Melayu separuh umur membonceng motosikalnya dengan isteri, seorang anak kecil di pangkuannya, seorang lagi beruniform sekolah diantara bapa dan ibunya.Seorang lagi gadis berunifom sekolah, kemungkinan anak perempuannya menaiki basikal mengayuh dengan laju dihadapan motosikal itu.
Ini lagi tak normal.
Catat Ulasan