24 Julai 2008

Nostalgia: Survival Hidup






Bila perasap dan kemenyan diharamkan, yang kaki cekam malu nak datang, yang berkudis segan nak datang, yang telinga bernanah mencari alasan. Maka timbullah prasangka, orang itu benci kat aku, orang ini tak suka kat aku. Kemenyan yang menjadi penyatu masyarakat kampong diharamkan, dan keharmonian masyarakat pun terancam. Mungkin kita tidak menyedarinya


Alam dan kehidupan saling memerlukan di antara satu sama lain. Hidup alam, hidup kehidupan, musnah alam, musnah kehidupan. Itu adalah juzuk pertama yang perlu dipelajari dalam kitab kehidupan.

Budak-budak tidak diajar bagaimana untuk membunuh ular tetapi bagaimana untuk mengelak daripada ular. Penduduk kampong tidak memburu sawa, tapi kalau sawa masuk reban ayam, itu nasib dia. Tak payah pasang jerat untuk menangkap kera atau babi hutan, Cuma cari jalan bagaimana binatang-binatang ini jangan datang. Aku tak kacau kamu, kamu jangan kacau aku. Itu kontrak sosial diantara manusia dengan binatang.

Aku bukan belajar dari buku atau jurulatih PLKN, tapi dari orang-orang tua yang buta huruf, yang tak tau baca ABC. Tok Batin Limput dari Kampung Kenoh selalu datang berburu tupai dengan sumpitnya. Dia lah guru aku yang banyak membantu. Alam menyediakan segalanya untuk kita, gunakanlah sebaiknya. Bila berburu, ambil apa yang kita perlukan, bukan meyalahgunakan. Biarpun begitu banyak tupai didusun-dusun, Tok Batin Limput hanya ambil cukup untuk keluarganya. Dia menyumpit tupai bukan untuk berniaga kerana tupai dan binatang yang lain, bukan dia yang punya.

Bila berburu, tak boleh pakai kasut. Sebab bila pakai kasut, kita lupa diri. Kita tak takut pada duri, tak takut pada tunggul. Tapi bila tak pakai kasut, kita kena hati-hati. Jalan pelan-pelan, binatang pun tak lari. Selalunya tak payah berjalan, cuma tunggu binatang datang. Yang perlu dipelajari ialah bagaimana hendak mengetahui, jalan-jalan yang dilalui oleh binatang.

Tapi bila datang orang pekan, siap dengan jungle boot dan parang. Masuk hutan tak tau adat, tebang mana suka, hoo-hah sini, hoo-hah sana, lepas tu komplen, bayang binatang pun tak nampak. Nak cerita dengan kawan-kawan dipekan, tangkap gambar dengan binatang peliharaan.

Dalam hutan penuh dengan makanan. Tapi kena belajar yang mana pokok betina, yang mana pokok jantan. Yang mana beracun, yang mana tak boleh makan. Nibung, bayas, rotan dan bertam semua boleh makan. Cuma yang perlu dipelajari ialah bahagian mana yang boleh dimakan. Perlu tahu yang mana petai, yang mana menering. Yang mana macang, yang mana asam kumbang. Yang mana buah akar, yang mana buah kepayang.

Anak-anak sekarang sudah tidak berpeluang mempelajari semua ini. Nak tengok binatang pergi zoo. Nak tengok pokok….pokok pun tak ada lagi.

Budak-budak kampong tak pergi hospital. Tak usah kata doktor, tengok misi pun cabut. Sebab misi tukang pegang, doktor tukang cucuk. Budak-budak kampong lebih suka jadi doktor sendiri. Bila kena pacat, cari abu dapur atau abu rokok. Bila luka dalam hutan, cari daun malayalam atau selaput tunggul. Ramas sampai lumat, tampal kat tempat luka. Balik rumah, bubuh serbuk kopi.

Kalau sakit perut, rebus pucuk keduduk. Kena kudis buta, ambil kunyit, asah kat belakang punggung tempayan, campur abu dapur. Kena cacing kerawit, rebus batang putarwali. Sakit mata, cari bunga melur. Sakit kepala, cari daun ketum. Tak boleh tidur, cari daun selasih. Tak boleh berak, cari buah mengkudu. Patah tulang cari daun melong. Lembik tulang, cari susuh ayam. Kalau tergeliat, cari dukun.

