14 Julai 2008

Babad Pendekar Jawa lagi

Oleh Khalid Jaafar

Yusmadi, ahli parlimen Balik Pulau dan salah seorang peguam pendekar kita semasa dalam penjara, pernah memberi tahu saya: "Ezam ini orang yang tidak punya keyakinan diri. Bila mahu bersumpah dia akan seret emaknya, bapanya.


Laman web ceoexpress.com memang mencabar daya pilih, kudrat dan akal. Seperti memasuki supermall, leka kerana terlaku banyak pilihan, dan akhirnya lelah. Where is the knowledge we have lost in information - dimanakah ilmu yang hilang dalam maklumat. Soalan ini ditanyakan oleh T S Eliot beberapa dekad sebelum berlakunya ledakan maklumat. Zaman ini sungguh mewah dengan maklumat. Tetapi apakah kita semakin pandai? Majalah The Atlantic Monthly bulan ini menyiarkan esei "Is Google Making us More Stupid?" yang membentang hubungan ilmu dengan teknologi.

Maka saya sering berdepan dengan dilema. Buku atau web. Sebagai penulis saya perlukan idea. Dailog-dailog Plato lebig sarat dengan idea dari yang terkandung dalam Google. Jadi menghadam sebuah dialog kecil seperti Phaedrus lebih mencerah, lebih memperkasakan otot-otot akal dari berbulan-bulan melayari Google. Tetapi sebagai penulis saya juga perlukan maklumat. Idea dalam buku, maklumat dalam web. Dan semalam AWJ--rakan sekelas di Masjid Tanah awal 1970an dan makan nasi bersama dalam ladang getah di sebelah sekolah--memperkenalkan ceoexpress.com, satu laman yang mempunyai tembusan kepada maklumat berkualiti.

Tatkala sedang asyik menyelak ceoexpress.com malam tadi saya terdengar suara pendekar Jawa kita menjerit dalam tv. Saya tidak menonton tv, hanya mendengarnya dari jauh. Ezam mahu bersumpah 'secara Islam'. Yusmadi, ahli parlimen Balik Pulau dan salah seorang peguam pendekar kita semasa dalam penjara, pernah memberi tahu saya: "Ezam ini orang yang tidak punya keyakinan diri. Bila mahu bersumpah dia akan seret emaknya, bapanya." Dan anaknya, dan kalau boleh cucunya yang hanya akan lahir 20 tahun dari sekarang. Kita harap Ezam akan benar-benar bersumpah, dan dengan menjujung al-Qur'an, supaya dia memperteguhkan kedudukan dan kejohanannya sebagai politikus Melayu yang paling kerap bersumpah dalam sejarah. Pada masa ini rekod ini tidak akan dipecahkan sehingga akhir abad ini. Bersumpah, inilah kemahuan dan ketagihan khalayak politik Melayu-Umno yang jahil syariat.

Dakwa pendekar itu dia telah merujuk kepada 'dua ulamak muktabar'. Apakah ianya sheikhul Islam Negeri Entah Berantah? Berapa kitab ugama yang dikarang oleh 'ulamak muktabar' tersebut? Seorang ulamak tidak boleh jadi muktabar kalau tidak mengarang buku. Apakah kitab dan ilmu islamnya mengatasi ilmu Sheikh Taha Jabir al-Elwani atau Sheikh Yusuf al-Qaradhawi? Gelembong ini amat tipikal bagi pendekar itu. Teringat saya dibulan-bulan terakhir Anwar Ibrahim dalam penjara. Ezam membuat gerakannya dan menjustifikasikannya: "kita perlu berfikir di luar kotak." Saya melakukan interrogasi, saya ingin tahu, siapa penasihat-penasihatnya, rakan befikir di luar kotak. Dia menyebut beberapa nama, tetapi yang paling penting adalah Hamdan Taha. Bukan kepalang saya menahan perut untuk tidak pecah ketawa. Hamdan Taha! Berfikir di luar kotak! Saya ingatkan seorang ahli politik veteran yang keluar masuk labiran politik selama lima dekad atau anak muda yang mempunyai IQ melebihi 160.

Ezam adalah pendekar yang tewas dua kali. Kekalahan pertama adalah dalam ujian penjara. Ezam begitu berbangga dengan statusnya sebagai bekas tahanan ISA. Dan lagi, untuk membandingkan dirinya dengan setiausaha-setiausaha Anwar yang lain, satu-satunya setiausaha yang masuk ISA. Tentunya di sini Ezam memang lebih. Bahkan dia melebihi semua tahanan ISA reformasi. Dialah satu-satunya tahanan ISA reformasi yang tewas.

Ketewasan kedua adalah lebih kelasik. Bukan sahaja tewas, bahkan tidak pernah menang. Itulah pergelutannya dengan pemegang diari merah. Inilah luka yang paling dalam pada diri pendekar Jawa. Dia pergi bertapa di makan Sunan Gunung Jati di Ceribon. Dia beroleh kekuatan, tetapi luka itu tidak sembuh. Maka kekuatan itu menjadi bahan bakar kepada kesumatnya.

Tiada ulasan: