28 Julai 2008

Akhirnya LPF lepas Susuk

Oleh WAHIDA ASRANI (MStar)

Filem arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili ini selesai menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun 2006 itu namun ramai yang tertanya-tanya nasib filem lakonan bintang-bintang hebat seperti Diana Rafar, Ida Nerina, Sofea Jane dan Aleeza Kassim ini apabila filem yang telah diuar-uarkan itu masih lagi belum ditayangkan.


SETELAH lebih dua tahun 'terperap', filem Susuk akhirnya bakal menemui penonton di pawagam-pawagam tempatan bermula 7 Ogos depan.

Filem arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili ini selesai menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun 2006 itu namun ramai yang tertanya-tanya nasib filem lakonan bintang-bintang hebat seperti Diana Rafar, Ida Nerina, Sofea Jane dan Aleeza Kassim ini apabila filem yang telah diuar-uarkan itu masih lagi belum ditayangkan.

"Saya lega akhirnya Susuk akan ditayangkan juga awal bulan depan. Apapun, saya tidak rasa tempoh dua tahun itu satu jangkamasa yang agak lama. Filem itu memang sudah siap sepenuhnya sekitar awal tahun lalu, tetapi kelewatan tayangan filem ini berlaku kerana sebab-sebab tertentu.

"Kita ambil masa yang agak lama untuk menyiapkan teknik CGI ketika proses pasca produksi walaupun babak yang memerlukan teknik tersebut hanya sedikit. Kita menggunakan dua team untuk proses ini.

"Kita juga mengalami beberapa masalah ketika penggambaran dulu. Penggambaran sepatutnya dijalankan selama lima minggu saja, tetapi berlarutan hingga lapan minggu kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.

"Antara masalahnya, kita mengalami kesukaran untuk dapatkan lokasi. Sebagai contoh, kami tidak dibenarkan meneruskan penggambaran di sebuah kawasan pangsapuri kerana penduduk di situ kurang senang kerana ada yang rasa 'terganggu'.

"Disebabkan itu kami terpaksa mencari lokasi yang lain dan perkara ini sudah tentu menyukarkan kami kerana bukan semua pelakon available pada tarikh penggambaran yang baru ditetapkan semula.

"Ditambah pula dengan hujan hampir setiap hari sekitar Februari 2006, oleh kerana itu kami terpaksa tangguhkan lagi penggambaran," ujar Amir yang ditemui di pejabat Grand Brilliance Sdn Bhd, baru-baru ini.

Namun, segala cabaran yang dialami sepanjang pembikinan filem itu akhirnya berbaloi apabila Susuk akhirnya berjaya juga disempurnakan dengan baik dan ketika ini sedang menantikan masa tayangannya.

Filem bergenre supernatural thriller ini mengisahkan tentang dua wanita, Suraya dan Suzana. Suraya, seorang jururawat mempunyai impian untuk bergelar seorang penyanyi. Dia diperkenalkan dengan amalan susuk sebagai satu cara agar impiannya itu berjaya direalisasikan.
Dalam pada itu, Suzana seorang penyanyi tersohor sememangnya sudah lama mengamalkan penggunaan susuk yang cukup berbahaya dan jika terlanggar pantang, kesannya cukup hebat kerana akan ada nyawa yang terkorban.

Mengulas lanjut tentang filem terbitan GBSB ini, kata Amir, dia berharap mesej yang cuba ingin diketengahkan menerusi filem ini akan 'sampai' kepada penonton-penonton yang menyaksikannya kelak.

Meskipun ada dua bahagian daripada filem ini telah dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), ia bagaimanapun tidak langsung menjejaskan keseluruhan jalan ceritanya.

"Untuk menghasilkan filem ini, kami banyak menemubual bomoh-bomoh. Setiap bomoh ini mempunyai persepsi yang berbeza tentang susuk. Kami rekakan jalan cerita Susuk ini tetapi masih berlandaskan dengan apa yang kita tahu tentang amalan ini

"Bagi saya, Susuk ini lebih kepada metafora...kalau kita ingin berjaya, kita perlu lakukan sesuatu. Tetapi apa yang dipaparkan ini adalah persepsi negatif kerana seseorang itu tidak perlu guna cara seperti ini untuk berjaya.

"Saya cuma harap penonton mampu terima filem ini dan secara peribadi, saya tidak mahu letak berapa sasaran untuk filem ini. Malah, saya percaya filem ini juga mempunyai kekuatan dari segi barisan pelakonnya. Mereka mempunyai 'aura' tersendiri," kata Amir.

Ditanya mengenai pembabitan dua pengarah sekaligus di dalam filem ini, jelas Amir, dia tidak merasakan gandingannya dan Naeim sepanjang pembikinan filem itu mengalami masalah.

"Saya melihat ini satu kerjasama yang baik. Kalau boleh, kami ingin jadi seperti filem seram Thailand, Shutter yang juga menggunakan dua pengarah.

"Apapun, sudah tentu setiap keputusan yang kami lakukan perlu ada perbincangan. Naeim cukup mahir di dalam aspek teknikal, manakala saya sebaliknya," tutur Amir.

Dalam pada itu, Susuk juga menerima perkhabaran gembira apabila filem ini juga akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ke-38 yang akan berlangsung pada Januari 2009.

"Sudah tentu kita rasa cukup bangga kerana Festival Filem Antarabangsa Rotterdam adalah sebuah festival filem yang cukup besar. Banyak juga filem-filem Melayu yang pernah ditayangkan di sana sebelum ini.

"Malah, filem ini juga telah ditayangkan di Festival Filem di Itali pada bulan lalu," kata Amir lagi yang turut melahirkan perasaan gembira apabila Susuk juga menerima pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-21 yang akan berlangsung awal bulan Ogos ini.

1 ulasan:

zubin berkata...

Apakah penghijrahan Amir Muhamad membuat filem seram genre popular adalah suatu perangkap yang biasa dilakukan pemerintah untuk menutup mulut orang-orang yang lantang? Atau Amir Muhamad sememangnya seorang yang ingin menjadi popular dan banyak wang?