27 Julai 2008

Beng Hee, Nicol Juara Terbuka Malaysia CIMB

Oleh Bernama

Datuk Nicol Ann David dan jaguh lelaki utama negara Ong Beng Hee melakar satu lagi sejarah apabila merangkul kejuaraan berganda pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2008 di The Curve, Mutiara Damansara, di sini hari ini.



Datuk Nicol Ann David dan jaguh lelaki utama negara Ong Beng Hee melakar satu lagi sejarah apabila merangkul kejuaraan berganda pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2008 di The Curve, Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Nicol berjaya merangkul gelaran keempat berturut-turut apabila dengan mudah meraih kemenangan ke atas pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham dari Belanda 11-1, 11-4 dan 11-6 dalam masa 31 minit.

Kejayaan itu juga memperkukuhkan kedudukan Nicol sebagai pemain nombor satu dunia dengan mencapai kejayaan dalam lima kejohanan sepanjang tahun ini.

Kemenangan ke atas Natalie juga melebarkan rekod pertemuan Nicol ke atas lawannya itu kepaad 8-1 dan merupakan penguat semangat menjelang Kejohanan Masters Singapura mulai Selasa ini.

"Tumpuan saya pada perlawanan akhir dan semua berjalan lancar. Bagaimanapun, Natalie tidak menampilkan persembahan sebenarnya dan saya mengambil kesempatan," kata pemain berusia 24 tahun itu.

"Ia bukan perlawanan mudah kerana saya terpaksa kerja keras," kata Nicol yang membawa pulang hadiah US$8,550 (RM27,814).

Sebelum itu, Beng Hee meraih gelaran ketiga Terbuka Malaysia selepas 2000 dan 2005 apabila terpaksa kerja keras untuk menundukkan rakan senegara Mohd Azlan Iskandar 11-6, 8-11, 4-11, 12-10 dan 11-8 dalam masa sejam 36 minit.

Kejayaan itu adalah ketiga tahun ini bagi pemain nombor 11 dunia itu selepas Kejohanan Antarabangsa Kolkata Februari lepas dan Terbuka Kuala Lumpur Mac lepas.

"Saya bernasib baik untuk menjuarai kejohanan ini. Tiga set pertama amat getir dan saya hilang keyakinan untuk menang dan pada set keempat Azlan tidak bermain dengan baik dan saya ambil kesempatan," kata Beng Hee yang membawa pulang hadiah US$$7,600 (RM24,723).

Kedua-kedua pemain utama negara itu akan berlepas ke Mesir malam ini untuk menyertai Kejohanan Terbuka Mesir minggu depan.

Tiada ulasan: