08 Julai 2008

"Tahu tak ada menteri tayang bontot, tepuk bontot atau raba bontot?" -- Pyan Habib

Oleh Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)

"Kita tidak mahu halang ekspresi. Dia akan perlahan-lahan matang. Di Indonesia pada 1998 dan 1999 lagi banyak perkara berlaku. Kita tidak boleh berpatah balik," tambahnya, yang juga ketua bahagian PKR Parit Sulong.


Penganjur perhimpunan membantah kenaikan harga minyak Ahad lalu harus dipersalahkan atas kontroversi kumpulan Carburetor Dung, kata seorang sasterawan veteran.

"Kalau nak salahkan sesiapa, penganjur yang patut dipersalahkan. Dah tahu kumpulan itu macam itu, kenapa jemput? Lagipun persembahan rock macam ini bukan budaya kita," kata Razali Endun.

"Lain kali (penganjur) mestilah berhati-hati. (Perhimpunan) ini bukan kelab malam."

Beliau juga menambah: "Perbuatan itu kurang ajar, tidak tengok tempat. Aksi itu tidak patut berlaku. Perbuatan itu tidak kena dengan tempatnya dan menjejaskan nama baik penganjur dan PKR. Banyak benda lagi boleh buat."

Mengulas cara bantahan penonton yang menggunakan kekerasan, Razali berkata: “Tidak boleh salahkan penonton. Penonton ada macam-macam jenis. Itu aksi dia (Carburetor Dung), itu dia dapat. Apa yang dia buat, sesiapa pun akan marah. (Penonton) yang suka sedikit, (mereka) yang tidak suka ramai.”

Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di stadium Kelana Jaya kelmarin menyaksikan kekecohan sewaktu penghujung persembahan konsert kumpulan punk tersebut.

Penyanyinya Alak mengalami cedera ringan dalam serbuan sekumpulan penyokong pembangkang, sementara botol minuman dan batu bata melayang ke pentas utama.

Mereka dilaporkan marah dengan aksi menayangkan punggung ke arah penonton sewaktu penyanyi itu menyampaikan Mari nyanyi menjilang – lagu satira mengkritik budaya mengampu dan kebergantungan kepada korporat.

Difahamkan, isu kontroversi yang mendapat liputan meluas media ini dijangkakan akan dibincangkan dalam mesyuarat Protes hari ini bagi menilai program sehari suntuk yang berjaya menarik 25,000 orang.

Penyair tersohor Pyanhabib juga tidak senang dengan kontroversi itu. Bagaimanapun beliau bersimpati dengan kumpulan tersebut.

"Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Susah payah Protes, jadi habis begitu sahaja. Tidak pasal-pasal, yang difokuskan sekarang bukan hal minyak naik tetapi hal peserta naik minyak," katanya, yang turut serta membaca puisinya membantah kenaikan harga minyak sebelum kejadian.

"Kasihan pemuzik, kasihan (golongan) fanatik, kasihan Protes. Lagi, waktu hampir maghrib, tidak elok berlaku begitu (kekecohan)," tambahnya.

Menurut Pyanhabib lagi, kontroversi itu berlaku disebabkan "peserta pengacau yang hipokrit".

"Mereka (Carburetor Dung) jadi mangsa peserta pengacau yang hipokrit. Peserta (bersikap) hipokrit sebab dua lagu sebelum itu boleh diterima, kenapa lagu ketiga mereka buat kacau?

"Mereka harapkan lagu yang baik-baik? Memang pemuzik underground baik-baik cuma cara penyampaian mereka telah kaburkan maksud baik (itu). Jika tidak suka cara pemuzik underground itu, (pergilah) jumpa penganjur persembahan pertama sebelum bontot ditunjukkan, habis cerita," katanya.

Peserta yang fanatik ini, tambahnya, datang dari jauh dan bersemangat tetapi tidak bersikap terbuka.

"Kasihan (juga pada) peserta fanatik, mereka ini rasanya datang dari jauh. Mereka bersemangat, tetapi tidak (berfikiran) terbuka. Bila ternampak 'bontot' mereka hilang fokus.

"Tahu tak ada menteri tayang bontot, tepuk bontot atau raba bontot?" kata Pyanhabib yang terkenal dengan sajak-sajak satira politiknya.

Kurator Yayasan Kesenian Perak (YKP), Nur Hanim Mohamed Khairuddin pula menyifatkan pemuzik indie itu gagal memahami konteks menyebabkan kontroversi itu berlaku.

"Mereka patut faham konteks. Ia berbeza dengan persembahan di gig. Perhimpunan itu disertai orang daripada pelbagai latar, parti dan agama.

"(Kekecohan) ini sebuah konflik budaya. Mungkin juga sebab kumpulan itu punk rock. Pemuzik lain (yang membuat persembahan) tiada masalah."