Semua makanan ada dalam hutan, semua ubat ada dalam hutan. Mengapa hutan perlu dimusnahkan? Sebab orang cuma nampak balak, nampak Tongkat Ali, nampak kacip Fatimah dan nampak Mas cotek.

Orang kampong selalu buat kenduri , sebagai tanda syukur dengan rezeki. Panggil semua yang ada dalam kampong. Panggil Tok Imam baca doa. Sebelum baca doa, Tok Imam minta perasap dan kemenyan. Tapi sekarang itu semua dianggap khurafat.

Hei! Yang datang tu bukan semuanya sihat. Ada yang kaki cekam, ada yang berkudis, ada telinga bernanah. Kalau tak ada kemenyan, macam-macam bau ada sampai tak lalau makan. Tapi kemenyan dapat mengharumkan alam dan suasana. Dapat menghalang kulat dari merebak.

Bila perasap dan kemenyan diharamkan, yang kaki cekam malu nak datang, yang berkudis segan nak datang, yang telinga bernanah mencari alasan. Maka timbullah prasangka, orang itu benci kat aku, orang ini tak suka kat aku. Kemenyan yang menjadi penyatu masyarakat kampong diharamkan, dan keharmonian masyarakat pun terancam. Mungkin kita tidak menyedarinya.

Bila ada kematian, tidak ada bayaran insuran, tidak ada Khairat Kematian. Yang ada hanyalah penduduk yang memahamai erti kemasyarakatan. Setiap rumah membawa beras segelas, gula secawan. Yang muda menggali liang, yang tua menyempurnakan mayat, wanita menyediakan air mawar dan bunga rampai. Tak ada yang sembang kosong sambil menghirup teh dengan roti kapal. Sehinggalah semuanya selesai.

Selesai semuanya, diadakan majlis tahlil untuk tiga malam. Sekarang sudah ada yang mempertikaikan, mengapa perlu menghabiskan wang untuk menjamu orang. Tapi apa yang tidak diperhatikan ialah bagaimana semangat keprihatinan yang ditunjukkan terhadap keluarga yang hilang orang kesayangan. Hilang rasa sedih dan kesayuan apabila melayan saudara-saudara yang datang. Sekarang, yang datang hanya YB-YB menghulur seringgit dua, supaya pilihanraya akan datang jangan lupa. Lepas tu, tanggung sendiri la.

Selesai semuanya, rumah perlu dibersihkan. Beratus manusia yang datang, beratus penyakit yang dibawa. Kalau rumah tak dipulihkan, alamat penghuni hidup tak keruan. Lantas dipanggil bomoh atau pawang. Tok pawang membawa rumput-rampai, direnjis keliling rumah dan diikat ditiang seri. Datang ustaz-ustaz, dilemparkan ke tanah. Khurafat!!. Sayang, mereka tidak mengetahui keistimewaan nilam dan jerangau, pandan dan sambau.

Dukun-dukun yang pakar dengan keistimewaan tumbuhan sudah tidak diperlukan lagi. Pawang-pawang yang pakar dengan alam dan kehidupan sudah tidak dipercayaai lagi. Kita lebih percaya dengan temberang barat dan hujah-hujah tok Arab.

3 ulasan:

kulupSakah berkata...

msk...apa2hal aku akan laporkan dlm blog aku yg baru dibina tentang perkembangan malam ni solat hajat di rumah anwar 31 julai..

http://kulupsakah.blogspot.com/

matcomot berkata...

zaman sekarang ni...bomoh pun dah di swastakan..bayaran mahal.tapi ok lah jug akot.yang lebih haru biru,agama pun di org swastakan..ulamak ahli koprat.semua kena bayar....guru tareqat lagi kaya raya.tak caya?p damansara

kulupSakah berkata...

konspirator2 boleh dapatkan tip2 berkesan jika ingin berkonspirasi lagi...layari saja http://kulupsakah.blogspot.com/