Beliau bagaimanapun tidak setuju dengan bantahan kelmarin dan cara ia dibuat.

"Saya tidak setuju dengan bantahan itu kerana tidak memberi peluang anak muda berekspresi. Tetapi dengan cara melempar (objek), itu (tindakan) primitif. Mesti ada yang memulakan.

"Mana datang batu bata? Mana ada orang pergi perhimpunan bawa batu bapa? Dari mana ia datang?

"Lagi pun benda ini boleh berjangkit, ada elemen histeria, melatah. Ada tak faham bahawa jika amuk ni cepat sangat. Ini pengajaran," katanya.

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) pula berpendapat kontroversi itu sebagai "pengalaman pertama kepada pihak yang prodemokrasi untuk matang".

"(Gelagat) Carburator Dung pada hari itu adalah simbol tekanan berpuluh-puluh tahun terhadap generasi muda.

"Carburetor Dung adalah produk (politik) autokratik. Tindakan Caburator Dung harus dilihat sebagai period demokrasi pada peringkat awal," kata jurucakapnya Hasmi Hashim.

"Di mana-mana tempat pun, peraliharan (daripada pemerintahan autokrasi kepada demokrasi) akan ada period menuju kematangan demokrasi.

"Begitu dengan Faizal Tahir (membuka baju di pentas Januari lalu) - itu eskpresi menuju demokrasi dan proses pendewasaan menuju demokrasi sebenar.

"Kita tidak mahu halang ekspresi. Dia akan perlahan-lahan matang. Di Indonesia pada 1998 dan 1999 lagi banyak perkara berlaku. Kita tidak boleh berpatah balik," tambahnya, yang juga ketua bahagian PKR Parit Sulong.

Mengulas bantahan itu yang menggunakan kekerasan, Hasmi berkata, khalayak tidak harus dipersalahkan tetapi lebih penting mengawal keselamatan dan meredakan kemarahan semua pihak.

"Kita tak boleh halang campur tangan khalayak. Yang penting ada pasukan mengawal. AMK mengawal dengan baik dan keadaaan terkawal. Itu adalah sentimen dan reaksi orang bawah.

"Yang penting adalah proses meredakan kemarahan orang bawah dengan memastikan keselamatan semua pihak terjamin dan memberi peluang pihak yang berkenaan membuat penjelasan. Saya belum nampak orang sebesar dia tunduk dan memohon maaf," katanya.

Hasmi mencadangkan kumpulan pemuzik itu "berekspresi dengan lebih bijaksana" untuk persembahan mereka akan datang.

4 ulasan:

hafiz berkata...

saya berada ditempat kejadian semasa ia berlaku. apepun...bontot alak adalah suci, putih dan bersih daripada bontot pak2 menteri yang memangpun da lama da kotor dijilat pengampu...bodoh punye Be End!
xpressi emosi itu adalah seni dan seni itu indah. Mereka yang gagal menghayati seni (walaupun berupa bontot) adalah gagal untuk memahami inti kepada jiwa yg memberontak! hidup rakyat! hidup carburetor dung! hidup Isham! hidup Malaysia!

Tanpa Nama berkata...

"Mereka harapkan lagu yang baik-baik? Memang pemuzik underground baik-baik cuma cara penyampaian mereka telah kaburkan maksud baik (itu). Jika tidak suka cara pemuzik underground itu, (pergilah) jumpa penganjur persembahan pertama sebelum bontot ditunjukkan, habis cerita," katanya.

Sepatutnya benda ini tidak pernah terjadi, dan tak ada cerita. Bukan setakat habis cerita, cerita pun tak ada. Kenapa?

Kerana bantahan sudah dibuat lama sebelum itu oleh Pemuda PAS. Malah diberitakan, telahpun dipersetujui untuk dibatalkan persembahan tersebut. Kenapa buat juga?

hafiz berkata...

jangan salahkan konsert... salahkan kejumudan fanatism... audien yang 'amuk' gagal memahami mesej... mereka cuma berekspressi... kalau kita turun dijalanan pun juga ekspressi... ini ekspressi dipentas namanya... jadi, semua pehak kena faham... apabila benda mcm ni sudah terjadi... tak perlu lagi tanya kenapa ia terjadi. tapi perlulah ditanya bagaimana menangani isu ini dengan lebih terbuka... ini di KL. bukan di hujung ceruk kampung... saya datang dari kampung jugak... bila datang ke KL kena la ubah sikit cara berfikir dan itu tak semesti menggugurkan semangat dan pegangan perjuangan.

Tanpa Nama berkata...

Saya tidak menyalahkan konsert. Tapi saya menyalahkan pembawa konsert walaupun bertentangan dengan kehendak sebahagian daripada penganjur bersama, iaitu PAS. Jelas sekali, si pembawa konsert gagal memahami sensitiviti rakan dalam pakatan.

Ini bukan soal kampung atau bandar!